Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tahukah anda berapa lama daging, makanan laut mentah boleh disimpan dalam peti sejuk?

Suhu yang sejuk memainkan peranan yang penting kerana makanan segar dapat bertahan lebih lama apabila ia dibekukan.

Anggaran Waktu Membaca:
 Tahukah anda berapa lama daging, makanan laut mentah boleh disimpan dalam peti sejuk?

(Gambar: Unsplash/Pexel)

SINGAPURA: Walaupun daging atau makanan laut yang dibekukan berbulan-bulan ia masih boleh dimasak untuk dinikmati. Namun, rasa, tekstur dan khasiatnya pasti akan semakin merosot kerana sudah terlalu lama dibekukan.

Suhu yang sejuk memainkan peranan yang penting kerana makanan segar dapat bertahan lebih lama apabila ia dibekukan. Jika suhunya kurang sejuk, makanan akan cepat rosak dan membolehkan bakteria dan kulat untuk mencemarinya.

Sekalipun demikian, tidak semua peti sejuk mampu membuat makanan bertahan sehingga berbulan-bulan tanpa menjejas mutu dan rasanya. Jadi bagaimana untuk mengetahui sama ada peti sejuk anda masih berfungsi dengan baik?

Cuba letakkan ais krim yang sudah lembut dan cair di dalam bahagian beku. Jika ia mengambil masa yang terlalu lama untuk menjadi keras dan beku ia menandakan bahagian beku peti ais anda tidak cukup sejuk untuk menyimpan makanan bagi jangka yang lebih panjang.

Jika itu berlaku elakkan daripada menyimpan daging atau ikan mentah hingga berbulan lamanya di dalam bahagian beku. Untuk menjamin kesegaran makanan seperti daging.

fridge
(Gambar: Unsplash/Pexel)

Anda juga haruslah bijak apabila menyimpan atau menyusun makanan-makanan lain di dalam peti sejuk.

Peti sejuk yang teratur dan kemas bukan sahaja terletak pada susunan bekas-bekas di setiap bahagian. Sebagai pengguna anda harus mempunyai pemahaman tentang suhu dan jenis makanan yang akan disimpan di dalam peti sejuk.

Di samping itu pastikan juga tiada kotoran yang dibawa masuk ke dalam peti sejuk. Misalnya, sayur perlulah dicuci dan bersihkan akarnya yang masih bertanah. Begitu juga dengan makanan mentah seperti ikan, haruslah disiang dan dibersihkan dulu.

Labelkan bahan-bahan mentah dan letakkan tarikh ia dibeli.

Penting juga untuk menyimpan makanan mentah dan yang sudah dimasak atau diproses di bahagian yang tepat. Contohnya, makanan mentah diletakkan di bahagian bawah dan yang sudah masak di bahagian atas untuk mengelakkan pencemaran silang berlaku.

CARA SIMPAN MAKANAN MENTAH

Daging

Tidak kira sama ada daging lembu atau kambing, ia secara purata dapat bertahan sehingga enam bulan jika disimpan di bahagian beku. Namun, anda digalakkan untuk memasaknya secepat mungkin agar dapat menikmati kesegaran dan khasiatnya.

Selain itu apabila mengeluarkan daging dari peti sejuk pastikan untuk periksa dulu dengan teliti. Lebih-lebih lagi jika ia sudah dibekukan berbulan lamanya. Perhatikan jika warna daging sama ada ia sudah bertukar menjadi lebam atau coklat dan tidak kelihatan segar.

Jika demikian elakkan daripada menggunakannya dalam masakan.

Ayam

Berbeza daripada daging merah, ayam mentah boleh bertahan tidak lebih dari dua hari di dalam peti sejuk. Tapi, jika ia disimpan di bahagian beku, isi atau kepingan daging ayam boleh bertahan antara sembilan dengan 12 bulan.

Untuk ayam yang sudah dimasak atau diproses pula, kajian mendapati ia boleh bertahan selama empat hingga lima hari bila diletakkan di dalam peti sejuk dan anggaran dua hingga enam bulan jika disimpan di bahagian beku.

Makanan laut

Ikan dan makanan laut segar seperti sotong sesuai untuk disimpan di dalam peti sejuk anggaran satu hingga dua hari sebelum dimasak atau diproses. Jika bercadang untuk menyimpannya lama sedikit, pastikan untuk mengalihkannya ke ruang beku. Secara purata pembekuan makanan laut segar boleh bertahan sehingga enam bulan.

Ikan seperti kod, tuna dan tilapia sesuai disimpan dibahagian beku sehingga enam bulan. Sementara ikan yang tergolong dalam kategori ikan berlemak seperti tengggiri, salmon dan sardin pula hanya boleh disimpan anggaran dua hingga tiga bulan jika ingin mutu dan khasiatnya kekal.

Daging proses

Daging salai dan panggang seperti salami, sosej dan daging burger didapati dapat bertahan di dalam peti sejuk sehingga dua minggu atau lebih jika masih di dalam bungkusan yang sempurna.

Namun setelah bungkusannya dibuka daging proses selalunya boleh disimpan dalam peti sejuk selama seminggu. Jika ia diletakkan di bahagian beku, jangka hayatnya dianggarkan antara satu hingga dua bulan.

Lazimnya menyimpan daging yang sudah diproses adalah lebih mudah berbanding yang segar kerana setiap bungkusan daging tertera dengan jelas tarikh luputnya.

Dengan demikian ia memudah untuk memantau tarikh luputnya.

AGAR DAGING, IKAN TIDAK CEPAT ROSAK

Elakkan daripada terus menyimpan daging dan ikan ke dalam peti sejuk sejurus pulang dari pasar. Jika inginkan daging-daging segar bertahan lebih lama dan masih baik bila ingin menggunakannya, cuba amalkan cara-cara asas berikut.

fish
(Gambar: Unsplash/Pexel)


1. Sebelum menyimpan daging di dalam peti sejuk elakkan daripada mencucinya terlebih dulu. Jika dicuci dengan air paip ia dikhuatiri daging boleh tercemar kepada bakteria dan kuman.

2. Sekiranya saiz atau ketulan daging yang ingin disimpan besar, anda digalakkan untuk memotongnya terlebih dahulu menjadi kepingan kecil dan letakkannya di dalam plastik atau bungkusan yang bersih seperti ziploc selain bekas kedap udara. Bila hendak masak, ambil satu atau dua sahaja bungkusan ziploc berisi daging dari bahagian beku sementara yang lain dibiarkan beku untuk kegunaan lain masa.

3. Jika membeli daging yang sudah siap dipotong dan sudah dibungkus, pastikan untuk ikut arahan penyimpannya seperti yang tertera pada bungkusan.

4. Usah bekukan daging yang sudah dicairkan semula. Setelah keluarkan daging dari bahagian beku, segerakan untuk dimasak. Jika anda membekukannya semula mutunya akan terjejas membuatnya cepat rosak.

5. Elakkan daripada mencairkan daging beku dengan air panas. Cara yang tepat adalah dengan meletakkan daging yang beku di bawah air paip suhu biasa dengan dibiarkan di dalam plastik yang masih dibalut rapi. Selepas daging lembut, barulah buka plastiknya.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan