Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tidak perlu seberang tambak, Asam Pedas asli Melaka di Haig Road 'piaw'

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak perlu seberang tambak, Asam Pedas asli Melaka di Haig Road 'piaw'

Makan Melaka di 12 Haig Road menawarkan Asam Pedas asli Melaka. (Gambar-gambar: Makan Melaka)

BERITAmediacorp: Jika anda pernah menjamu selera lauk Asam Pedas di Melaka, pasti teringat-ingat akan kuahnya yang pekat, wangi dan bak kata orang Melaka, 'piaw!' - bermakna cukup rasa.

Kini, Asam Pedas asli Melaka boleh anda nikmati di Singapura. Iya! tidak perlu ke negara jiran untuk menikmatinya.

Makan Melaka, gerai yang tidak asing lagi bagi sebahagian rakyat Singapura, sudah mula menawarkan Asam Pedas asli dari negeri bersejarah itu di cawangan terbaru dan yang ketiga, yang terletak di Kedai Kopi, 12 Haig Road.

Dua cawangan pertama Makan Melaka adalah di Jurong West - sudah beroperasi 15 tahun - dan di Changi Village - 12 tahun dan dimiliki Encik Muhammad Samudra Sjamsir, dibantu oleh isteri Cik Roslinah Jamil dan adiknya Rosmawati Jamil.

Buat masa ini, hanya cawangan ketiga sahaja yang menawarkan Asam Pedas.
Sejak cawangan itu dibuka kurang tiga minggu yang lalu Makan Melaka sudah menjual anggaran 200 claypot asam pedas setiap hari!

KUAH MENYENGAT, RESEPI TURUN-TEMURUN

Di Makan Melaka, kuah Asam Pedasnya pekat, hangat dan aromanya semerbak wangi membuat anda tidak sabar untuk menikmatinya dengan nasi putih panas-panas!

Menurut Cik Roslinah, sejak menu ini diperkenalkan hampir sebulan yang lalu, ramai yang memberikan maklum balas positif dan sambutannya sangat menggalakkan. Setiap hari ramai yang beratur panjang untuk mencuba asam pedas claypot di Makan Melaka.
Asam Pedas Pari
Set lauk kampung ini disajikan dengan nasi biru, ulam-ulaman, tomato, timun, telur asin dan sambal belacan.

“Kami menggunakan beras basmati dan nasinya berwarna biru kerana bahan organik bunga telang digunakan untuk masak nasi ini,” kata Cik Roslinah.

Menurutnya lagi resipi asam pedas ini berusia lebih lima dekad. Arwah nenek beliau berasal dari Melaka dan menurunkan resipi itu kepada ibunya.

“Kedua-dua nenek dan ibu saya sudah meninggal. Kami rasa terharu apabila dapat berkongsi masakan mereka dengan orang ramai.”

“Kami dua beradik telah menimba ilmu masakan dari arwah nenek dan ibu. Lama kami menyimpan hasrat untuk menjual asam pedas kerana minat yang sangat mendalam untuk sajian ini. Lagipun nama kedai ini Makan Melaka, jadi mestilah nak kena ada asam pedas kan,” kata Cik Roslinah sambil ketawa.

“Tapi itulah oleh kerana ruang yang agak terhad di cawangan yang lain, impian ini ditangguhkan dan hanya dapat direalisasikan sekarang di cawangan ketiga ini.”

Sebagai permulaan Makan Melaka menawarkan empat jenis asam pedas – ikan merah ($9.90), ikan pari, ayam dan sotong kesemuanya ($8.50).
“Kami memastikan harganya berpatutan dan tidak keterlaluan agar orang ramai, tidak kira latar belakang dapat menikmati sajian warisan ini,” kata Cik Roslinah.

Jika anda antara yang gemar menikmati asam pedas anda tidak akan berasa hampa dengan hidangan asli di sini kerana bahan-bahannya segar. Setiap claypot mengandungi sayuran bendi, terung dan tomato. Aroma daun kesumnya memang membangkitkan selera.

Rasa kuahnya pedas tetapi tidak keterlaluan. Apa juga pilihan Asam Pedas anda ikan, ayam atau sotong yang pasti anda akan pulang dengan rasa puas hati dan perut kenyang.

Selain Asam Pedas, Makan Melaka juga terkenal dengan beraneka cendol selain makanan ringan goreng pisang, vadai dan putu piring, antara lain.
MAKAN MELAKA TAMBAH CAWANGAN

Meskipun buat masa ini sajian Asam Pedas ini hanya boleh dinikmati hanya di cawangan Haig Road sahaja, Cik Roslinah tidak menolak kemungkinan dan mempunyai rancangan untuk memperkenalkan Asam Pedas kepala ikan, telur ikan, tetelan dan sebagainya pada masa akan datang, di cawangan yang lain.

“Semuanya masih dalam perancangan, mungkin kami akan lanjutkan jualan Asam Pedas ini di cawangan Changi Village jika ruangnya sesuai. Banyak idea dan pelbagai yang ingin kami tampilkan dalam menu tapi semuanya bergantung kepada ruang yang ada di dalam sesebuah tempat,“ Cik Roslinah memberitahu BERITAmediacorp.

Pada hujung September ini nanti, Makan Melaka bakal membuka cawangannya yang keempat di Kedai Kopi di Blok 380 Clementi Ave 5. Di sini anda boleh menikmati cendol selain pelbagai makanan ringan seperti epok-epok keju, ayam, sardin yang berintikan keledek.

Tidak berhenti di cawangan Clementi saja, pada hujung tahun nanti, cawangan di Arab Street juga bakal membuka tirainya. Dengan adanya lima cawangan di Singapura, pastinya ia lebih memudahkan orang ramai untuk menikmati sajian dan pencuci mulut asli Melaka ini.

“Sajian yang kami tampilkan di Makan Melaka semuanya pasti piaw kerana resipinya turun temurun! Piaw bermakna power, molek, cukup rasa dalam istilah orang Melaka,” gelak Cik Roslinah mengakhiri perbualan.

Makan Melaka:
Blok 12 Haig Road @ Kedai Kopi
Dibuka setiap hari dari pukul 11.00 pagi hingga pukul 9.00 malam (pesanan terakhir pada pukul 8.30 malam)
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan