Tanggung derita ekzema kronik; perlu ambil ubat ribuan dolar sepanjang hayat
Ekzema atau Dermatitis merupakan jenis masalah kulit yang paling banyak dirawat di Pusat Kulit Nasional (NSC) untuk tiga tahun berturut-turut.
SINGAPURA: Ekzema atau Dermatitis merupakan jenis masalah kulit yang paling banyak dirawat di Pusat Kulit Nasional (NSC) untuk tiga tahun berturut-turut.
Menurut NSC lagi, ekzema menjejas satu daripada 10 orang dan lebih 10,000 kes baru didiagnos tahun lalu.
Jumlah itu turun sedikit berbanding 16,000 pada tahun sebelumnya (2019).
KRONIK EKZEMA; JEJAS BAHAGIAN MUKA JUGA
Beginilah penderitaan yang ditanggung Cik Zaleha Abdul Kader sejak Ogos lalu sebelum menerima suntikan Dupixent bagi mengurangkan keradangan yang berterusan.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
"Kulit selalu sakit. Sebab selalu merkah. Merkah berdarah, kadang-kadang menanah. Bau hamis dan kalau nak bergerak pun susah," kongsi Cik Zaleha.
Cik Zaleha yang kini berusia 54 tahun sudah mengalami masalah ekzema sejak umurnya 13 tahun lagi.
Sebelum ini, ia hanya menjejas bahagian badannya sahaja tetapi kali ini, di bahagian muka juga.
"I tak tengok cermin. Awak bayangkan kulit amat kering. Awak bergerak sedikit merekah. Bila merekah, berdarah. Mandi seksa sangat. Pedih," ujar Cik Zaleha lagi.
SUNTIKAN DUPIXENT BERHARGA $1,000
Dengan keadaannya yang bertambah teruk, Cik Zaleha mendapatkan rawatan dan ditahan di Hospital Besar Changi (CGH) selama lapan hari.
Cik Zaleha kini perlu mengambil dua suntikan Dupixent setiap bulan untuk sepanjang hayatnya.
Setiap suntikan itu berharga sekitar $1,000.
Mujur beliau mendapat bantuan kakitangan kebajikan sosial perubatan dari CGH.
Selain suntikan, Cik Zaleha juga perlu menyapu pelbagai jenis krim di seluruh anggota badannya setiap tiga jam agar ia tidak kering dan merekah.
EKZEMA BUKAN KUDIS, TIDAK BERJANGKIT
Sebelum ini, hanya keluarga terdekat yang tahu tentang keadaannya dan bila keluar rumah, beliau sering berpakaian lengan dan seluar panjang.
Cik Zaleha menambah: "Saya sudah penat pakai baju lengan panjang. Nak berselindung. Tanya apa khabar, baik Alhamdulillah padahal di dalam merana. Ekzema ini bukan macam sakit kulit, bukan kudis. Ia tidak merebak dan jangan takut pada orang yang ada ekzema sebab kadang-kadang orang geli, mereka takut nak dekat. Mereka takut berjangkit."
DAYA PENGLIHATAN TERJEJAS
Selain menahan sakit ekzema, Cik Zaleha juga kini menanggung kesan sampingan daripada salah satu ubat yang dimakannya sejak usia 20 tahun lagi bagi mengawal keadaan kulitnya.
Doktor menjelaskan kepada dia bahawa ubat steroid itu membuatkan tulangnya tidak kuat dan menjejas penglihatannya serta katarak.
Daya penglihatannya kini hanya sekitar 40 peratus di mata sebelah kanannya, manakala 10 peratus pada sebelah kirinya.
Apabila keradangan melanda, kulit matanya juga terjejas dan timbul rasa gatal dan dia menggosok matanya terlalu kuat sehingga kornea mata kirinya koyak.
Beliau sepatutnya menjalani pembedahan bagi merawat katarak namun terpaksa menangguhkannya beberapa kali kerana mengalami masalah ekzema.
Cik Zaleha yang sebelum ini bekerja sebagai seorang jurugambar, terpaksa berhenti kerja seketika akibat keadaannya dan permintaan bagi khidmat fotografi diburukkan lagi dengan keadaan COVID-19.
Kini beliau menyara kehidupannya dengan menghasilkan 'keychain' hasil buatan tangannya sendiri.
Setiap 'keychain' itu dijual pada harga S$5.
Sebagai seorang pesakit, Cik Zaleha berharap kesedaran masyarakat tentang ekzema dapat ditingkatkan agar lebih peka terhadap keadaan pesakit sepertinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.