Taman Haiwan S'pura pasang khemah; tawar penginapan luar biasa 2 hari 1 malam
Sudah jemu menginap di hotel-hotel dalam negeri sepanjang pandemik ini tetapi masih belum puas bercuti?

Taman Haiwan Singapura menawarkan penginapan ala glamping dari 16 Disember 2021 hingga 19 Mac 2022. (Gambar-gambar: Mandai Wildlife Group)
SINGAPURA: Sudah jemu menginap di hotel-hotel dalam negeri sepanjang pandemik ini tetapi masih belum puas bercuti?
Ada satu lagi tempat 'staycation' luar biasa, jika anda sanggup berbelanja lebih sedikit.
Taman Haiwan Singapura dibuka untuk tempahan penginapan 2 hari 1 malam dari 16 Disember hingga 19 Mac 2022. Berharga S$1,499 untuk satu malam, ia setanding dengan penginapan di sebuah hotel lima bintang tetapi pengalaman yang dijanjikan bukan biasa-biasa.
Anda bagaimanapun tidak boleh menggunakan Baucar Teroka Semula Singapura atau 'SingapoRediscover'.
Harga itu termasuk penginapan untuk sehingga empat tetamu di sebuah khemah cantik berhias, beberapa lawatan dan pengalaman berpandu serta jamuan makan sebanyak dua kali. Hanya ada tiga khemah untuk ditempah bagi setiap malam.

Sememangnya pada harga itu, khemah penginapan yang disediakan bukan ala kadar. Setiap khemah kubah itu lengkap berhawa dingin dan memuatkan dua katil kelamin atau 'double bed'. Tetamu akan menginap di astaka di Pavilion by the Lake di Taman Haiwan Singapura. Bayangkan, anda bangun dan melihat pemandangan Kolam Air Upper Seletar yang nyaman lagi menyejukkan mata.
Penginapan bermula pada jam 1.00 tengah hari dan berakhir pada pukul 10.00 pagi keesokan hari. Ia termasuk makan malam dan sarapan di Forest Lodge. Selain itu, anda boleh mengikuti lawatan dan pengalaman berpandu di taman haiwan.
Selepas daftar masuk ke khemah, anda akan dibawa bertemu empat mata dengan gajah-gajah Asia, menyertai lawatan berpandu ke hutan belantara Afrika di mana anda berpeluang memberi makan kepada badak sumbu putih dan menyaksikan pertunjukan secara langsung 'Splash Safari'. Di pertunjukan itu, dengan tempat duduk yang ditempah, anda boleh berswafoto bersama singa laut.
Kemudian, anda boleh menyegarkan semula diri dengan berehat untuk makan malam sebelum menyambung kembara ke Rainforest Lumina bagi meneroka pengalaman interaktif di bawah langit malam.
Selepas sarapan pada keesokan pagi pula, anda berpeluang berjumpa dan beramah mesra dengan duta haiwan.
Sepanjang di sana nanri, jangkakan jadual pengalaman yang padat!
Namun jangan risau, anda boleh membersihkan diri di bilik air yang berdekatan dan mengecas peralatan anda di khemah.
Tempahan dibuka hanya kepada individu sudah divaksin. Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah mesti datang dari isi rumah yang sama. Dapatkan lebih banyak butiran di pautan ini.

Jika anda tidak mahu berbelanja terlalu besar, penginapan River Wonders - yang sebelum ini dikenali sebagai River Safari - berharga S$999 untuk setiap khemah disediakan dan ia juga boleh menampung sehingga empat tetamu.
Bagi penginapan itu pula, anda akan bermalam di satu daripada empat khemah di River Wonders. Selain melihat manati berenang melewati sungai dan berjumpa dengan haiwan-haiwan comel, anda juga boleh menghadiri sesi di sebalik tabir serta lawatan berpandu.
Jamuan malam di restoran Night Safari dan sarapan di Inuka Cafe Taman Haiwan Singapura juga termasuk di dalam penginapan tersebut. Lebih banyak butiran di sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.