Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tembok rumah berkulat? Ini cara atasinya...

Sama ada anda baru mengubah elok rumah atau sudah tinggal di flat anda buat tempoh yang lama, kulat boleh dan akan tumbuh sekiranya terdapat persekitaran yang menggalak pertumbuhannya - seperti iklim panas dan lembap Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Tembok rumah berkulat? Ini cara atasinya...

Gambar sebelum dan selepas syarikat Locallads menjalankan proses menghapuskan kulat pada tembok dan siling di flat seorang pelanggannya. (Gambar: Locallads)

SINGAPURA: Sama ada anda baru mengubah elok rumah atau sudah tinggal di flat anda buat tempoh yang lama, kulat boleh dan akan tumbuh sekiranya terdapat persekitaran yang menggalak pertumbuhannya - seperti iklim panas dan lembap Singapura.

Bukan sahaja dinding berkulat menyakitkan mata, ia juga mengeluarkan bau busuk dan tidak baik untuk kesihatan. Pendedahan kepada kulat boleh menyebabkan reaksi alahan, rasa lelah, jangkitan hidung dan masalah kesihatan lain.

Jadi apa yang boleh anda lakukan untuk mencegah kulat daripada tumbuh?

Adakah sesetengah rumah lebih mudah mengalami masalah kulat di dinding atau silingnya berbanding rumah-rumah lain?

Pengasas bersama dan ketua pegawai pemasaran Locallads General Contractor serta syarikat mengecat, The Colour Cure, Muhammad Fauzi, sudah agak biasa melihat rumah di Singapura dilanda masalah kulat.

Syarikat beliau menawarkan khidmat menghapuskan kulat dan mengecat semula.

Menurut Encik Fauzi, lazimnya kulat tumbuh di rumah disebabkan oleh kelembapan tinggi.

Dengan cuaca hujan dan lembap yang dialami Singapura sejak kebelakangan ini, ia hanya membantu kulat tumbuh dengan lebih cepat di dalam persekitaran sedemikian.

TIDAK CUKUP SEKADAR CAT DINDING BERKULAT

“Apabila pelanggan menghubungi kami, juruukur tapak kami akan pergi ke tempat mereka dan memeriksa ruang itu untuk mengetahui punca di sebalik pertumbuhan kulat," kata Encik Fauzi kepada Mediacorp.

“Ramai daripada mereka mempunyai salah tanggapan bahawa apabila ada kulat, anda hanya perlu menyapu pengedap minyak (oil sealer) dan itu memadai. Tetapi seperti menyapu habuk ke bawah permaidani, kulat sudah muncul di kawasan itu dan kami perlu menghapuskannya dahulu sebelum boleh dicat."

Pasukan Encik Fauzi akan melakukan proses empat langkah, yang mengambil masa antara dua hari hingga seminggu, bergantung kepada betapa teruk keadaannya.

Mereka akan memulakan proses dengan mencuci permukaan dengan air untuk menghilangkan kulat pada dinding dengan memberus, menyental atau memancutkan air pada tekanan tinggi ketika mencuci.

Kemudian, campuran cecair antikulat yang tidak toksik akan disapukan pada permukaan - selamat untuk kanak-kanak serta haiwan peliharaan - dan membiarkannya buat beberapa jam sebelum mencuci permukaan itu sekali lagi.

Selepas permukaan itu kering sepenuhnya, pengedap akan disapukan dan proses diakhiri dengan menggunakan cat antikulat.

KEBOCORAN BOLEH RANGSANG PERTUMBUHAN KULAT

Kebocoran alat hawa dingin, antara lain, boleh menyumbang kepada pertumbuhan kulat.

“Kami biasanya akan melihat keadaan rumah dan bertanya pemilik jika mereka kerap menggunakan alat hawa dingin serta sama ada mereka memastikan ada pengaliran udara yang baik selepas mandi atau menggunakan alat hawa dingin.

"Sekiranya tidak, maka it mungkin akibat kebocoran atau peresapan daripada saluran alat hawa dingin dan kami perlu memeriksanya," terang Encik Fauzi.

LOKASI RUMAH MAIN PERANAN

“Kami lazim melihat kes ini (rumah berkulat) di rumah yang terletak berhampiran hutan simpanan dan di kawasan di mana terdapat kelembapan tinggi seperti Bukit Timah atau Bukit Batok," kata Encik Fauzi.

Beliau berkata dalam kes di mana permukaan luar blok berkulat, besar kemungkinan dinding-dinding di dalam rumah juga akan terjejas.

BAGAIMANA CEGAHNYA?

Encik Fauzi menekankan bahawa langkah utama untuk mencegah kulat daripada tumbuh ialah dengan melakukan penyenggaraan secara kerap.

"Tidak kira berapa banyak kali anda mengecat, jika rumah anda ada tahap kelembapan tinggi dan anda tidak memastikan pengaliran udara yang baik, kulat akan timbul lagi," ujarnya.

"Kami selalu memberitahu pelanggan supaya memantau dan memastikan pengaliran udara sebaik mungkin di rumah mereka. Jika puncanya adalah kelembapan yang terperangkap di dalam rumah, maka kami menasihatkan mereka supaya membeli alat mengurangkan kelembapan dan menghidupkannya buat satu hingga dua jam setiap hari," ujar beliau.
Sumber : Today/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan