Taman di Pesisiran diiktiraf daya tarikan ketiga terbaik dunia bagi anugerah Tripadvisor
Taman di Pesisiran di Singapura disenaraikan sebagai daya tarikan ketiga terbaik di dunia, menurut Anugerah 'Travellers’ Choice 2026: Best of the Best Things To Do' oleh Tripadvisor.
Para pengunjung berjalan di bawah Supertrees semasa pertunjukan cahaya dan bunyi di Taman di Pesisiran di Singapura pada 17 Julai 2023. (Gambar: AP/David Goldman)
Taman bandar popular yang terkenal dengan 'Flower Dome', 'Supertrees' dan 'Cloud Forest' itu berada di belakang The Royal Yacht Britannia di Edinburgh, Britain, dan La Sagrada Familia di Barcelona, Sepanyol, masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua.
Taman di Pesisiran turut mendahului mercu tanda seperti Bangunan Empire State di New York City dan Cayman Crystal Caves di Kepulauan Cayman, yang masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.
Ia juga merupakan satu daripada dua daya tarikan di Asia yang dimasukkan ke dalam senarai tersebut. Angkor Wat di Siem Reap, Kemboja, berada di tempat ke-21.
Kebanyakan daya tarikan lain yang dimasukkan ke dalam senarai itu terletak di Eropah, termasuk Miniatur Wunderland di Hamburg, Jerman, dan Colosseum di Rome, Itali.
Tripadvisor menggambarkan Taman di Pesisiran sebagai sebuah “dunia fantasi”, di mana pengunjung boleh meneroka konservatori, laluan 'skyway' dan taman-tamannya, di samping pameran bermusim dan paparan-paparan interaktif.
Anugerah 'Travellers’ Choice' mengiktiraf destinasi dan daya tarikan berdasarkan kualiti dan jumlah ulasan serta penilaian para pengguna di platform tersebut dalam tempoh 12 bulan, dari 1 Februari 2025 hingga 31 Januari 2026, dengan proses semakan editorial turut dijalankan.
Taman di Pesisiran secara konsisten dimasukkan ke dalam senarai tersebut sejak beberapa tahun lalu, termasuk pada 2023, 2024 dan 2025.
Daya tarikan itu terus menganjurkan pameran-pameran bermusim. Salah satunya ialah pameran 'Tulipmania' di Flower Dome, yang menampilkan lebih 65,000 bunga daripada lebih 30 jenis bunga tulip.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.