Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Syarikat Jepun cipta tandas mudah alih paling kecil di dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat Jepun cipta tandas mudah alih paling kecil di dunia

Tandas mudah alih paling kecil di dunia. (Gambar-gambar: Pocketoilet.com)

Diterbitkan : 21 Jun 2022 04:59PM Dikemas Kini : 21 Jun 2022 09:57PM

JEPUN: Kalau sudah darurat hendak membuang air, memang boleh membuat diri berasa cemas jika tandasnya masih tidak kelihatan di mana-mana.

Begitulah pentingnya tandas dalam hidup kita!

Oleh itu, sebuah syarikat pemula, Kokenawa Inc, yang berpangkalan di Nagoya, Jepun, mencipta 'tandas bergerak' yang dipanggil 'Pocketoilet', lapor laman Oddity Central.

Ia adalah tandas mudah alih paling kecil di dunia dan ternyata boleh menyelamatkan seseorang daripada mendapat malu gara-gara terkucil tanpa sengaja dek ketiadaan tandas.

Tandas mudah alih itu, terutama sekali, bermanfaat bagi mereka yang tinggal di negara atau wilayah yang dibelenggu peperangan atau terjejas oleh bencana alam, di mana tandas sangat sukar dijumpai.

Oleh kerana saiz Pocketoilet panjangnya hanya tujuh sentimeter dan lebarnya 6.5 sentimeter, ia boleh muat dalam kocek atau beg tangan.

Pengasas Kokenawa Inc., Yoshinori Kokenawa, yang berusia 30 tahun mendapat idea untuk mencipta Pocketoilet pada 2019, semasa melakukan kerja-kerja sukarela di bandar Nagano, yang musnah dibadai Taufan Hagibis, lapor Oddity Central.

Salah satu perkara yang beliau sedari adalah orang ramai terpaksa beratur panjang semata-mata untuk menggunakan tandas mudah alih konvensional.

"Meskipun masyarakat berusaha sedaya-upaya untuk memulihkan keadaan di kawasan itu, mereka terpaksa beratur 30 minut atau lebih setiap kali mahu menggunakan tandas tersebut," kata Encik Kokenawa, seperti yang dipetik Oddity Central.

"Saya mahu melakukan sesuatu bagi menanganinya," ujar beliau.

Pada Disember 2020, syarikat Kokenawa melancarkan Poketoilet, iaitu tandas mudah alih yang begitu kecil yang boleh digunakan di mana-mana sahaja.

pocketoilet

Satu pek Pocketoilet mengandungi sebuah beg yang diperbuat daripada bahan gentian khas dan tahan lasak serta sebungkus bahan penggumpal.

pocketoilet

Beg itu boleh dipasang atau diletakkan pada mangkuk tandas atau tong sampah dan ujian yang dijalankan oleh syarikat itu mendapati hampir tiada bau yang keluar daripada beg-beg yang mengandungi najis, meskpun dibiarkan di tempat tertutup selama seminggu.

"Pek Pocketoilet itu boleh muat diletakkan di dalam beg tangan wanita, jadi kami berharap orang ramai boleh membawanya dengan mudah," kata Encik Kokenawa, sambil menambah syarikatnya sudah menjual sekitar 50,000 Pocketoilet sejauh ini dan juga mendermakannya kepada Ukraine yang sedang bergelut dengan perang.

Sumber : Sumber Web/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan