Skip to main content

Gaya Hidup

Sukar melihat pada waktu malam? Ia mungkin tanda awal penyakit mata genetik RP

Kesukaran melihat pada waktu malam atau dalam keadaan kurang cahaya mungkin merupakan tanda awal retinitis pigmentosa (RP), sejenis penyakit mata genetik yang jarang berlaku dan menjejaskan retina.

Anggaran Waktu Membaca:
Sukar melihat pada waktu malam? Ia mungkin tanda awal penyakit mata genetik RP

Individu yang menghidapi retinitis pigmentosa (RP) mungkin mengalami kesukaran melihat dalam keadaan kurang cahaya serta kehilangan penglihatan sisi secara beransur-ansur. (Gambar hiasan: SMC menerusi BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Oct 2026 09:33AM
Trouble seeing at night? It could be an early sign of the genetic eye disease RP
  • Retinitis pigmentosa is a rare genetic retinal disease that can cause night blindness and the gradual loss of peripheral vision.
  • Dr Tara Mary George of Sunway Medical Centre explained that the symptoms vary according to the mutation, and may begin in childhood or only be noticed in adulthood.
  • Diagnosis requires examinations by an eye specialist, such as visual field testing, OCT scans and sometimes ERG, not merely changing glasses.
  • Dr Daphne Teh said patients can be helped through regular follow-up, home adjustments, vision rehabilitation, digital tools, AI applications and emotional support.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Kesukaran melihat pada waktu malam atau dalam keadaan kurang cahaya mungkin merupakan tanda awal retinitis pigmentosa (RP), sejenis penyakit mata genetik yang jarang berlaku dan menjejaskan retina.

Penyakit itu menyebabkan kemerosotan fungsi retina secara beransur-ansur, sekali gus mengakibatkan rabun malam dan kehilangan penglihatan sisi.

Meskipun belum ada penawar bagi kebanyakan kes RP, diagnosis awal dan penjagaan yang sesuai dapat membantu pesakit menguruskan keadaan mereka, memanfaatkan penglihatan yang masih ada dan mengekalkan kualiti hidup.

Pakar Oftalmologi, Perubatan Retina dan Uveitis di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Tara Mary George, menjelaskan RP bukan satu penyakit tunggal, sebaliknya merangkumi sekumpulan penyakit retina yang diwarisi secara genetik.

Menurut beliau, retina berfungsi menukarkan cahaya kepada isyarat yang dihantar ke otak untuk membentuk imej.

Namun, bagi pesakit RP, perubahan atau mutasi genetik mengganggu proses tersebut, khususnya fungsi sel rod yang membantu penglihatan dalam keadaan kurang cahaya dan penglihatan sisi.

KESUKARAN MELIHAT DALAM GELAP ANTARA TANDA AWAL

Dr Tara berkata antara tanda paling awal RP ialah kesukaran melihat dalam persekitaran yang malap, seperti ketika bergerak di dalam panggung wayang selepas lampu dipadamkan.

Berbanding individu yang mempunyai penglihatan normal, pesakit RP mungkin mengambil masa lebih lama untuk menyesuaikan penglihatan atau langsung tidak dapat melihat dengan baik dalam keadaan gelap.

Apabila penyakit itu semakin berkembang, pesakit mungkin mengalami penglihatan terowong, iaitu keadaan apabila ruang penglihatan semakin sempit sehingga mereka sukar melihat objek di bahagian sisi.

Akibatnya, pesakit mungkin kerap terlanggar objek di sekeliling mereka.

Menurut Dr Tara, gejala RP berbeza antara individu bergantung pada jenis mutasi genetik yang dialami.

Sesetengah pesakit menunjukkan gejala sejak kecil, manakala yang lain hanya menyedari perubahan penglihatan apabila meningkat dewasa.

RP juga boleh berlaku dalam keluarga yang mempunyai sejarah penyakit tersebut atau tanpa sejarah keluarga yang diketahui.

PEMERIKSAAN KHUSUS DIPERLUKAN UNTUK DIAGNOSIS

Dr Tara menjelaskan bahawa diagnosis RP memerlukan lebih daripada pemeriksaan mata rutin.

Pakar mata lazimnya akan meneliti sejarah perubatan pesakit sebelum menjalankan ujian khusus, termasuk pemeriksaan medan penglihatan dan imbasan tomografi koheren optik (OCT).

Imbasan OCT membantu doktor menilai struktur retina dan mengesan perubahan yang berkaitan dengan penyakit itu.

Dalam sesetengah kes, ujian elektroretinogram (ERG) turut digunakan bagi mengukur tindak balas elektrik retina terhadap cahaya.

Justeru, individu yang mengalami kesukaran melihat pada waktu malam atau kehilangan penglihatan sisi dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan pakar mata dan bukan sekadar menukar cermin mata.

PENYESUAIAN GAYA HIDUP BANTU PESAKIT KEKAL BERDIKARI

Seorang lagi Pakar Oftalmologi, Perubatan Retina dan Uveitis di Pusat Perubatan Sunway, Dr Daphne Teh, berkata diagnosis RP mungkin memberi kesan emosi kepada pesakit.

Namun, rawatan dan sokongan masa kini turut memberi tumpuan kepada usaha membantu mereka menyesuaikan diri dan menjalani kehidupan secara berdikari.

Menurut beliau, pemeriksaan susulan secara berkala penting untuk memantau perkembangan penyakit serta merawat komplikasi seperti katarak atau pembengkakan makula, iaitu bahagian tengah retina.

Pesakit juga boleh membuat penyesuaian praktikal dalam kehidupan seharian, termasuk meningkatkan pencahayaan di rumah, mengurangkan pemanduan pada waktu malam dan memastikan susunan perabot lebih selamat.

Khidmat pemulihan penglihatan terhad turut dapat membantu pesakit menggunakan baki penglihatan mereka dengan lebih berkesan.

TEKNOLOGI AI BANTU TINGKATKAN KUALITI HIDUP

Dr Daphne berkata kemajuan teknologi membuka lebih banyak peluang untuk pesakit RP meneruskan kegiatan harian, pembelajaran dan pekerjaan.

Antara alat bantuan yang boleh digunakan termasuk pembesar digital, perisian teks kepada pertuturan dan aplikasi telefon bijak untuk membantu membaca serta mengenal pasti objek.

Aplikasi kecerdasan buatan (AI) juga boleh membantu menerangkan keadaan persekitaran dan membaca teks secara langsung.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan emosi agar pesakit dapat meneruskan kehidupan dengan lebih yakin.

Kedua-dua pakar itu berkata meskipun penyelidikan seperti terapi gen menawarkan potensi rawatan baharu, kesedaran, pengesanan awal dan sokongan yang tepat pada masanya kekal penting dalam membantu pesakit menguruskan RP.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita