Sultan Selangor lancar pameran lukisan masjid di M'sia
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, melancarkan pameran seni lukisan bertajuk 'Inspirasi – Imaginasi – Interpretasi: Masjid-Masjid di Malaysia' di Muzium Kesenian Islam Malaysia hari ini (30 Nov).

Karya lebih 20 pelukis yang menzahirkan pemahaman dan ekspresi seni bina masjid Malaysia ditampilkan dalam pameran. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, melancarkan pameran seni lukisan bertajuk 'Inspirasi – Imaginasi – Interpretasi: Masjid-Masjid di Malaysia' di Muzium Kesenian Islam Malaysia hari ini (30 Nov).
Turut menghadiri majlis berkenaan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Pameran yang bermula dari 29 November hingga 11 Disember itu menampilkan hasil karya lebih 20 pelukis profesional dan amatur yang menzahirkan pemahaman dan ekspresi seni mereka terhadap seni bina masjid di Malaysia.
Menurut Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul (PCORE), Halimah Mohd Said, kepelbagaian reka bentuk masjid harus ditonjolkan dan diluahkan dalam bentuk lukisan supaya masyarakat dapat melihat masjid sebagai satu ruang masyarakat dan bukan untuk beribadah semata-mata.
"Saya harap masyarakat dapat menghayati keindahan dan nilai estetik yang terdapat menerusi seni bina masjid pada pameran ini terutama generasi muda," katanya, yang turut mempamerkan enam hasil karya lukisannya pada pameran itu.
Karya seni yang dipamerkan akan turut dijual dan sebahagian hasil jualan akan digunakan untuk tujuan kebajikan.
Selain Muzium Kesenian Islam Malaysia, pameran yang dibawakan khas oleh PCORE itu turut mendapat sokongan Yayasan Albukhary dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.