Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tangguh dulu aktiviti lasak selepas vaksinasi

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Pengambilan vaksin COVID-19 termasuk dos penggalak akan menyebabkan tindak balas di dalam tubuh badan.

Ia mungkin menyebabkan individu itu berasa letih, pening, sengal, demam, tidak bermaya, muntah dan sebagainya.

Setiap orang mempunyai reaksi berbeza, namun sebilangan besar hanya menunjukkan reaksi yang sederhana dalam tempoh beberapa hari.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Nizam Baharom, berkata sewaktu tubuh badan mengalami tindak balas daripada suntikan vaksin, secara puratanya, kadar degupan jantung sewaktu rehat ('resting heart rate') meningkat sebanyak 10 detik seminit

Menurut Dr Nizam, sebagai contoh, sekiranya kadar degupan jantung sewaktu rehat selalunya 60 seminit, selepas suntikan vaksin, ia akan meningkat kepada 70 seminit, lapor Harian Metro.

"Setiap individu mungkin mempunyai reaksi yang berbeza dan kesan ini mungkin berterusan selama seminggu atau lebih.

"Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan supaya individu berkaitan ini tidak melakukan aktiviti fizikal yang berat seperti bersukan secara agresif selama seminggu selepas suntikan vaksin, sama ada dos pertama, kedua atau penggalak.

"Ini kerana kenaikan kadar degupan jantung sewaktu rehat akan meningkat dengan lebih tinggi sewaktu bersukan, lebih tinggi daripada kebiasaan," terangnya. 

Menurut beliau, ada juga negara menyarankan individu ini untuk mengelakkan aktiviti fizikal yang berat selama dua minggu selepas suntikan vaksin.

Namun, kata Dr Nizam, setakat ini, tiada garis panduan yang khusus untuk aktiviti bersukan selepas suntikan dos penggalak.

"Terbaru, satu kajian dari Universiti Negeri Iowa, Amerika Syarikat (AS), menunjukkan bahawa aktiviti fizikal ringan dan sederhana seperti berjalan boleh meningkatkan jumlah antibodi yang dihasilkan selepas suntikan vaksin COVID-19 PfizerBioNTech.

"Kajian ini adalah ke atas penerima dos pertama. Kajian lanjutan amat diperlukan untuk melihat kesan selepas pengambilan vaksin dos penggalak.

"Namun, kajian dari Iowa menggalakkan untuk kita kekal aktif secara ringan atau sederhana dan bukan bersifat sedentari selepas menerima vaksin," katanya.

MIOKARDITIS & PERIKARDITIS

Menurut rencana Harian Metro, Dr Nizam berkata miokarditis adalah keradangan otot jantung manakala perikarditis ialah keradangan lapisan yang menyelaputi jantung.

Jelasnya, data terkumpul dari dalam dan luar negara mendapati terdapat risiko yang sangat kecil (10 hingga 40 per satu juta populasi) untuk komplikasi ini berlaku berikutan dos kedua dan penggalak vaksin mRNA seperti Moderna serta Pfizer-BioNTech.

"Statistik mendapati, fenomena ini lebih cenderung kepada golongan muda terutama lelaki.

"Kebanyakan kes miokarditis dan perikarditis adalah tidak bahaya, bersifat sementara serta pulih setelah tempoh rehat," katanya seperti ditukil Harian Metro. 

BILA BOLEH KEMBALI BERSUKAN?

Dr Nizam berkata terdapat persoalan tentang berapa lama perlu menunggu untuk kembali bersukan selepas menerima dos penggalak.

"Pertama, secara lazimnya, kita digalakkan rehat selama seminggu sebelum melakukan aktiviti fizikal yang berat.

"Kedua, prihatin terhadap apa yang tubuh 'beritahu'. Sekiranya masih berasa tidak sedap badan, sedikit lemah dan apa-apa tanda yang lain, jangan paksa diri untuk melakukan aktiviti fizikal berat.

"Periksa kadar degupan jantung sewaktu rehat. Terdapat pelbagai teknologi yang boleh membantu seperti jam tangan pintar untuk melihat kadar degupan jantung.

"Waktu terbaik untuk melihat kadar degupan jantung sewaktu rehat adalah selepas bangun daripada tidur. Sekiranya boleh, periksa juga tekanan darah secara berkala.

"Berikan peluang kepada sistem imuniti untuk memberikan tindak balas terbaik selepas menerima suntikan dos penggalak," nasihatnya.

Menurut Dr Nizam lagi, sekiranya perlu, ia mungkin mengambil masa lebih daripada seminggu.

"Jangan berikan tekanan tambahan pada sistem tubuh dengan melakukan aktiviti fizikal berat.

"Sekiranya anda sering melakukan aktiviti fizikal berat secara rutin (seperti atlet), disarankan merancang aktiviti dengan mengambil kira waktu rehat selepas dos penggalak," katanya.

KEJADIAN DARAH BEKU

Menyentuh dakwaan mengatakan spike protein daripada vaksin Pfizer boleh menjadikan 'darah pekat' dan mereka yang aktif bersukan mudah diserang radang jantung, Dr Nizam menjelaskan frasa darah pekat merujuk kepada kecenderungan untuk mendapat darah beku yang boleh menyebabkan saluran darah kecil dan besar tersumbat.

Dr Nizam berkata ini boleh menyebabkan serangan jantung, angin ahmar dan kerosakan kepada organ lain.

"Situasi ini boleh berlaku kepada pesakit COVID-19 tahap empat dan lima.

"Beberapa kajian mendapati pelbagai spike protein daripada virus COVID-19 (SARS-CoV-2) bertindak dengan faktor pembekuan darah ('blood coagulation factor') dan meningkatkan risiko darah beku serta keradangan.

"Kejadian darah beku daripada vaksin COVID-19 adalah jauh lebih rendah berbanding dengan pesakit COVID-19 tahap empat dan lima.

"Kejadian darah beku (yang jarang berlaku) lebih dikaitkan dengan generasi awal vaksin Oxford-AstraZeneca dan Johnson & Johnson (J&J) yang menggunakan konsep vektor adenovirus," katanya.

Beliau berkata bagi vaksin Pfizer and Moderna, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC Atlanta) melaporkan tiada hubung kait signifikan dengan sindrom trombositopenia yang menyebabkan darah beku.

"Pakar imunologi menerangkan bahawa spike protein yang dihasilkan oleh vaksin berbeza dengan spike protein daripada virus sebenar.

"Vaksin COVID-19 membawa kod untuk sel manusia menghasilkan spike protein tertentu sahaja agar sistem imunisasi dapat membina antibodi yang tepat untuk melawan virus sebenar, sekiranya dijangkiti virus SARS-CoV-2.

"Spike protein yang dihasilkan juga diubah agar ia mempunyai fungsi terhad, tanpa memberi kesan tindak balas penuh seperti spike protein daripada virus asal.

"Satu daripada kaedah digunakan adalah dengan mengubah dua asid amino agar spike protein yang terhasil sentiasa stabil di dalam status 'prefusion'.

"Maka, risiko darah pekat daripada dos penggalak Pfizer adalah sangat rendah," beliau menerangkan kepada Harian Metro.

Beliau menambah, seperti dinyatakan sebelum ini, bagi mereka yang aktif bersukan, digalakkan rehat daripada aktiviti fizikal berat selama seminggu.

Beliau berkata pada masa sama, sentiasa pantau tahap kesihatan sebelum memulakan aktiviti senaman.

MASALAH JANTUNG

Berhubung dakwaan lain seperti sakit di bahagian kiri jantung (seperti mencucuk-cucuk) selepas bermain futsal dan dimaklumkan tiada masalah jantung selepas melakukan pemeriksaan, Dr Nizam berkata pemeriksaan terhadap pesakit yang mempunyai gejala serangan jantung atau komplikasi penyakit jantung adalah untuk memastikan diagnosis yang tepat dapat dilakukan agar rawatan bersesuaian (akut dan kronik) dapat diberikan.

"Sekiranya tiada penemuan abnormal dikesan dan pesakit pulih daripada gejala dialami, pemantauan selanjutnya adalah amat penting.

"Sekiranya gejala berulang, pesakit perlu melakukan pemeriksaan lanjutan," katanya.

Beliau berkata, kesan advers susulan imunisasi (AEFI) merujuk kepada sebarang kesan sampingan yang mungkin dialami selepas menerima suntikan vaksin.

Menurutnya, ada kajian mendapati 85 peratus mendapat kesan sampingan lokal seperti sengal otot dan alahan di kawasan suntikan.

"50 peratus pula mendapat kesan sampingan sistemik seperti demam, pening dan keletihan.

"Ia juga adalah tanda sistem imunisasi anda sedang bertindak balas dengan rangsangan diberikan.

"Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melaporkan, sebahagian besar (93 peratus) AEFI yang dilaporkan adalah tidak serius dan pulih dalam masa singkat," katanya.

Menurut Dr Nizam, untuk mengurangkan risiko kesan AEFI, seseorang itu perlu berada pada tahap kesihatan yang baik sebelum mengambil suntikan dos penggalak.

"Ambil air secukupnya dan pastikan untuk mengekalkan tahap hidrasi yang baik.

"Selepas suntikan, pantau sebarang kesan sampingan yang mungkin dialami.

"Boleh juga mendapatkan ubatan di farmasi seperti paracetamol, ibuprofen atau antihistamin untuk mengurangkan kesan lokal dan sistemik susulan vaksin.

"Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala yang serius," katanya.

Dr Nizam berkata, kesimpulannya, tujuan pemberian dos penggalak adalah bagi mencapai perlindungan optimum terhadap jangkitan COVID-19, sama ada daripada varian asal atau varian membimbangkan (VOC).

"Risiko kesan sampingan serius daripada dos penggalak adalah sangat rendah berbanding komplikasi jangkitan COVID-19.

"Sekiranya masih ragu-ragu, segeralah berbincang dengan pegawai perubatan berhampiran.

"Pengambilan vaksin serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lain membantu mengurang dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 agar pandemik ini cepat berakhir," katanya kepada Harian Metro.

Sumber : Agensi berita/KF/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan