Tarik Cafe di Arab Street kedai baru penuhi selera minum teh
Terceruk antara deretan rumah-rumah kedai di Arab Street ialah Tarik Cafe, sebuah kedai teh tarik baru yang menawarkan pelbagai pilihan minuman teh.

Kedai Tarik Cafe di Arab Street. (Gambar: Briyani Bhai/Instagram)
SINGAPURA: Terceruk antara deretan rumah-rumah kedai di Arab Street ialah Tarik Cafe, sebuah kedai teh tarik baru yang menawarkan pelbagai pilihan minuman teh.
Menurut blog thehalaleater yang mengunjungi kedai itu baru-baru ini, ia mungkin tidak sukar untuk perasan Tarik Cafe kerana ia terletak di lorong yang menempatkan banyak kedai kain, berbeza daripada kebanyakan kedai makanan dan minuman (F&B) yang tertumpu di Bussorah Street.
Kedai itu, yang dicat warna biru sekata pada semua tingkap dan pintunya, menyediakan bermacam pilihan teh untuk memenuhi selera anda terutama tatkala cuaca sejuk.
Selain teh tarik biasa, anda juga boleh mencuba teh halia dan teh zaffran. Namun, ia tidak terhad kepada teh tarik sahaja. Ada juga teh O, teh O limau, kopi O dan Milo untuk mereka yang terasa mahu membasahkan tekak dengan minuman lain selain teh bersusu.
Jika cuaca panas pula, apa kata anda pesan minuman itu dalam versi sejuk yang akan ditambah dengan ais.
Selain itu, ada juga air Assam Boi dan Kathirah untuk membasahkan tekak anda yang kekeringan tatkala musim panas.

Menariknya, jika anda memandu dan ingin cepat, anda tidak perlu meletakkan kenderaan kerana Tarik Cafe menawarkan khidmat pandu lalu. Pesan saja langsung dari kenderaan anda di tepi jalan dan bungkusan minuman yang dipilih segera siap.
Seperti kedai terkenal Bhai Sarbat yang terletak tidak jauh dari situ, Tarik Cafe juga menawarkan minuman panas dalam kotak untuk dibawa pulang - sesuai dinikmati semasa menganjurkan acara keramaian.

(Gambar: tarik_cafe/Instagram)
Setiap kotak berisi 2.8 liter minuman teh pilihan - sama ada teh tarik, teh halia atau teh masalah - dengan harga antara S$30 hingga S$33.
Biarpun nama kedainya Tarik Cafe, ia menawarkan lebih daripada sekadar minuman teh sahaja. Terdapat juga aneka pilihan makanan dan kudapan untuk anda nikmati sebagai gandingan kepada minuman yang dibeli.
Kedai berkonsepkan membawa pulang itu bagaimanapun tidak menyediakan tempat duduk.
Jadi, makanan yang ditawarkan dibungkus untuk anda bawa pulang dan menjamunya baik di rumah, pejabat ataupun mana-mana sahaja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.