Tiada lagi alasan sukar cari masa untuk bersenam, sebaliknya cuba kurangkan penggunaan telefon
Jika anda menetapkan azam Tahun Baru untuk meluangkan lebih banyak masa untuk bersenam, ia mungkin tidak sesukar seperti yang anda fikirkan.
NEW YORK: Jika anda menetapkan azam Tahun Baru untuk meluangkan lebih banyak masa untuk bersenam, ia mungkin tidak sesukar seperti yang anda fikirkan. Menurut kajian baru-baru ini mengenai kegiatan harian penduduk Amerika Syarikat sewaktu masa berjaga, kebanyakan daripada mereka mempunyai lebih banyak masa lapang daripada yang mereka sangkakan.
Namun hasil tinjauan itu mendapati hanya segelintir daripada mereka yang meluangkan masa lapang untuk melakukan kegiatan jasmani, lantas menimbulkan tanda tanya mengenai sebab-sebab mengapa kita tidak bersenam dan bagaimana kita boleh merancang jadual harian untuk menggalak senaman.
Buat masa ini, sekitar dua pertiga warga Amerika Syarikat tidak menepati garis panduan melakukan senaman sederhana seperti berjalan kaki selama 30 minit setiap hari.
Dalam tinjauan-tinjauan mengenai senaman sebelum ini, hampir kesemua responden memberi alasan bahawa mereka kesuntukan masa apabila ditanya mengapa mereka jarang bersenam.
Mereka berkata bahawa tuntutan pekerjaan, keluarga, sekolah dan tanggungjawab-tanggungjawab lain mengambil banyak masa dan lantaran itu mereka berasa bahawa mereka tidak berupaya meluangkan masa untuk berjalan kaki atau bersenam.
Namun sama ada kita benar-benar sibuk sehingga kesuntukan masa untuk bersenam tidak begitu jelas. Tinjauan-tinjauan lain membayangkan bahawa kita mungkin duduk terlalu lama atau meluangkan terlalu banyak masa menonton televisyen.
Bagi hasil tinjauan yang diterbitkan baru-baru ini dalam jurnal Mencegah Penyakit Kronik: Penyelidikan, Amalan dan Dasar Kesihatan Awam, para pengkaji dari RAND Corporation di Santa Monica, California, menumpukan perhatian kepada kegiatan harian dan khususnya bagaimana seseorang itu meluangkan masa lapang.
Para pengkaji RAND itu menghimpunkan respons daripada lebih 32,000 peserta tinjauan antara 2014 hingga 2016 dan membandingkan jadual harian mereka dan menentukan purata masa lapang bagi 32,000 lelaki dan wanita berkenaan.
Para pengkaji tersebut mendapati bahawa pada hakikatnya, para responden mempunyai masa lapang yang mencukupi. Hampir kesemua responden - tidak mengira hasil pendapatan, usia, jantina atau kaum - sebenarnya ada masa lapang sekitar lima jam setiap hari.
Kaum lelaki rata-rata mempunyai lebih banyak masa lapang berbanding wanita, dan warga tua mempunyai lebih banyak masa lapang daripada golongan muda. Namun tiada golongan yang mempunyai masa lapang kurang daripada 4.5 jam setiap hari.
Bagi hampir kesemua responden, kegiatan jasmani tidak lazim dilakukan pada masa lapang.
Kebanyakan daripada mereka menghabiskan sebahagian besar masa lapang dengan menonton televisyen atau menggunakan telefon atau komputer.
Hasil tinjauan itu membayangkan bahawa jika kita menyesuaikan jadual dan mematikan TV, telefon bimbit atau komputer, ramai daripada kita mempunyai masa yang mencukupi untuk bersenam.
Namun data yang dikumpulkan itu turut menyerlahkan halangan-halangan lain yang dihadapi sesetengah golongan, kata Dr Deborah Cohen, seorang pakar perubatan dan saintis kanan RAND Corporation yang menyelia kajian tersebut.
"Bagi ramai orang, lebih-lebih lagi kaum wanita, kebanyakan masa lapang mereka adalah pada waktu petang selepas bekerja dan melakukan kerja rumah serta menjaga anak, katanya.
"Mereka mungkin kepenatan. Mereka tidak mempunyai bantuan jagaan kanak-kanak. Tiada gimnasium berdekatan atau ia mahal untuk dilanggani dan taman-taman dan pusat-pusat riadah tutup atau tidak menawarkan program-program seperti kelas-kelas senaman sebelah petang atau sukan-sukan berpasukan."
Lantaran itu, bagi menggalak lebih ramai orang bersenam mulai 2020 dan selanjutnya, inisiatif-inisiatif individu dan masyarakat perlu diadakan, kata Dr Cohen.
"Kita perlu memudahkan" usaha orang ramai untuk menetapkan sebahagian masa lapang bagi kegiatan jasmani, kata Dr Cohen.
Semestinya tinjauan tersebut adalah berdasarkan daya ingatan para responden tentang bagaimana mereka meluangkan masa masing-masing, dan ia mungkin tidak tepat.
Namun, rata-rata orang ramai cenderung memberi anggaran yang berlebihan berbanding anggaran yang lebih rendah dan tempoh senaman yang dilaporkan kepada para pengkaji adalah sangat kecil.
Dr Cohen berkata bahawa pengajaran utama tinjauan itu adalah ramai daripada kita sebenarnya mempunyai masa yang mencukupi untuk bersenam, dan cara yang paling mudah untuk mengorak langkah pertama adalah dengan mengurangkan masa menggunakan telefon atau menonton televisyen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.