Suami isteri pengasas Fluff Bakery kongsi 'resipi' kebahagiaan rumah tangga, perniagaan maju
SINGAPURA: Para penggemar kek dan kek cawan Fluff Bakery mesti teringat detik-detik beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan cemil-cemilan kegemaran mereka itu.
Selepas mendapatkan kek-kek cawan yang berinti perisa-perisa unik itu, anda akan meninggalkan kedai kek itu, yang dahulu hanya sebuah gerai kecil, dengan perasaan gembira, tanpa rasa bersalah langsung.
Selepas hampir 10 tahun, Fluff Bakery bukan sahaja masih bertahan dalam dunia kek, malah berjaya mencipta nama sebagai ikon popular, dengan kek-keknya semua laris dijual online dan juga di kedai mereka di Jalan Pisang. Kek-kek Fluff Bakery sangat popular dan digemari sehingga ia terpaksa berpindah ke ruang yang lebih besar di North Bridge Road.
Kedai kek itu dibuka oleh Ashraf Alami yang berusia 41 tahun dan Nursyazanna Syaira Mohammad Suhimi (Syaira) yang berusia 35 tahun. Pasangan tersebut bernikah setahun sebelum membuka kedai mereka di Jalan Pisang itu.
Dalam wawancara bersama CNA Women, pasangan ini berkongsi lebih lanjut tentang rahsia kejayaan mereka dan juga tip-tip untuk mengukuhkan lagi rumah tangga sambil memastikan perniagaan mereka terus stabil dan berkembang maju.
APA YANG MEMBUAT ANDA MEMBUKA FLUFF BAKERY PADA 2012?
Syaira: Ia bermula pada Jun tahun itu apabila saya menjual kek cawan, menggunakan dapur ibu untuk mengumpul duit untuk perbelanjaan persandingan kami. Ashraf adalah guru tuisyen dan saya pula bekerja dalam bidang perhubungan awam. Pada masa itu juga, tiada kedai kek halal yang menawarkan kek-kek cawan yang berinti dan apabila kami memulakan perniagaan ini, belum ada mana-mana kedai yang menawarkan inti yang mengikut cita rasa penduduk tempatan. Permintaan semakin meningkat dan ia lebih praktikal untuk saya memberi tumpuan kepada pembuatan kek cawan itu sepenuh masa.
Ashraf: Saya akan menjemput Syaira dari tempat kerja dan makan malam dengan pantas sebelum menuju ke dapur ibunya di mana dia akan membuat kek-kek cawan itu. Saya akan membantu selagi boleh, tetapi saya rasa kemahiran saya di dapur agak terhad. Proses itu mengambil masa dan biasanya, kami akan selesai pada sekitar 2.00 pagi.
Kami membuka akaun Instagram untuk mempromosikan kek-kek itu dan apabila para pelanggan memuat naik ulasan-ulasan positif, semakin ramai orang menjadi pengikut akaun kami dan jumlah tempahan pun meningkat. Untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan kami, kami berdua memutuskan untuk meninggalkan kerjaya kami.
Ketika itu, kami menjual 300 kek cawan sehari di kafe Penny University dan ia habis dijual dalam masa dua hingga tiga jam saja. Selepas membuat perkiraan, kami merasakan ia lebih munasabah untuk membuka kedai kami sendiri, menggajikan pekerja dan meningkatkan lagi penghasilan kek.
Pada kemuncak perniagaan kami, iaitu pada 2015, kami berhasil menjual sebanyak 1,800 kek cawan setiap hari. Pendapatan kami pada tahun itu adalah $1.6 juta dan ketika itu, kami cuma menjual kek cawan sahaja.
BAGAIMANA ANDA MENANGANI PERSELISIHAN SEBAGAI PASANGAN SUAMI ISTERI YANG MENCEBURI BIDANG NIAGA BERSAMA?
Ashraf: Sebagai pasangan suami isteri dan mengendalikan pula perniagaan secara bersama, ia agak sukar untuk memisahkan waktu kerja dengan rumah tangga. Kami kerap berbincang tentang isu-isu berkaitan kerja di rumah, yang membuat kami agak letih. Oleh itu, sekarang, kami cuba mengingatkan satu sama lain supaya berbincang tentang hal-hal kerja di tempat kerja saja.
Syaira: Memang mudah untuk mengatakan kerja adalah kerja dan kehidupan peribadi itu adalah sesuatu yang berasingan, tetapi jika anda bekerja dan hidup bersama 24/7, batasan antara kerja dan kehidupan peribadi itu agak kabur. Ada kalanya kami akan mengalami percanggahan pendapat tentang isu-isu peribadi dan ia akan menjejas emosi dan juga cara anda berinteraksi dengan pasangan di tempat kerja dan juga semasa mengadakan perbincangan. Itu adalah sebahagian daripada lumrah kerja bersama dan saya tidak rasa ia realistik untuk mengatakan anda boleh memastikan isu kerja dan kehidupan peribadi kekal sebagai dua sudut yang berbeza.
APAKAH PERANAN ANDA DI TEMPAT KERJA DAN JUGA DI RUMAH?
Ashraf: Syaira adalah seorang individu yang kreatif. Syaira banyak mencuba resipi-resipi baru di dapur kami di rumah dan membuat banyak aktiviti untuk anak kami, Noah. Saya pula seseorang yang lebih berorientasikan tugas. Oleh itu, di rumah, saya selalunya membersihkan rumah dan menguruskan perbelanjaan kami.
Syaira: Kalau dari sudut angka dan perniagaan, saya tidak boleh diharapkan, jadi Ashraf yang menjaga aspek itu kerana dia hebat dengan angka! Namun, kami berdua berbincang tentang hala tuju dan juga kemajuan perniagaan kami.
Di rumah pun sama - kami melakukan perkara-perkara berdasarkan kemahiran masing-masing. Saya menguruskan aspek rumah yang paling sibuk, iaitu dapur. Ini termasuk kesemua makan minum kami. Ashraf pula menjaga perbelanjaan kami dan memastikan perkara-perkara penting seperti membayar bil rumah dilaksanakan.
ADAKAH ANDA BERPENDAPAT BAHAWA KERJA-KERJA DI RUMAH ATAUPUN DI TEMPAT KERJA HARUS DILAKUKAN KHUSUSNYA OLEH PASANGAN LELAKI ATAUPUN PEREMPUAN?
Ashraf: Saya tidak percaya ada perkara-perkara tertentu yang hanya boleh dilakukan oleh kaum lelaki ataupun wanita sahaja. Lelaki boleh dan juga harus menjaga anak, memasak dan membuat kerja rumah. Saya percaya tanggungjawab rumah tangga harus dipikul dengan adil, dengan setiap pasangan bertanggungjawab ke atas kerja-kerja mengikut kemahiran masing-masing ataupun kerja-kerja yang lebih mereka gemari.
Syaira: Benar sekali, kami memegang peranan di rumah mengikut apa yang kami rasa kami dapat menyumbang kepada rumah tangga dan keluarga kami. Saya suka memasak, saya tidak rasa seolah-olah dipaksa untuk memasak kerana saya seorang wanita. Ashraf pun memasak, malah, dia juga pandai memasak daging steak. Semua orang boleh memainkan peranan di dapur, dapur kan ada makanan.
ADAKAH GARIS PANDUAN YANG ANDA TETAPKAN UNTUK MEMASTIKAN HUBUNGAN KERJA ANDA KEKAL KUKUH?
Ashraf: Kami melakar garis panduan yang jelas tentang tanggungjawab satu sama lain dalam perniagaan ini dan beri kepercayaan sepenuhnya kepada yang bertanggungjawab melakukan sesuatu tugas kerana dia sedang berusaha yang terbaik dalam aspek itu.
Kami tidak selalu bersetuju tentang isu-isu perniagaan dan ia boleh menimbulkan banyak perselisihan. Oleh itu, kami bersetuju bahawa masing-masing boleh memberi pendapat kami sendiri, tetapi individu yang bertanggungjawab untuk aspek perniagaan itu mempunyai kata putus. Apabila seorang itu membuat kesilapan, kami tidak menuding jari kerana tahu yang mereka berasa bersalah. Kami hanya memberi tumpuan untuk menghuraikan masalah itu secara bersama.
Bukan itu sahaja, apabila kami sudah terlalu terbiasa dengan satu sama lain, kami mungkin mempunyai pandangan tertentu tentang individu tersebut. Misalnya, saya tahu Syaira tidak mahir membuat pengiraan dan oleh itu, saya mungkin cenderung untuk menolak pendapatnya tentang strategi perniagaan. Namun, jika saya mendengar pendapatnya dengan minda yang terbuka, Syaira boleh menyumbang idea-idea yang memang bagus. Yang penting ialah untuk saling mempercayai satu sama lain dan bersikap terbuka kepada idea-idea rakan kerja anda.
Ia juga penting untuk mengenali kemahiran dan kelemahan anda, mendengar dan memahami bahawa pasangan itu bukan hendak "membetulkan" anda, tetapi hanya memikirkan yang terbaik untuk perniagaan, serta menghormati kekuatan dan kelebihan satu sama lain.
BOLEHKAH ANDA KONGSI APA YANG ANDA LAKUKAN UNTUK MENGEKALKAN REPUTASI JENAMA FLUFF BAKERY?
Syaira: Pertama sekali, kita harus sentiasa berubah dan berinovasi untuk terus kekal bersaing. Landskap F&B kian berubah-ubah, dengan usahawan baru dan yang muda semakin hebat dengan kemahiran masing-masing. Saya perlu terus belajar teknik-teknik baru dan menawarkan produk baru dan menarik untuk memastikan kami kekal sebagai destasi utama bagi para pelanggan.
Kedua, kita tidak boleh melakukan segala-galanya sendiri . Fluff bukan setakat saya dan Ashraf saja, tetapi sebenarnya, semua orang yang bekerja di sana. Fluff terdiri daripada pengurus kami, kakitangan di dapur, di kaunter, pentadbiran dan juga kakitangan yang mengendalikan operasi balik tabir dan aspek-aspek teknikal. Bukan itu sahaja, pekerja-pekerja seperti pencuci pinggan mangkuk dan pemandu penghantaran yang mempunyai kepakaran berbeza daripada kami berdua ataupun tanggungjawab-tanggungjawab yang tidak dapat kami pikul. Mereka sangat penting untuk saya dan kami cuba untuk menunjukkan penghargaan kami kepada anggota kakitangan Fluff, mengikut kemampuan kami.
Ashraf: Ia juga penting untuk mengekalkan keasliannya. Kami tidak akan menjual apa yang kami sendiri tidak akan memakan dan kami hanya menjual produk yang kami rasa adalah sama baik jika tidak lebih baik daripada pesaing kami.
AKHIR SEKALI, APA ITU CINTA BAGI ANDA?
Syaira: Dari kecil lagi, anda selalu lihat dalam media bahawa cinta adalah tentang gerak isyarat yang jelas dan nyata... Namun, selepas sembilan tahun mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dengan seorang cahaya mata, saya kini melihat cinta dalam bentuk yang lebih halus dan tidak ternilai.
Bagi saya, cinta itu adalah apabila Ashraf meletakkan pinggan mangkuk yang kotor dalam mesin basuh pinggan mangkuk dan kemudian mengeluarkannya, apabila Ashraf sama-sama memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa, apabila Ashraf sanggup mendengar minat panjang lebar saya tentang memasak, sekalipun memasak bukan minatnya.
Saya pula menunjukkan cinta saya kepadanya melalui masakan saya dan dengan meluangkan masa di dapur untuk menyediakan makan malam kami sekeluarga.
Ashraf: Sama seperti Syaira, selepas sembilan tahun berkahwin, ia bukan lagi tentang gerak isyarat tertentu. Bagi saya, ia adalah kegiatan-kegiatan harian yang amat saya hargai. Kami saling hormat-menghormati dan menyokong satu sama lain, tidak kira sewaktu melalui masa-masa sukar mahupun senang. Cinta itu adalah apabila anda sanggup berkorban semata-mata kerana anda tidak mahu melihat pasangan anda menderita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.