Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Suami isteri pemilik Fazzbike360 buka satu lagi kedai rebut trend basikal lipat

Dengan kegiatan berbasikal kini semakin popular, penjualan pengangkutan dua roda itu turut meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Suami isteri pemilik Fazzbike360 buka satu lagi kedai rebut trend basikal lipat

Mohamed Fadzli Hayof dan isterinya Siti Nurhidayu Mohamed membuka lagi satu kedai untuk memanfaatkan trend basikal lipat. (Gambar ihsan: Mohamed Fadzli Hayof)

SINGAPURA: Dengan kegiatan berbasikal kini semakin popular, penjualan pengangkutan dua roda itu turut meningkat.

Lebih-lebih lagi bagi basikal lipat yang semakin mendapat perhatian dan menjadi pilihan utama para penggiat - tidak kira yang baru berjinak-jinak dengan kegiatan itu mahupun yang sudah lama tertarik dengan riadah tersebut.

"Penjualan kami naik 70% hingga 80% - sebahagian besarnya adalah daripada basikal lipat," kongsi Encik Mohamed Fadzli Hayof, pemilik kedai basikal Fazzbike360 yang terletak di Crawford Lane.

Kedai Fazzbike360 di 465 Crawford Lane, #02-12. (Gambar: Facebook/Fazzbike360).

PERMINTAAN TINGGI

Dibuka pada 2011, awalnya di Telok Blangah, kedai milik Encik Fadzli pada mulanya menjual bermacam jenis basikal bukit, basikal lumba dan basikal hibrid.

Lima tahun kemudian, beliau dan isterinya memutuskan untuk memperluaskan produk mereka untuk merangkumi basikal lipat termasuk jenama 3sixty dan Pikes pula.

Menurut Encik Fadzli yang sudah lama berkecimpung dalam bidang basikal sejak mula berlumba basikal 30 tahun lalu, Fazzbike360 adalah antara peruncit dan penjual pertama yang membawa masuk basikal sedemikian.

"Pada ketika itu juga sambutannya sudahpun agak baik. Tetapi kadar penghasilan basikal pada mulanya bergerak perlahan," kongsi usahawan berusia 41 tahun itu.

Namun, di tengah-tengah pandemik COVID-19, permintaan bagi basikal lipat semakin meningkat dengan para pelanggan menggesa Encik Fadzli supaya membawa masuk lebih banyak basikal seumpama itu meskipun harganya lebih tinggi.

"Waktu itu, ia berharga S$850 tetapi disebabkan permintaan tinggi sedang tenaga kerja kesuntukan, harga basikal kini antara S$950 hingga S$1,400 dengan yang mahal bermutu premium," jelas beliau.

Salah sebuah basikal lipat yang dijual. (Gambar: Facebook/Fazzbike360)

BUKA KEDAI BARU

Malah, disebabkan oleh permintaan yang terus meningkat itu, Encik Fadzli memutuskan untuk membuka sebuah lagi kedai.

Beliau menamakan kedai itu CtBike sempena nama isterinya, Siti Nurhidayu Mohamed, 36 tahun.

"Isteri sayalah yang membantu saya selama bertahun-tahun ini sejak saya mula membuka kedai basikal.

"Kami tidak mempunyai kakitangan lain - hanya isteri yang menguruskan penjualan dan saya di balik tabir memasang basikal," ujar bapa dua orang anak itu.

Waktu pembukaan CtBike. (Gambar: Facebook/Fazzbike360)

Kata Encik Fadzli lagi, kedai yang dijadikan bilik pameran basikal lipat itu juga adalah hadiah buat isterinya.

Dengan adanya CtBike, para pelanggan boleh meninjau-ninjau basikal lipat yang dijual sambil bertanya bahkan mencuba basikal tersebut sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

"Falsafah kami adalah untuk mendidik, bukan setakat menjual basikal semata-mata. Kami berkhidmat untuk membantu menyarankan basikal paling sesuai dan selesa buat mereka. Tiada tekanan untuk membeli," jamin Encik Fadzli.

Siti Nurhidayu menunjuk cara melipat basikal kepada para pelanggan. (Gambar: Facebook/Fazzbike360)

BERSESUAIAN DENGAN KONTEKS S'PURA

Sejak dibuka Julai lalu, pasangan suami isteri tersebut bersyukur atas penjualan basikal lipat yang sangat laris setakat ini.

Bahkan, sesetengah keluarga dengan empat atau lima anggota juga sanggup membeli satu basikal lipat setiap seorang.

"Ia mudah dilipat dan dibawa masuk ke dalam pengangkutan awam seperti MRT dan bas. Anda tidak perlu mengangkat basikal itu pun - hanya tolak sahaja. Ia amat mudah bagi para pelanggan kami. Inilah yang mereka cari-cari," jelas Encik Fadzli.

Selepas dilipat, basikal ini mudah dibawa menaiki pengangkutan awam. (Gambar: Facebook/Fazzbike360)

Dalam pada itu, basikal yang boleh lipat tiga itu juga kecil saiznya dan maka itu tidak memerlukan ruang yang besar dalam "flat-flat BTO yang kecil."

Bagi mereka yang sudah terbiasa mengayuh basikal saiz biasa, mereka juga tertarik untuk membeli basikal lipat sedemikian untuk digunakan sebagai kegiatan riadah bersama keluarga.

Bagaimana pula jika ada anggota keluarga yang penat mengayuh separuh jalan?

"Tidak perlu bimbang! Asalkan ada kad EZ Link, anda boleh sahaja naik bas atau MRT!" seloroh Encik Fadzli.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan