Skip to main content

Gaya Hidup

Telur Faberge catat rekod lelongan S$39.4 juta di London

Anggaran Waktu Membaca:
 Telur Faberge catat rekod lelongan S$39.4 juta di London
Telur mewah yang dikenali sebagai Winter Egg itu dianggap antara ciptaan paling indah oleh tukang emas legenda Carl Fabergé. (Gambar: AP)
Diterbitkan : 03 Dec 2025 11:29PM Dikemas Kini : 03 Dec 2025 11:31PM
LONDON: Sebutir telur Fabergé yang dihiasi berlian dan pernah dimiliki keluarga diraja Rusia telah mencatat rekod dunia apabila dijual pada harga £22.9 juta (S$39.4 juta) dalam satu lelongan di London, menurut rumah lelongan Christie’s.

Telur mewah yang dikenali sebagai Winter Egg itu dianggap antara ciptaan paling indah oleh tukang emas legenda Carl Fabergé, menurut laporan Astro AWANI. 

Ia ditempah khas oleh Tsar Nicholas II pada tahun 1913 sebagai hadiah kepada ibunya, Maharani Maria Feodorovna.

Berukuran hanya 8.2 sentimeter tinggi, telur itu diperbuat daripada kristal batu dan dihiasi dengan lebih 4,500 berlian potongan mawar serta motif salji daripada platinum.

Reka bentuknya diilhamkan oleh Alma Theresia Pihl, salah seorang daripada dua tukang wanita utama di bengkel Fabergé di St. Petersburg, lapor Astro AWANI. 

Menurut Christie’s, telur itu dibeli oleh seorang pembida tanpa nama selepas persaingan sengit dalam kalangan pengumpul antarabangsa.

Harga tersebut memecahkan rekod lelongan sebelumnya bagi karya Fabergé, iaitu £8.9 juta (S$15.3 juta) yang dicatat pada tahun 2007.

“Keputusan hari ini menetapkan rekod dunia baharu bagi karya Fabergé, sekali gus mengukuhkan lagi nilai sejarah dan artistik ciptaan ini,” kata Margo Oganesian dari Christie’s seperti dilaporkan agensi berita AFP.

Telur Winter Egg itu sudah beberapa kali mencatat rekod lelongan sejak ia mula muncul di pasaran seni, dan kini terus mengekalkan statusnya sebagai simbol kemewahan dan ketukangan halus era Empayar Rusia.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita