Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Terpaksa gulung tikar selepas hanya 3 bulan, penjaja Cina Muslim ini buka semula gerai nasi lemak popularnya di lokasi baharu

Anggaran Waktu Membaca:


SINGAPURA: Kebanyakan penjaja mengambil masa untuk menarik bilangan pelanggan yang tetap.

Bagi seorang penjaja bernama Aishah Lim yang berusia 39 tahun, beliau gemar menyahut cabaran untuk memantapkan jualannya sejak pertama kali menceburi bidang perniagaan setelah beliau membuka gerai nasi lemak yang dipanggil Ah Lim Nasi Lemak di Pusat Penjaja Maxwell Januari lalu.

Namun hanya tiga bulan setelah beliau membuka gerai itu, Cik Aishah terpaksa menutup perniagaannya dengan serta-merta. Beliau telah berkongsi gerainya dengan seorang penjaja, sehingga berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak berhubung urusan sewaan.

"Setelah melalui tempoh jualan yang lumayan, kemudian tutup (kedai) seperti itu saja - ia menjejas tahap mental dan emosi saya. Saya betul-betul bertungkus lumus untuk (mengendalikan) gerai Maxwell dan melihat ia lenyap begitu saya ... Ia agak menyedihkan," ujar Cik Aishah kepada Mediacorp dalam satu wawancara.

s


PEMBUKAAN SEMULA GERAINYA DI AYER RAJAH

Setelah menutup gerainya, Cik Aishah kembali untuk menjual hidangan nasi lemaknya dari rumah dan mengendalikan kedai 'pop-up'. Menu yang ditawarkannya di Maxwell tidak asing disebabkan latar belakang Cina-Muslim Cik Aishah.

Resipi nasi lemaknya berasal daripada ibunya yang berketurunan Peranakan Hokkien. Selain itu, Cik Aishah juga menyajikan hidangan Mi Udang, yang jarang ditawarkan kepada pelanggan Muslim.

Beliau mencari sebuah gerai baharu untuk berpindah, dan akhirnya memilih unit di Pusat Penjaja Ayer Rajah, di mana beliau membuka semula gerainya pada 2 Ogos lalu.

"Setiap tempat saya pergi sangat terpencil dan tidak mempunyai orang ramai, tetapi saya ternampak ini dan saya segera membuat bidaan," kongsinya.

Memandangkan gerai Ayer Rajah Cik Aishah lebih kecil berbanding di Maxwell, beliau perlu mengurangkan menu yang ditawarkan. Beliau tidak mempunyai ruang untuk memasang alat pendingin, lantaran beliau berhenti menjual kek popularnya, seperti yang dijual di kafe, dan dibekalkan oleh kedai roti rakannya.

"Ia agak menyedihkan yang saya tidak boleh membawa kek saya bersama saya. Ia merupakan sesuatu yang ingin saya jual. Mungkin apabila semua sudah mantap, saya akan memikirkan jalan untuk menjual kek saya lagi," ujarnya.

Hidangan mi udang juga tidak lagi ditawarkan di gerai baharunya.

"Menu nasi lemak saya (sudah mencecah tahap) maksimum yang saya dapat lakukan buat masa ini. Bagi mi udang, anda perlu ruang untuk menyimpan periuk sup dan bahan-bahan yang berbeza seperti udang, tau geh dan kangkong," jelas Cik Aishah.

s
Para pelanggan masih boleh mendapatkan hidangan nasi lemak Cik Aishah dalam set sama yang ditawarkan di Maxwell sebelum ini, seperti kepak ayam ($5), ikan ($5.50), udang sambal ($6.50) dan sambal sotong ($6.50). Beliau juga telah menambah set cutlet ayam ($6) dengan paha ayam tanpa tulang.

Meskipun perlu memindahkan gerainya, Cik Aishah menarik perhatian bahawa perniagaannya di Ayer Rajah masih rancak, dengan sebilangan pelanggan lamanya dilihat mengunjungi gerai baharunya itu.

"Ada hari-hari saya habis jualan sebelum masa tutup saya. Pada Hari Kebangsaan, saya habis berniaga pada pukul 11.00 pagi dan beberapa hari pukul 12.30 tengah hari," katanya.

Cik Aishah meluahkan rasa berbesar hati tatkala melihat pelanggannya yang sanggup melakukan perjalanan semata-mata untuk mengunjungi gerainya. "Saya berterima kasih kepada mereka yang masih datang dan menyokong saya," ungkap Cik Aishah.

Ah Lim Nasi Lemak terletak di #01-22 Ayer Rajah Food Centre, 503 W Coast Dr, S120503.

Tel:
8925 4892

Waktu Beroperasi: Isnin - Jumaat, 9.00 pagi-3.00 petang; Sabtu, 9.00 pagi - 1.00 tengah hari.
Sumber : 8 Days/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan