Syarikat kereta sewa privet TADA lancarkan khidmat penghantaran pasar basah
Sama dengan pengalaman membeli barangan runcit secara online seperti yang ditawarkan oleh RedMart atau FairPrice, TADA Fresh Market bermatlamat menjadi "wadah beli-belah pasar basah online", yang menghantar barangan segar dari 36 gerai di Tekka dan pasar Tiong Bahru.
Petikan skrin laman TADA Fresh Market
SINGAPURA: Sama dengan pengalaman membeli barangan runcit secara online seperti yang ditawarkan oleh RedMart atau FairPrice, TADA Fresh Market bermatlamat menjadi "wadah beli-belah pasar basah online", yang menghantar sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut, daging dan ayam itik segar dari 36 gerai di Tekka dan pasar Tiong Bahru.
Pembeli perlu membuat tempahan barang dapur sekurang-kurangnya S$30 untuk membeli-belah di laman web TADA Fresh Market, dengan penghantaran percuma untuk tempahan melebihi S$50.
TAMBAH PENDAPATAN PEMANDU, PEGERAI
TADA Fresh Market dikenal pasti sebagai rakan penghantaran bagi Pasar Online Tekka oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), yang bertujuan untuk memanfaatkan wadah digital bagi industri pasar basah.
Wadah penghantaran baru juga membentuk sumber pendapatan tambahan bagi pemandu kereta sewa privet TADA, yang mata pencarian mereka terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 dan langkah sekatan untuk membendung penularan virus itu.
Dengan lebih ramai yang bekerja dari rumah dan menghadkan kegiatan sosial mereka, syarikat itu meneroka "cara dan idea berbeza" untuk membantu para pemandu semasa pandemik ini, kata Encik Jonathan Chua, pengurus besar khidmat kereta sewa privet TADA di Asia Tenggara mengenai produk terbaru syarikat itu - sebuah khidmat penghantaran pasar basah.
Sambil mengambil perhatian bahawa TADA sudah melancarkan khidmat penghantaran di Kemboja, Encik Chua berkata TADA Fresh Market adalah cara untuk memanfaatkan teknologi dan rangkaian pemandu di Singapura untuk membawa pasar basah ke wadah online dan menyediakan pemandu dengan asas pelanggan yang lebih luas.
Khidmat penghantaran seperti itu juga menawarkan aliran pendapatan tambahan untuk para pegerai semasa pandemik ini, kata Encik Chua.
Sejak pelancaran kecil-kecilan semasa tempoh "pemutus jangkitan", TADA Fresh Market telah memperoleh sekitar 3,000 pelanggan menerusi khidmat penghantaran yang disediakan 100 pemandu, kata Encik Chua.
Para pelanggan ini menggunakan laman web TADA Fresh Market untuk membeli barangan dapur mereka sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu, katanya.
BAKAL SERTAKAN PASAR LAIN
TADA bekerjasama secara langsung dengan pemilik gerai pasar basah. Tempahan dikumpulkan setiap hari pada lewat malam dan dihantar ke pegerai untuk disiapkan. Pemandu TADA kemudian ditugaskan untuk memenuhi penghantaran.
Tempahan yang dibuat oleh pelanggan dihantar kepada peniaga melalui pesanan WhatsApp, kata Encik Chua, kerana ia masih merupakan bentuk teknologi yang biasa digunakan oleh kebanyakan pegerai.
TADA tidak mengenakan sebarang komisen terhadap peniaga bagi tempahan; sebaliknya, syarikat itu menaikkan sedikit harga produk. Harga tambahan itu tertera dengan jelas kepada pelanggan di laman web, kata Encik Chua.
Walaupun TADA sekarang ini banyak bekerjasama dengan para pegerai di pasar Tekka dan Tiong Bahru, khidmatnya akan diperluaskan untuk merangkumi beberapa peniaga dari pasar basah di Blok 216 Bedok North Street 1 dalam dua minggu ini.
Kata Encik Chua, TADA ingin menyertakan lebih banyak pasar basah di kawasan Bedok menjelang hujung tahun ini. Ia juga mahu menumpukan kepada pasar-pasar yang lebih kecil dan kurang dikenali di luar kawasan tengah Singapura.
BOLEH PESAN MAKANAN, TAPI BUKAN PESAING FOODPANDA ATAU GRABFOOD
Walaupun terdapat peniaga pasar basah lain yang sudah beralih online, Encik Chua yakin wadah sehenti untuk pengguna membeli dari pelbagai peniaga di pasar-pasar basah berbeza, serta "perkhidmatan yang dipercayai dan diyakini" akan membantu membezakan TADA Fresh Market daripada pemain-pemain lain.
Beliau menambah bahawa beliau tidak mempunyai rancangan untuk bersaing dengan syarikat penghantaran makanan seperti Foodpanda atau GrabFood, namun para pengguna juga boleh menggunakan wadahnya untuk memesan barang makanan ringan seperti kuih-muih dari pasar Tiong Bahru.
Encik Chua menyedari bahawa pembelian online tidak akan dapat menyamai sepenuhnya pengalaman beli-belah di pasar basah namun beliau berharap TADA Fresh Market akan menggalak pembeli yang lebih muda untuk membeli dari pasar basah dan membolehkan industri ini terus bertahan.
TADA kini beroperasi di Singapura, Vietnam dan Kemboja. Awal bulan ini, syarikat induk TADA, MVL mengumumkan pihaknya berjaya mengumpulkan dana AS$5 juta (S$6.85 juta), yang menurutnya akan membantu dalam rancangannya untuk menghasilkan tuktuk elektrik bagi pasaran Asia Tenggara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.