Skip to main content

Gaya Hidup

Terlalu lama bekerja boleh buat anda mudah jatuh sakit: Bagaimana untuk kesan tanda awal

Anggaran Waktu Membaca:
Terlalu lama bekerja boleh buat anda mudah jatuh sakit: Bagaimana untuk kesan tanda awal

(Gambar: Edwin Tan/iStock)

Diterbitkan : 16 Mar 2022 09:46PM

SINGAPURA: Bukan lagi satu kejutan jika ramai orang yang bekerja dari rumah merungut kerana meluangkan terlalu banyak masa bekerja berbanding sebelum pandemik. 

Batasan antara tempat kerja dan rumah kini samakin kabur dan kita banyak mendengar kisah-kisah tentang penyelia yang tidak menghormati tempoh selepas kerja. Apa yang memburukkan lagi adalah apabila bos-bos memulakan setiap minggu dengan mengadakan mesyuarat bertubi-tubi melalui Zoom sejak dua tahun kebelakangan ini. 

Memandangkan jumlah kes Omicron masih tinggi, pekerja yang tidak dijangkiti harus bekerja lebih keras, tidak kira di rumah atau di pejabat, untuk melaksanakan tugas yang tidak dapat diselesaikan oleh rakan-rakan sekerja yang diuji positif COVID-19. Ini menarik perhatian beberapa doktor seperti Dr Lim John Wah, seorang konsultan kanan di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Hospital Besar Singapura (SGH). 

"Tugas selalu dibahagikan kepada pekerja-pekerja lain, yang terpaksa meluangkan lebih banyak masa bekerja di pejabat atau melakukannya di rumah," menurutnya. 

"Ada juga yang merasakan tidak cukup masa dalam sehari untuk melaksanakan tugas-tugas mereka"; mereka juga tidak "boleh selesaikan kesemua kerja mereka" dan berasa seperti "mereka tidak dapat mengikuti aliran kerja tambahan yang berterusan", menurut Dr Lim. 

LEBIH RAMAI  TERLALU BANYAK KERJA 

Doktor keluarga seperti Dr Shimona Khoo dari Raffles Medical menyaksikan peningkatan pada jumlah pesakit yang mengalami "simptom yang menunjukkan bahawa mereka terlalu letih". 

"Petanda-petanda biasa termasuk mutu tidur yang rendah atau tidak cukup tidur, keletihan, rasa tidak berdaya, muram dan cepat naik berang," menurut Dr Khoo. 

"Tambahan pula, terdapat keterasingan secara fizikal, dengan sedikit atau tiada interaksi bersama kawan-kawan dan rakan-rakan sekerja. Memang bukan suatu kejutan jika kesihatan mental dan fizikal seseorang itu boleh merosot," menurut Dr Khoo lagi. 

APAKAH KESAN TERHADAP TUBUH ANDA?

Bekerja untuk tempoh yang berpanjangan boleh menyebabkan tubuh anda mengeluarkan jumlah hormon tekanan yang berlebihan, terutama sekali kortisol, menurut pakar psikologi Dr Adam Borland melalui laman web Mayo Clinic. 

Ini boleh menjejas keupayaan anda untuk berfikir, tekanan darah tinggi dan penyakit-penyakit lain. 

Menurut Dr Lim, bekerja terlalu lama bukan satu masalah yang timbul semalaman. Ia adalah risiko yang "meningkat dengan masa" dan "mengelakkannya daripada menjadi kronik boleh mengurangkan rumitan jangka panjang penyakit-penyakit berkaitan". 

Ini adalah beberapa petanda yang anda terlalu banyak bekerja dan cara-cara yang anda boleh memastikan agar ia tidak memudarakatkan. 

Jika anda mengalami kesukaran untuk tidur secara berlarutan, hilang selera, rasa muram, cepat naik marah atau mempunyai niat untuk membunuh diri, Dr Khoo menasihatkan anda supaya segera mendapatkan bantuan daripada seorang doktor.

- Anda tidak boleh tidur 

Waktu tidur yang mencukupi (sekurang-kurangnya tujuh jam setiap malam) bukan sahaja membuat anda lebih cerdas dan produktif pada waktu siang. Malah, ia juga mengurangkan risiko penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis Jenis 2 dan penyakit jantung. 

Untuk Dr Khoo, ia penting untuk anda membezakan kerja dan rumah, supaya minda anda boleh berehat. Rutin mudah yang boleh membantu anda beralih dari "bekerja" ke "berehat di rumah" semudah seperti menanggalkan kanta sentuh, menukar pakaian atau berjalan-jalan di taman. 

"Apabila sudah tamat waktu bekerja, matikan segala peranti berkaitan kerja dan jangan berada di tempat kerja anda," menurut Dr Khoo. 

"Sebaik mungkin, elak menggunakan peralatan peribadi atas sebab-sebab kerja dan hanya menggunakannya untuk tujuan peribadi." 

- Jantung dan minda berdegup pantas 

"Dalam satu tinjauan ke atas 600,000 pekerja, mereka yang bekerja 55 jam atau lebih mempunyai 23 peratus lebih berisiko mengalami serangan jantung. Selain itu, risiko angin ahmar naik sebanyak 33 peratus," menurut Dr Khoo. 

Lakukan senaman untuk menaikkan kadar degupan jantung dan mengawal paras tekanan anda. Senaman meningkatkan hormon endorfin yang membuat anda gembira dan mengurangkan kadar kortisol, menurut Mayo Clinic. 

Jika anda tidak boleh berlari, jalan-jalan di estet perumahan anda sebelum atau selepas kerja. Jalan ke kedai kopi berdekatan rumah anda untuk mendapatkan makanan tengah hari dan jangan membelinya menerusi aplikasi online. 

- Sistem imun anda akan terjejas 

Jika anda sering terdedah kepada kortisol, ia akan membuat sistem imun anda lemah, menurut Dr Lim. Ini akan mengurangkan keupayaan anda melawan jangkitan biasa, menurut Dr Khoo, terutama sekali pada waktu pandemik ini. 

Oleh itu, anda harus berehat, walaupun buat seketika sahaja. Guna garis panduan 20-20-20, menurut Dr Lim. Misalnya, untuk setiap 20 minit yang anda menatap skrin komputer, lihatlah sesuatu yang berada pada jarak 20 kaki dari anda selama 20 saat. 

- Sistem gastrousus anda juga akan terjejas 

Jangan lupa makan sarapan dan makanan tengah hari. Jika anda terlupa makan dan mempunyai waktu makan yang berubah-ubah, ia akan memudaratkan penyakit-penyakit gastrousus dan mencetuskan penyakit baru seperti rasa loya, kembung dan pedih ulu hati. 

Penting untuk anda menetapkan waktu dan tempat untuk makan supaya anda boleh berehat dan kembali bertenaga, menurut Dr Khoo. 

- Otot anda semakin tegang 

Apabila anda membongkok untuk melakukan tugas, otot dan sendi anda akan kekal tegang, menyebabkan kesakitan pada bahagian bahu, leher dan belakang tubuh, menurut Dr Khoo. 

"Para pesakit boleh mengalami pening kepala jika otot di muka juga terjejas." 

Kesakitan pada bahagian belakang badan dan bahu serta leher yang tegang bukan sesuatu masalah yang biasa dialami. Badan anda sukakan pergerakan dan ketidakselesaan yang anda rasa adalah badan anda memberontak daripada dipaksa duduk berbongkok selama beberapa jam. 

Anda boleh merenggangkan otot atau tubuh anda daripada kerusi anda untuk berjalan-jalan di sekitar rumah anda. Anda juga boleh cuba mengurangkan gangguan semasa bekerja dan mengurangkan masa anda bekerja, menurut Dr Khoo. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita