Skip to main content

Gaya Hidup

Taman tema Pokemon akan dibuka di Jepun pada Feb 2026

Berita baik untuk para peminat Pokemon!
Anggaran Waktu Membaca:
Taman tema Pokemon akan dibuka di Jepun pada Feb 2026
PokePark Kanto terletak di dalam taman hiburan Yomiuriland di Tokyo, Jepun. (Gambar: PokePark Kanto)
Diterbitkan : 12 Nov 2025 10:32PM
  • Sebuah taman tema Pokemon, PokePark Kanto akan dibuka secara rasmi di Jepun pada 5 Februari 2026.
  • Taman tersebut dibahagikan kepada dua zon bertema iaitu "Sedge Town" dan "Pokemon Forest".
  • Para pengunjung berpeluang melihat lebih daripada 600 watak Pokemon di seluruh taman itu.
  • Bagi penduduk di Jepun, tiket akan dijual melalui sistem undian, dengan pendaftaran dibuka di laman web rasmi PokePark Kanto pada pukul 6.00 petang (waktu Jepun) pada 21 November 2025 dan berakhir pada 8 Disember.
Dijana oleh AI
TOKYO: Berita baik untuk para peminat Pokemon!

Sebuah taman tema Pokemon, PokePark Kanto akan dibuka secara rasmi di Jepun pada 5 Februari 2026.

Ia akan menjadi kemudahan luaran tetap yang pertama bertemakan dunia watak cereka dalam permainan video, Pokemon.

Ia akan dibina dalam taman hiburan Yomiuriland di Tokyo, Jepun dan meliputi kawasan seluas 2.6 hektar.

Taman tersebut dibahagikan kepada dua zon bertema iaitu "Sedge Town" dan "Pokemon Forest".

Di "Pokemon Forest", para pengunjung berpeluang melihat watak Pokemon "berkeliaran dalam sekitaran alam semula jadi" di kawasan denai sepanjang 500 meter.

Sementara itu di "Sedge Town", ia menawarkan pengalaman cukup imersif dalam dunia Pokemon.

Para pengunjung berpeluang melihat lebih daripada 600 watak Pokemon di seluruh taman itu.

Dua tiket akan dijual sewaktu pelancaran iaitu "Ace Trainer's Pass" dan "Trainer's Pass".

Para pemegang pas "Ace Trainer's Pass" boleh mengakses kedua-dua zon tema "Sedge Town" dan "Pokemon Forest" pada bila-bila masa sepanjang hari, serta menikmati keistimewaan tambahan seperti sesi bertemu dengan peminat, laluan keutamaan di tarikan-tarikan yang ditawarkan, mendapat tempat duduk khas dalam persembahan "Sedge Gym Show" dan barangan ekslusif.

Sementara itu, "Trainer's Pass" pula menawarkan kemasukan tanpa had ke "Sedge Town" dan kemasukan sekali ke "Pokemon Forest" mengikut jadual yang dipilih.

Satu lagi pas, iaitu "Town Pass" yang memberi akses ke "Sedge Town" sahaja, dijadual dilancarkan pada musim panas 2026.

Semua tiket merangkumi kemasukan ke Yomiuriland.

Bagi penduduk di Jepun, tiket akan dijual melalui sistem undian, dengan pendaftaran dibuka di laman web rasmi PokePark Kanto pada pukul 6.00 petang (waktu Jepun) pada 21 November 2025 dan berakhir pada 8 Disember.

Keputusan akan diumumkan pada hujung Disember.

Butiran bagi penjualan tiket antarabangsa belum diumumkan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita