Taman Bukit Tawau jadi tumpuan selepas aktiviti rekreasi dibenarkan di Sabah
Selepas ditutup sejak hampir dua bulan, Taman Bukit Tawau (TBT) kini kembali menjadi destinasi tumpuan ramai apabila ia mula dibuka selepas aktiviti rekreasi dibenarkan semula di Sabah (kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) sejak 7 Dis lepas.
TAWAU: Selepas ditutup sejak hampir dua bulan, Taman Bukit Tawau (TBT) kini kembali menjadi destinasi tumpuan ramai apabila ia mula dibuka selepas aktiviti rekreasi dibenarkan semula di Sabah (kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) sejak 7 Dis lepas.
Taman hutan simpan seluas 27,972 hektar yang terletak kira-kira 24 kilometer dari sini sememangnya kaya dengan pelbagai khazanah rimba termasuk landskap air terjun yang menarik, gunung yang permai serta keindahan flora dan fauna.
Renjer TBT Jolumin Sipail berkata sejak pembukaannya, taman di bawah kendalian Taman-Taman Sabah itu menerima kunjungan kira-kira 100 pelawat sehari untuk aktiviti riadah selain mendaki.
"Misalnya hari ini, pengunjung menunggu seawal pukul 6.00 pagi untuk mengambil nombor giliran walaupun taman hanya dibuka pada pukul 8.00 pagi. Ketika COVID-19, pihak TTS menetapkan kuota kemasukan 100 orang sahaja pada satu-satu waktu dan kebiasaannya kuota itu telah penuh ketika taman dibuka.
"Masih ada lagi yang menunggu, kira-kira 200 orang pagi ini, mereka yang lewat terpaksa menunggu giliran sehingga ada pengunjung yang keluar kerana pihak TBT mengehadkan tempoh kemasukan setiap pengunjung selama empat jam sahaja," katanya.
Menurutnya sebelum munculnya pandemik COVID-19, jumlah pelawat yang berkunjung ke TBT pernah mencecah hampir 1,000 orang sehari.
Salah seorang pelawat yang ditemui, Encik Azizul Hafiz Azmi Murad, 31, berkata beliau serta isteri dan tiga anak kecilnya menunggu sejak awal pagi bagi mendapatkan nombor giliran.
“Saya mengambil peluang ini untuk membawa keluarga keluar beriadah dan mandi air terjun. Nasib kami baik kerana sempat mendapat nombor giliran,” katanya.
Sementara itu, Daeng Mohd Fikhri Eyuki, 19, pula menyuarakan rasa kecewa kerana tidak dapat memasuki taman rekreasi itu dan perlu menunggu sehingga empat jam lagi untuk kebenaran memasuki taman berkenaan.
Antara yang menarik perhatian di TBT termasuk pokok Seraya Kuning Siput, antara pokok tertinggi di dunia; spesies haiwan lotong merah; tiga gunung iaitu Gunung Lucia, Gunung Maria dan Gunung Magdalena; serta air terjun Table, Air Terjun Gelas dan Air Terjun Lucia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.