Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Taman Burung Jurong ditutup rasmi 3 Jan 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Taman Burung Jurong ditutup rasmi 3 Jan 2023

Para pelawat memasuki Taman Burung Jurong. (Gambar: Mandai Wildlife Group)

SINGAPURA: Anda ada masa sekitar empat bulan sahaja untuk mengaturkan darmawisata mahupun lawatan bersama keluarga ke Taman Burung Jurong sebelum ia menutup pintunya buat selama-lamanya pada 3 Januari 2023. Demikian diumumkan taman tersebut pada Selasa (30 Ogos).

Tarikah penutupan itu tepat 52 tahun selepas ia dibuka pada 1971.

Anggota kakitangan dan semua spesies burung kemudian akan membuat persiapan untuk berpindah ke rumah serba baru di Bird Paradise di Mandai Wildlife Reserve (WRS).

Bagi pengunjung yang mahu menelusuri nostalgia, taman itu melancarkan pelbagai kegiatan dipanggil 'A Flight To Remember' untuk meraikan legasi serta warisannya yang kaya.

Berlangsung dari 3 September hingga 3 Januari, program itu termasuk jejak warisan berpandu kendiri di mana pengunjung akan dibawa menyingkap perubahan wajah taman tersebut melalui siri paparan yang menggambarkan peristiwa penting utama sepanjang perjalanan 51 tahun taman berkenaan.
Khidmat panorel disediakan di Taman Burung Jurong dari 1992 hingga 2012. (Gambar: Mandai Wildlife Group)
Pengunjung juga boleh berswafoto di stesen panorel yang kini dibuka semula kepada khalayak ramai. Bahkan, ia lengkap dengan rekaan semula panorel tersebut dari 1992 hingga 2012.

Di gerbang masuk taman itu pula terpapar rekaan semula menara jam lama. Ia akan berfungsi sebagai kiraan detik menjelang hari terakhir operasi taman tersebut.

Pengunjung boleh merakamkan kenangan indah mereka melawat taman tersebut di tembok 'Memory Wall' yang terletak di bahagian Penguin Coast. Sumbangan mereka akan dipaparkan pada sebuah layar mengikut masa nyata.
Para pelajar memasuki Taman Burung Jurong pada 1982. (Gambar: Mandai Wildlife Group)
Lebih dari itu, pengunjung boleh memuat turun jejak kembara yang diatur khas oleh kakitangan taman dan mempelajari tentang tempat-tempat kegemaran pasukan tersebut serta rahsia taman berkenaan.

Program baru akan dilancarkan sepanjang beberapa bulan mendatang, termasuk 'Nostalgic Signature Tour' pada November. Lawatan khas dikendalikan oleh pemandu jejak yang berpengalaman itu membawa pengunjung menyusuri sejarah taman sambil mereka berkongsi kisah-kisah peribadi yang kurang diketahui tentang spesies burung serta prasarana di taman tersebut.

Bagi lebih banyak maklumat mengenai susun atur acara, anda boleh lungsuri lelaman ini.
 
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan