Skip to main content

Gaya Hidup

Taman tema Upin & Ipin bakal dibuka di King’s Park Genting Highlands

Anggaran Waktu Membaca:
Taman tema Upin & Ipin bakal dibuka di King’s Park Genting Highlands
Maskot Upin dan Ipin di hadapan Replika Ibu Pejabat Les' Copaque Production semasa lawatan LCXPO. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Les’ Copaque Production Sdn. Bhd., sebuah studio animasi terkemuka Malaysia dan pencipta watak animasi Upin & Ipin, meraikan ulang tahun ke-20 dengan pelancaran LC Xpo 2025, iaitu sambutan empat hari yang sarat dengan kreativiti, budaya dan inovasi.

Bersempena dengan pencapaian yang bersejarah ini, Les’ Copaque Production secara rasmi mengumumkan projek impian yang telah lama dinantikan, Taman Tema Upin & Ipin, yang bakal dibuka di King’s Park Genting Highlands melalui majlis tandatangan kerjasama antara Les’ Copaque Production Sdn Bhd dan Kings’ Park Management Sdn. Bhd.

Kerjasama ini menandakan satu lonjakan besar dalam landskap hiburan dan pendidikan (edutainment) Malaysia, dengan menjanjikan destinasi bertaraf dunia yang direka khas untuk seisi keluarga, kanak-kanak serta para peminat dari semua peringkat umur.

Taman tema yang akan dibangunkan itu bakal menampilkan pengalaman imersif yang diinspirasikan daripada pasangan kembar animasi paling ikonik di Malaysia, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi “edutainment” yang menggabungkan kreativiti, budaya dan keseronokan untuk seisi keluarga.

Encik Burhanuddin Md Radzi, iaitu pengasas dan Pengarah Urusan, Les’ Copaque Production Sdn Bhd berkata: “Daripada sebuah impian kecil pada 2005 hingga menjadi studio animasi paling disayangi di Malaysia, perjalanan kami sentiasa berteraskan semangat dan tujuan.

"Taman Tema Upin & Ipin menandakan sebuah bab baharu yang lebih berani, sebuah usaha yang menghidupkan cerita-cerita kami dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang."

Encik Darren Yang, yang juga pengarah King’s Park Management Sdn Bhd berkongsi: “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Les’ Copaque untuk membangunkan destinasi keluarga bertaraf dunia di King’s Park Genting Highlands. Upin & Ipin ialah ikon budaya, dan taman tema ini bakal meraikan kreativiti Malaysia di pentas antarabangsa.”

Ditubuhkan pada 2005, Les’ Copaque telah mengubah landskap industri animasi Malaysia dan meraih pengiktirafan antarabangsa melalui siri animasi Upin & Ipin.

LC Xpo 2025, yang berlangsung dari 11 hingga 14 Disember di WTC Kuala Lumpur, meraikan legasi itu, sekali gus memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita