Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tarikan baru Langkawi Eagle's Nest Skywalk dijangka siap jelang Jul 2023

Anggaran Waktu Membaca:

LANGKAWI: Eagle's Nest Skywalk Langkawi yang menjadi daya tarikan terbaru di pulau peranginan itu, dijangka dibuka kepada orang ramai selepas pembinaannya siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek tersebut yang dimulakan pada 2019 sebelum ini menghadapi pelbagai cabaran termasuk tempoh pandemik COVID-19 yang menyebabkan kerja-kerja pembinaannya ditangguhkan.

"Namun kini kerja-kerja pembinaan sudah menghampiri 100 peratus, jadi saya mengucapkan tahiah kepada MBI Kedah (Perbadanan Menteri Besar Kedah) dan syarikat Baron Group yang terbabit dalam projek ini yang telah berusaha dari peringkat awal sehinggalah ke tahap ini.

"Projek ini adalah 100 peratus diilhamkan, direka bentuk dan pembinaannya oleh anak-anak tempatan sekali gus membuktikan anak-anak Kedah ini berupaya membangunkan projek ikonik yang bertaraf dunia," katanya ketika berucap pada majlis praperasmian Eagle's Nest Skywalk Langkawi pada Jumaat (26 Mei).

Terletak di puncak Gunung Machinchang pada ketinggian 645 meter dari aras laut, Encik Muhammad Sanusi berkata pembinaan Eagle's Nest Skywalk yang menelan kos RM30 juta (S$8.8 juta) direka bentuk dengan mengambil ilham daripada ikon Langkawi iaitu burung helang.

Tambahnya, Eagle's Nest Skywalk yang memiliki dek langit sepanjang 38 meter dan merupakan 'free standing skywalk' terpanjang di dunia, dijangka berupaya menarik lebih ramai pelancong ke pulau bebas cukai tersebut.

Sementara itu, Encik Muhammad Sanusi berkata penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri seperti MBI Kedah bersama-sama syarikat swasta dalam projek pembangunan di negeri itu penting khususnya untuk industri pelancongan.

Menurutnya, jalinan kerjasama GLC bersama penggerak industri khususnya di pulau peranginan ini dapat mengembangkan lagi potensi pembangunan ekonomi dan pelancongan di Kedah.

"Saya berharap projek-projek baru yang lain akan terus dibangunkan dan mampu memberikan impak yang positif seterusnya limpahan ekonomi yang dapat dinikmati oleh penduduk Langkawi Permata Kedah yang kita cintai ini," ujarnya lagi. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan