Terapi muzik bawa ketenangan, bantu tangani kemurungan angkara COVID-19
Para pakar berpendapat terapi muzik mampu membantu menangani gejala kemurungan dan memberikan ketenangan terutama ketika masyarakat berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini.
KUALA LUMPUR: Para pakar berpendapat terapi muzik mampu membantu menangani gejala kemurungan dan memberikan ketenangan terutama ketika masyarakat berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Presiden Terpilih Persatuan Terapi Muzik Amerika, Lori Gooding, berkata muzik memainkan peranan penting dalam menguatkan dan merapatkan hubungan sosial di tengah-tengah penularan wabak.
"Misalnya, ada orang yang menyanyi beramai-ramai secara serentak di seluruh dunia atau pemuzik terkenal mengadakan konsert secara maya. Walaupun contoh itu bukan terapi muzik, mereka menunjukkan bagaimana individu menggunakan muzik untuk berhubung dan mencetuskan suasana tenang," katanya kepada Bernama menerusi emel.
Mengulas lanjut, Gooding - pendidik terapi muzik di Kolej Muzik Universiti Florida State - untuk seseorang individu berasa lebih santai ketika mendengar muzik, penting mendengar irama yang diminati lebih kerap - kajian menunjukkan kekerapan boleh meningkatkan keberkesanan.
"Untuk tujuan santai, kajian menunjukkan menggunakan muzik yang sedatif (tidak terlalu aktif), tidak mempunyai lirik, antara 60-80 denyut seminit, paling berkesan.
“Namun, kesesuaian untuk setiap individu adalah berbeza,” katanya.
Menurut Encik Gooding, dengan wabak yang melanda sekarang, ramai ahli terapi muzik menawarkan perkhidmatan yang menggunakan berbagai platform - termasuk Zoom, Google Meet dan beberapa platform lain.
Sementara itu, pemain sitar terkenal Malaysia, Samuel J.Dass, berkata muzik boleh berfungsi sebagai terapi kepada beberapa individu dalam masa yang mencabar ini.
“Mungkin ramai mengalami tekanan emosi atau kemurungan dan lebih tenang apabila mendengar muzik. Setiap instrumen atau nyanyian, jika iramanya sesuai ia boleh membantu memberi kesan penyembuhan," katanya.
Presiden Pusat Kesenian Komuniti Swara yang berpengalaman selama 46 tahun sebagai pemain sitar berkata, seseorang dapat mendengar irama muzik sitar pada bila-bila masa yang disukai.
Menurut Dr Garry Kuan, pengasas Orkestra Simfoni USMKK di Kubang Kerian, Kelantan, terapi muzik tidak boleh menyembuhkan atau menyelesaikan masalah akibat krisis, tetapi dapat membantu kanak-kanak dan golongan dewasa belajar menangani krisis menggunakan kemahiran dan meluahkan perasaan serta emosi.
Beliau percaya alat muzik juga boleh dijadikan sebahagian terapi muzik.
"Biola antara yang bagus ... namun ahli terapi perlu merangsang minat, keseronokan dan elemen pembelajaran ketika sesi terapi," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.