Skip to main content

Gaya Hidup

Suhu badan anak terlalu tinggi boleh sebabkan sawan

Apabila anak demam, ibu bapa tentu sekali akan berasa risau. Tambahan lagi apabila suhu badan anak naik terlalu tinggi sehinggakan ia boleh menyebabkan demam sawan.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Apabila anak demam, ibu bapa tentu sekali akan berasa risau.

Tambahan lagi apabila suhu badan anak naik terlalu tinggi sehinggakan ia boleh menyebabkan demam sawan.

Sawan demam boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun.

Bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan menangani demam sawan, ia mungkin satu kejadian yang membimbangkan.

Berikut beberapa tanda dan gejala sawan demam yang boleh diberi perhatian oleh ibu bapa, seperti dikongsi oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad dalam rencana Pa&Ma, seperti dinukil Astro AWANI.

SAWAN DEMAM

Sawan adalah keadaan di mana kanak-kanak tidak sedarkan diri dan biasanya diikuti oleh kekejangan atau penyentakan kaki dan tangan.

Demam sawan adalah sawan yang berlaku dengan suhu badan yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak berusia dari enam bulan hingga lima tahun.

Sawan demam adalah sawan yang disebabkan oleh demam panas dalam kalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal.

Diagnosis sawan demam hanya boleh dibuat selepas doktor mendapati tidak ada punca-punca lain yang menyebabkan sawan selain daripada suhu badan yang tinggi (biasanya melebihi 38 darjah Selsius).

TANDA DAN GEJALA

Antara tanda-tanda anak mengalami demam sawan adalah seperti berikut:

- Anak akan tidak sedar diri atau tidak menunjukkan tindak balas apabila dipanggil

- Kedua-dua kaki dan tangan kejang atau tersentak-sentak

- Mata mungkin terbeliak ke atas

- Kadangkala kekejangan atau sentakan hanya berlaku pada sebahagian anggota badan sahaja, seperti satu tangan atau satu kaki

- Sawan biasanya berhenti dengan sendiri selepas 2-3 minit atau kurang, dan jarang melebihi 10 minit. Bagaimanapun dalam kes di mana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan secepat mungkin

- Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut

- Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5 darjah Selsius

- Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau “sawan babi” adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam)

- Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam.

Namun sebahagian besar sawan demam tidak membahayakan. Tiada bukti kukuh juga yang menyatakan bahawa sawan demam boleh menyebabkan kerosakan otak, seperti dinukil Astro AWANI.

Kajian perubatan mendapati kanak-kanak yang sawan demam memperolehi pencapaian yang normal di sekolah dan mempunyai tahap kecerdasan yang sama seperti adik-beradik lain yang tidak mengalami masalah sawan demam.

Malah dalam kes-kes yang jarang berlaku di mana sawan berlarutan sangat lama melebihi satu jam, didapati kanak-kanak tersebut juga pulih sepenuhnya.

FAKTOR-FAKTOR RISIKO UNTUK SAWAN DEMAM BERULANG

Namun terdapat beberapa faktor di mana kanak-kanak itu berisiko mengalami sawan demam selepas serangan yang pertama.

- Usia muda (kurang daripada 15 bulan) semasa serangan sawan yang pertama.

- Sawan terjadi sejurus selepas demam bermula atau bila suhu badan adalah normal

- Sejarah sawan demam dalam kalangan ahli keluarga terdekat (ibu bapa dan adik-beradik)

- Sejarah penyakit epilepsi (sawan babi) dalam kalangan ahli keluarga terdekat

APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN JIKA ANAK MENGALAMI SAWAN?

Justeru, semasa anak mengalami sawan apa yang seharusnya dilakukan oleh para ibu bapa?

Berikut cara-caranya:

- Baringkan anak anda secara mengiring sebelah kiri atau kanan.

- Jauhkan anak anda dari sebarang benda yang berbahaya atau tajam

- Jangan sekali-kali memasukkan sesuatu ke dalam mulut anak anda semasa berlakunya sawan

- Jangan menampar, menggoncang atau mengurut badan anak anda untuk menyedarkan dirinya semasa sawan

- Catatkan masa dan tempoh berlakunya sawan

- Bawa anak anda ke hospital dengan segera, jika sawan berlaku

- Anak anda perlu diperiksa oleh doktor selepas berlakunya sawan untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang jangkitan kuman pada otak

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita