Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

"Tiada peristiwa aneh, hanya rasa insaf", pemandu van jenazah kongsi pengalaman

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pengalaman lebih sepuluh tahun bergelar pemandu van jenazah menerbitkan keinsafan dalam dirinya.

Bagi Mohd Rahmat Ismail, mungkin kerjaya itu kurang mendapat perhatian kerana wujud tanggapan seram dan memerlukan individu kuat semangat untuk mengendalikannya, seperti dinukil daripada Astro AWANI.

“Alhamdulillah sepuluh tahun saya pandu van jenazah untuk Badan Khairat Silaturahim (BKS) di Masjid Nurul Hidayah Kg Pandan Dalam, tiada peristiwa aneh berlaku seperti kita tonton di kaca televisyen atau baca dalam majalah.

“Semuanya baik-baik sahaja dan saya sangat gembira lakukan kerja ini. Perkhidmatan bawa van jenazah bukan kerjaya yang glamour tetapi ia benar-benar mengubah diri saya sebagai seorang manusia,” katanya kepada Astro AWANI.

Lelaki berusia 51 tahun itu turut berkongsi cara kerja setiap kali menerima panggilan bahawa ada kematian berlaku yang boleh dikatakan setiap hari.

“Kematian tidak kira waktu. Awal pagi, tengah hari, petang atau tengah malam, saya dan warga kariah kematian masjid perlu siap sedia setiap masa.

“Contohnya, jika berlaku kematian pada pukul empat pagi, saya perlu bersiap untuk membawa jenazah dari hospital ke rumah atau dari rumah menuju ke tanah perkuburan. Bergantung kepada permintaan waris keluarga.

“Jika kematian berlaku di awal pagi, hendaklah kita kebumikan sebelum waktu Zuhur. Sebaiknya kita mempercepatkan proses pengebumian, itu adalah sebaiknya. Kalau ditanya, boleh ke tunggu sekejap untuk beri laluan ahli keluarga yang tinggal jauh datang melawat si mati.

“Jawapan saya mudah, alangkah lebih indah kalau urusan ziarah dilakukan ketika kita masih sihat atau waktu tengah sakit atau nazak. Bukan tunggu waktu sudah meninggal dunia baru hendak ziarah. Itu hanya pandangan saya tetapi saya faham lain orang lain pandangannya,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Rahmat turut mengajak anak-anak muda untuk turut serta berkecimpung dalam kerjaya sebagai pemandu van jenazah, lapor Astro AWANI.

“Jangan rasa seram. Dapat membantu jenazah untuk dihantar ke destinasi terakhir mereka mendatangkan satu kepuasan dalam diri. Ini adalah perkhidmatan fardu kifayah.

“Bila setiap hari lihat kematian, satu hal yang saya belajar. Hidup jangan sombong kerana akhirnya kita semua sama saja, akan pulang ke negeri abadi bertemu Allah SWT bukan dengan harta atau takhta sebaliknya amal yang kita ada,” akhirinya.
Sumber : Agensi berita/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan