Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tetangga bising bukan setakat mengganggu, boleh cetus isu kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
 Tetangga bising bukan setakat mengganggu, boleh cetus isu kesihatan

Gambar hiasan. (Gambar: (Photo: iStock/SIphotography)

SINGAPURA: Jika anda tinggal di flat HDB, kadangkala anda mungkin terfikir apa yang sedang dilakukan jiran tetangga anda berdasarkan bunyi yang datang dari rumah mereka.

Apa agaknya yang sedang mereka lakukan sehingga perlu mengheret perabot di ruang tamu setiap hari? Mengapa bunyinya seolah-olah sedang berlaku rempuhan di rumah padahal sudah lepas pukul 12.00 tengah malam? Dan mengapa pula mereka perlu menjalankan kerja-kerja bertukang setiap hujung minggu sedang belum masuk pukul 9.00 pagi?

Kita mungkin tidak akan tahu jawapannya. Namun yang pasti, kita semakin bingit dengan bunyi bising dari rumah jiran!

Aduan berkaitan bunyi bising dari rumah jiran tetangga sudah meningkat sekitar 25 peratus, daripada 2,500 kes sebulan pada 2020 kepada 3,200 kes sebulan pada 2021, dedah Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dalam responsnya kepada soalan parlimen pada 14 Februari.

LEBIH DARI SEKADAR GANGGUAN

Jiran tetangga yang bising menimbulkan lebih daripada sekadar gangguan, menurut satu laporan yang diterbitkan dalam jurnal Applied Economics pada April 2022. Ia mungkin menyebabkan masalah-masalah kesihatan, kata Penolong Profesor Fan Yi dari Jabatan Hartanah Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau menjalankan kajian tersebut bersama Profesor Madya Ekonomi dari London School of Economics, Diana Weinhold.

Kajian dari 2008 hingga 2013 itu berdasarkan tinjauan ke atas 5,000 orang dewasa di Belanda untuk meneliti kaitan antara gangguan tidur yang dilaporkan sendiri oleh individu dengan kesihatan. Dapatannya menyarankan bahawa gabungan bunyi bising dari jiran tetangga dengan gangguan tidur boleh menyebabkan masalah kesihatan.

"Meskipun bunyi bising dari jiran tetangga biasanya dilihat sebagai satu gangguan dan bukan isu kesihatan awam, bukti-bukti yang semakin banyak mengaitkan isu kesihatan dengan gangguan tidur harus mencetuskan perbincangan serius dalam kalangan penggubal dasar dan perancang bandar," kata Penolong Profesor Fan.

"Kawalan bunyi bising lebih penting lagi di kawasan sekitaran bandar yang padat seperti Singapura, di mana lebih 95 peratus keluarga menetap di flat atau apartmen," kata beliau.

APAKAH KESAN BUNYI BISING KE ATAS KESIHATAN?

Pemenang Hadiah Nobel Robert Koch berkata pada 1910, "Satu hari nanti, manusia perlu melawan bunyi bising sepertimana mereka memerangi kolera dan serangga perosak". Kini pada tahun 2022, kata-katanya sudah terbukti benar.

S'PURA BISING?

Singapura memang bising. Purata paras bunyi bising di kawasan perumahan di bandar-bandar lebih besar dan sibuk seperti Shanghai (57 desibel atau dB), Hong Kong (60dB), Seoul (61dB) dan London (66dB) adalah lebih rendah berbanding Singapura, iaitu 69.4dB, menurut kajian yang dijalankan pada 2017 oleh para pengkaji Universiti Nasional Singapura.

Paras bunyi bising itu melebihi saranan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), iaitu tidak lebih daripada 67dB sejam secara purata. Ia hampir-hampir dengan panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu 70dB - yang merupakan paras sama dengan mesin basuh yang sedang digunakan. Ia juga paras yang boleh membuatkan anda berasa bingit.
Kurangkan Artikel
Anda mungkin berasa bahawa sekitaran semula jadi kita sudah sememangnya bising (bunyi burung, angin, dedaun yang ditiup angin), jadi walaupun tanpa bunyi bising daripada jiran tetangga, dunia kita ini memang sedia bising.

Namun, tahukah anda selain ribut petir dan gempa bumi, bunyi semula jadi alam sebenarnya lebih rendah dan mencatat hanya antara 20dB dengan 30dB sahaja?

Ada sebabnya! Dalam alam semula jadi, bunyi bising lazimnya menandakan bahaya dan mencetuskan respons "lawan atau lari", menurut kajian tersebut lagi.

"Bunyi bising secara serentak meningkatkan tekanan darah dan denyutan nadi", dan ia mengeluarkan hormon tekanan. Dalam kajian lain, bunyi bising juga didapati menyebabkan keradangan pada dinding pembuluh darah, yang boleh menjadi permulaan penyakit berkaitan jantung.

Dalam satu lagi kajian, tidur yang tidak mencukupi, diganggu atau kurang baik mutunya yang disebabkan oleh bunyi bising dikaitkan dengan pelbagai penyakit, termasuk rasa resah, obesiti, kemurungan, tekanan darah tinggi, kencing manis, demensia dan risiko tinggi kematian.

Sudah terbukti juga menerusi kajian, bahawa bunyi bising khususnya pada waktu malam, dikaitkan dengan risiko lebih tinggi berlakunya tekanan darah tinggi pada saraf, serangan jantung dan angin ahmar.

Walaupun bunyi bising itu tidak cukup kuat untuk menyebabkan anda bangun dari tidur, ia masih boleh mencetuskan perubahan elektroensefalogram dan menyebabkan kadar degupan jantung meningkat, menurut kajian mengenai gangguan tidur disebabkan bunyi bising di hospital.

Perubahan pada kadar degupan jantung mungkin menjadi tanda masalah kesihatan jantung dalam jangka panjang.

Malah bukan setakat isu jantung dan tekanan darah tinggi yang boleh timbul apabila bunyi bising mengganggu tidur anda, kata Penolong Profesor Fan.

Kajian mendapati terdapat bukti bahawa tempoh tidur boleh "berinteraksi dengan proses keradangan dan sistem imun" dan mutu tidur boleh "dikaitkan dengan pelbagai keadaan kesihatan yang tidak diingini, termasuk masalah tulang dan sendi serta paru-paru," kata beliau.

FAKTOR LAIN BURUKKAN KESAN BUNYI BISING

Meskipun terdapat saranan had bunyi bising bagi bilik tidur (sekitar 30dB atau tinggi sedikit daripada bisikan, menurut WHO), tiada panduan bagi gangguan getaran, yang disebabkan oleh kerja-kerja ubah elok, speaker KTV yang terlalu kuat atau bunyi MRT lalu.

"Beberapa kajian mendapati getaran ada kesan negatif terhadap kesihatan. Sepertimana pendedahan kepada bunyi bising, getaran akan mengganggu tidur serta tumpuan, sama ada salah satu atau kedua-duanya sekali," kata Penolong Profesor Fan. Malah getaran, tidak kira bunyi bisingnya, "didapati meninggalkan kesan ketara terhadap tidur yang tidak mencukupi, lebih menyukarkan tidur dan menyebabkan keletihan yang keterlaluan pada sebelah pagi" menurut kajian itu.

PANEL PENASIHAT S'PURA TETAPKAN "NORMA MASYARAKAT"

Di Singapura, Panel Penasihat Masyarakat sudah ditubuhkan untuk mendampingi orang awam bagi menetapkan "norma-norma masyarakat" dari segi bunyi biding serta memudahkan proses orang tengah dan membuat keputusan di Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat.

Jika anda tidak bernasib baik dan mempunyai jiran yang bising, anda boleh mengemukakan kes di Pusat Perantaraan Masyarakat, yang diselia Kementerian Undang-Undang.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan