Skip to main content

Gaya Hidup

Tempahan rakyat SG bagi percutian luar negara semasa Raya naik 60%

Tempahan perjalanan antarabangsa yang dibuat oleh rakyat Singapura bagi musim Hari Raya Aidilfitri ini naik 60 peratus berbanding setahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tempahan rakyat SG bagi percutian luar negara semasa Raya naik 60%

Kuala Lumpur menduduki tangga kedua dalam senarai destinasi 10 teratas bagi rakyat SG semasa musim Hari Raya. (Gambar: Unsplash/Esmonde Yong)

Diterbitkan : 02 Apr 2025 11:22PM Dikemas Kini : 02 Apr 2025 11:26PM
SINGAPURA: Tempahan perjalanan antarabangsa yang dibuat oleh rakyat Singapura bagi musim Hari Raya Aidilfitri ini naik 60 peratus berbanding setahun lalu.

Ini mengambil kira tempoh 29 Mac hingga 6 April 2025 berbanding 6 hingga 14 April 2024.

Demikian menurut Trip.com dalam kenyataan medianya pada Rabu (2 Apr).

Data tempahan juga menunjukkan rakyat Singapura semakin memilih untuk melakukan perjalanan ke destinasi lebih jauh serta ke bandar dengan daya tarikan taman bertema semasa musim Hari Raya ini.

"Hari Raya Puasa adalah musim perayaan yang diraikan, di mana keluarga, masyarakat dan agama diberi tumpuan berbanding perkara lain.

"Sedang rakyat Singapura semakin memberi keutamaan kepada perjalanan dengan keluarga mereka semasa musim istimewa ini, mereka juga melakukan perjalanan dengan niat yang lebih penting, iaitu menyatukan perhimpunan bermakna dengan kemahuan untuk meneroka destinasi baharu," kata Pengurus besar Trip.com Singapore, Edmund Ong.

BANDAR LAIN, DESTINASI JAUH KIAN DAPAT PERHATIAN

Sekalipun ibu kota lebih dekat seperti Bangkok dan Kuala Lumpur terus mengungguli senarai sebagai destinasi paling popular dalam kalangan pelawat dari Singapura, bandar-bandar lain seperti Guangzhou dan Osaka juga semakin mendapat perhatian.

Senarai destinasi 10 teratas bagi rakyat Singapura semasa musim Hari Raya adalah seperti berikut:

1. Bangkok
2. Kuala Lumpur
3. Seoul
4. Tokyo
5. Shanghai
6. Taipei
7. Manila
8. Hong Kong
9. Guangzhou
10. Osaka

Selain itu, permintaan bagi perjalanan ke destinasi di luar ibu kota negara juga naik seganda pada musim Raya tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Senarai 10 destinasi antarabangsa teratas dengan pertumbuhan terbesar pada permintaan perjalanan bagi pelawat Singapura adalah seperti berikut:

1. Chongqing 347%
2. Chengdu 343%
3. Kunming 255%
4. Seoul (ibu kota) 235%
5. Busan 231%
6. Osaka 229%
7. Johor Bahru 209%
8. Shenzhen 195%
9. Xiamen 186%
10. Ipoh 184%

DESTINASI LEBIH JAUH TURUT JADI TUMPUAN

Selain melawat destinasi di Asia Pasifik, rakyat Singapura juga melakukan perjalanan ke destinasi lebih jauh, dengan tempahan bagi perjalanan ke Sepanyol, Switzerland, Perancis, Itali, Britain, Kanada dan Jerman semasa musim Hari Raya tahun ini naik tiga kali lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Malah, ada juga yang melakukan perjalanan ke Lima, Peru, iaitu destinasi paling jauh yang ditempah pelawat rakyat Singapura semasa musim ini.

Ini sekali gus memberi isyarat kepada peralihan dari segi pilihan, dengan rakyat Singapura melakukan perjalanan ke destinasi lebih jauh yang kaya dengan budaya, alam semula jadi, dan menawarkan pengalaman baharu.

LAWATAN KE TARIKAN TAMAN BERTEMA

Tahun ini, rakyat Singapura juga semakin melakukan perjalanan lebih jauh, dengan tempoh purata perjalanan naik kepada 9.19 hari bagi musim Hari Raya tahun ini, berbanding 8.38 hari pada tahun lalu.

Data Trip.com juga mendedahkan bahawa pelawat Singapura membelanjakan wang 5.9% lebih banyak bagi penerbangan antarabangsa dan hotel berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ini sekali gus menggambarkan minat berterusan mencari pengalaman berbaloi bagi perjalanan mereka.

Tarikan taman bertema juga menjadi lokasi paling popular dalam kalangan pelawat rakyat Singapura, dengan empat daripada lima tempahan bagi daya tarikan popular untuk perjalanan sempena musim Hari Raya tahun ini adalah bagi taman bertema di rantau Asia Pasifik.

Senarainya adalah seperti berikut:

1. Universal Studios Jepun
2. Haeundae Blueline Park
3. Shibuya Sky
4. Disneyland Hong Kong
5. Disney Resort Shanghai

Daya tarikan ini terus menjadi tumpuan rakyat Singapura betdasarkan ciri-cirinya yang bersifat hiburan, mesra keluarga dan dikelilingi pemandangan bandar yang ikonik.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita