'The Story of Studio Ghibli' dibuka di Gardens by the Bay mulai 18 Disember
Sebanyak 12 dunia bersaiz sebenar daripada filem-filem Studio Ghibli akan dihidupkan di Gardens by the Bay menerusi pameran The Story of Studio Ghibli mulai 18 Disember.
Pameran 'The Story of Studio Ghibli' akan menampilkan babak yang diinspirasikan daripada filem seperti 'Spirited Away', 'Howl's Moving Castle' dan 'The Boy And The Heron'. (Gambar: M Experience)
- Pameran The Story of Studio Ghibli akan berlangsung di Gardens by the Bay, Singapura, dari 18 Disember hingga 4 Julai 2027, menampilkan 12 dunia bersaiz sebenar dari filem ikonik Studio Ghibli.
- Pameran ini menggabungkan set fizikal dan multimedia untuk menghidupkan babak serta watak terkenal seperti Totoro, Catbus dan No-Face.
- Selain pengalaman visual, pameran turut meneroka tema seperti kreativiti, daya tahan dan penjagaan alam sekitar, serta menyediakan inisiatif pendidikan.
- Tiket boleh dibeli melalui Klook dengan harga bermula S$29, termasuk promosi awal dan harga istimewa untuk warga Singapura serta kumpulan konsesi.
Pameran seluas hampir 3,500 meter persegi itu merupakan edisi terbesar The Story of Studio Ghibli setakat ini dan akan berlangsung hingga 4 Julai 2027.
Antara filem yang ditampilkan ialah Spirited Away, My Neighbor Totoro, Princess Mononoke, Kiki's Delivery Service, Nausicaa Of The Valley Of The Wind, Howl's Moving Castle dan The Boy And The Heron.
Pameran itu menggabungkan set fizikal dengan pemasangan multimedia bagi menghidupkan semula babak dan latar daripada filem-filem tersebut.
Antara tarikan yang menanti pengunjung ialah Ohmu daripada Nausicaa Of The Valley Of The Wind, Totoro dan Catbus daripada My Neighbor Totoro, serta No-Face di rumah mandi daripada Spirited Away.
TEROKA NILAI DI SEBALIK FILEM
Selain menampilkan dunia daripada filem-filem Studio Ghibli, pameran itu turut meneroka idea dan nilai di sebalik kisah-kisah tersebut.
Antara tema yang diketengahkan ialah kreativiti, daya tahan dan penjagaan alam sekitar.
Inisiatif pendidikan dan peluang pembelajaran berkaitan pameran itu juga sedang dibangunkan.
Ketua Pegawai Eksekutif M Experience Sean Lim berkata pameran tersebut bertujuan membolehkan pengunjung mendalami kisah-kisah Studio Ghibli dan bukan sekadar melihat babak yang dicipta semula.
Menurutnya, menerusi 12 babak imersif yang diinspirasikan daripada filem-filem ikonik Studio Ghibli, pengunjung dapat menyelami kisah tersebut dan menghayati emosi, nilai serta imaginasi yang terus mendapat sambutan daripada pelbagai budaya dan generasi.
TIKET BERMULA S$29
Tiket-tiket kini boleh dibeli menerusi Klook, rakan penjualan tiket rasmi pameran tersebut.
Promosi awal berlangsung hingga 17 Disember, dengan setiap tiket dewasa yang dibeli dalam tempoh itu disertakan hadiah eksklusif edisi terhad, selagi stok masih ada.
Bagi warga Singapura dan Penduduk Tetap, harga tiket biasa bermula S$39 bagi dewasa dan S$29 bagi tiket konsesi.
Tiket konsesi ditawarkan kepada warga emas berusia 65 tahun ke atas dan kanak-kanak berusia antara tiga dengan 12 tahun.
Bagi pengunjung lain, harga tiket biasa bermula S$49 bagi dewasa dan S$43 bagi tiket konsesi pada waktu bukan puncak.
Pada waktu puncak, tiketnya berharga S$55 bagi dewasa dan S$49 bagi tiket konsesi.
Pameran The Story of Studio Ghibli akan diadakan di West Lawn, Gardens by the Bay, dan dibuka setiap hari dari 10.00 pagi hingga 7.00 malam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.