Taman Lakeside dibuka kepada awam; fasa pertama pembangunan Taman Tasik Jurong
Taman Lakeside seluas 53 hektar yang merupakan sebahagian daripada projek Taman Tasik Jurong, dibuka kepada orang ramai pada Sabtu (27 Apr).
SINGAPURA: Taman Lakeside seluas 53 hektar yang merupakan sebahagian daripada projek Taman Tasik Jurong, dibuka kepada orang ramai pada Sabtu (27 Apr).
Ia merupakan fasa pertama dibuka di bawah projek Taman Tasik Jurong seluas 90 hektar yang merupakan taman negara terbesar Singapura dan yang pertama seumpamanya di kawasan kejiranan.
Taman Lakeside, yang merangkumi Jurong Lake Gardens West dan bekas tapak Jurong Lake Park, dibangunkan dengan tumpuan pada alam semula jadi, masyarakat dan riadah, menurut Lembaga Taman Negara (NParks).
Terletak di sepanjang Yuan Ching Road dan bersebelahan stesen MRT Lakeside, taman tersebut menyediakan kawasan permainan Forest Ramble, bagi kanak-kanak antara lima dengan 12 tahun. Menurut NParks, kawasan seluas 2.3 hektar itu adalah taman permainan semula jadi terbesar di kawasan kejiranan dan mempunyai 13 stesen teroka untuk kanak-kanak.
Di bahagian utara Taman Lakeside, terdapat kawasan permainan air cetek bagi kanak-kanak dinamakan Clusia Cover, selain sebuah kolam eko dan kafe.
Para pengunjung juga boleh menyusuri kawasan hutan paya air tawar yang dipulihara, menempatkan sekitar 50 jenis tumbuhan, termasuk pokok Rasau, Nibong dan 'Sealing Wax'. Laluan Rasaw Walk itu membawa pengunjung ke kawasan padang rumput Grasslands dan kawasan tanah bencah berdekatan yang menggabungkan pelbagai ekosistem seperti tempat tinggal memerang dan pelbagai jenis burung.
"Pembangunan Taman Lakeside dilakukan dengan penuh prihatin, mengambil kira ketenangan kawasan sekitar sambil menyepadukan ruang-ruang bagi keperluan masyarakat dan riadah," menurut NParks dalam satu kenyataan media.
Bagi meraikan pembukaan taman itu, Pertunjukan Hortikultur SGF akan diadakan buat julung-julung kalinya dari 27 April hingga 5 Mei. Acara itu sebahagian Pesta Taman Singapura.
Sebuah karnival juga diadakan pada Sabtu bagi menandakan pembukaan PAssion WaVe @ Jurong Lake Gardens, kemudahan pesisiran pantai pertama di kawasan barat oleh Persatuan Rakyat (PA). Ia menawarkan pelbagai aktiviti riadah di air seperti kayak dan paddle-boat, selain acara gaya hidup berhubung makanan dan kesihatan.
Sport Singapore turut membuka Taman ActiveSG dalam taman tersebut. Ia menampilkan sebuah kolam renang, kawasan riadah dan sebuah gimnasium.
Dengan pembukaan Taman Lakeside, NParks menyatakan pihaknya akan memulakan fasa kedua pembangunan dengan membuka tender pembinaan Chinese Garden dan Japanese Garden serta Garden Promenade. Kawasan-kawasan lain Taman Tasik Jurong akan dibuka secara bertahap-tahap bermula 2021.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.