Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Susah mahu buang barangan lama sehingga rumah penuh mungkin tanda masalah mental

Anggaran Waktu Membaca:
 Susah mahu buang barangan lama sehingga rumah penuh mungkin tanda masalah mental

Gambar: Sumber web

Diterbitkan : 07 May 2022 06:34PM Dikemas Kini : 07 May 2022 06:37PM

KUALA LUMPUR: Kita sering mendengar orang-orang tua bercakap, “Barang yang ada itu simpan, takut nanti hendak guna!”

Kalau anda ingin tahu, ini merupakan salah satu ungkapan kegemaran milik pesakit yang mengalami tabiat menyimpan pelbagai barangan sehingga bertimbun atau istilah dalam bahasa Inggeris, 'hoarding disorder'.

Anda ingin tahu apa itu 'hoarding disorder'?

SIMPAN TERLALU BANYAK BARANG, TAPI SAYANG NAK BUANG!

Pernahkah anda berjumpa dengan seseorang yang mempunyai masalah suka menyimpan barangan sehingga bertimbun?

Selalunya, orang yang mempunyai masalah ini ada timbunan barang yang amat banyak di rumah, lapor Astro AWANI menukil rencana daripada Pa&Ma.

Individu yang menjadi 'hoarder' atau pengumpul barang selalunya sukar untuk berpisah dengan barang-barang kepunyaan mereka.

Mereka mempunyai ikatan emosi, fizikal dan sosial dan kadangkala kewangan terhadap barang yang mereka simpan.

Walau bagaimanapun, bukan semua orang yang simpan barang dikategorikan sebagai 'hoarder'.

Apa yang membezakan mereka dengan 'collector' atau pengumpul barang ialah orang yang mempunyai masalah ini akan simpan apa sahaja walaupun mereka tidak perlukan barang tersebut, lapor Astro AWANI.

Lambakan barang yang mereka kumpul juga boleh memenuhi rumah hingga mencecah siling.

Kadang-kadang, barang mereka terlampau banyak dan bersepah sehinggakan individu tersebut tidak dapat akses ke bahagian lain rumah mereka.

Keadaan yang bersepah ini selalunya akan memberi kesan yang negatif kepada hidup mereka. Rumah yang bersepah pasti tidak sesuai untuk membesarkan sebuah keluarga.

Mereka juga akan jadi sensitif jika barang mereka dibuang atau dialihkan. Mereka yang menderita sakit ini selalunya akan mempunyai konflik dengan keluarga dan sukar untuk melakukan apa-apa aktiviti seperti memasak ataupun mandi di rumah masing-masing.

'Hoarding disorder' berlaku kepada dua hingga enam peratus daripada penduduk di seluruh dunia. Penyakit itu juga lebih biasa dalam kalangan lelaki berbanding perempuan.

Oleh itu, mereka yang hidup seorang diri, tidak berkahwin, miskin semasa membesar, ada sejarah keluarga yang turut melakukan perkara yang sama dan sudah biasa hidup dalam keadaan bersepah adalah mereka yang berisiko untuk menjadi 'hoarder'.

Selain daripada menganggap barang yang mereka simpan boleh digunakan nanti, mereka juga kadangkala ada ikatan emosi yang terlampau kuat terhadap barang-barang tersebut.

Sebagai contoh, mereka mungkin tidak boleh buang barang yang berada di rumah mereka kerana ia milik ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia dan diwariskan kepada mereka, seperti dinukil daripada Astro AWANI.

'HOARDING DISORDER' , SEBUAH PENYAKIT MENTAL

'Hoarding disorder' adalah satu tanda individu tersebut mungkin mengalami gangguan obsesif kompulsif personaliti (OCPD), gangguan obsesif kompulsif (OCD), masalah kesihatan mental dari segi tumpuan (ADHD), kemurungan, keresahan (anxiety) ataupun nyanyuk (dementia).

Ada kajian yang mendapati bahawa satu daripada empat penghidap OCD mempunyai masalah mengumpul barang. Penghidap penyakit ini boleh dipulihkan.

Walau bagaimanapun, sukar untuk membantu pesakit yang mengalami keadaan ini kerana mereka sendiri tidak menganggap ia sebagai satu masalah.

Selalunya, anggota keluarga yang akan membawa pesakit hoarding disorder berjumpa doktor. Namun, mereka memerlukan sokongan yang tidak berbelah-bagi daripada keluarga terdekat untuk berubah.

Yakinkan pesakit bahawa tidak ada sesiapa yang akan membuang atau simpan barang mereka di rumah ketika mereka berjumpa doktor.

Anggota keluarga juga tidak boleh terlalu memaksa individu yang mempunyai hoarding disorder kerana ia hanya akan membuatkan keadaan jadi lebih teruk.Mereka mungkin akan putuskan hubungan atau mengelak daripada berjumpa anda pada masa hadapan.

Tunggu hingga mereka mendapat motivasi sendiri untuk berubah dan jangan paksa mereka secara keterlaluan.

SUKAR, TETAPI TIDAK MUSTAHIL UNTUK DIRAWAT

Selalunya, penghidap 'hoarding disorder' akan menjalani rawatan dan menerima ubat yang sama seperti pesakit OCD. Namun, kadangkala rawatan ini tidak berkesan kepada pesakit hoarding disorder.

Pesakit perlu mempunyai strategi sendiri untuk melawan nafsu masing-masing. Antaranya adalah elakkan daripada kerap membeli barang sewaktu keluar rumah.

Perubahan itu memerlukan motivasi, komitmen dan juga kesabaran. Penyakit itu juga tidak akan pulih serta-merta dan perlukan masa selama berbulan-bulan.

Lama-kelamaan, individu tersebut akan mampu kurangkan barang, mengemas dan menyusun barang-barang mereka. Walau bagaimanapun, relaps mungkin berlaku pada masa hadapan.

Oleh itu, pesakit perlu ada pelan tambahan untuk atasi masalah yang sama jika ia berlaku semula pada tahun yang akan datang.

Pada akhir campur tangan, pesakit 'hoarding disorder' mungkin tidak dapat pulih sepenuhnya. Tapi mereka dapat mengawal tingkah laku mereka dan lebih memahami penyakit yang mereka alami.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan