Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

StarHub tawar ganjaran S$120 bagi pelanggan yang serahkan kotak 'set-top' cetak rompak

StarHub tawarkan sewa percuma bagi kotak StarHub TV+ selama dua tahun (namun harga langganan khidmat S$30 sebulan masih perlu ditanggung pengguna).

Anggaran Waktu Membaca:
StarHub tawar ganjaran S$120 bagi pelanggan yang serahkan kotak 'set-top' cetak rompak

(Gambar hiasan: Unsplash)

Diterbitkan : 23 Jul 2021 08:22PM Dikemas Kini : 23 Jul 2021 08:29PM

SINGAPURA: StarHub menawarkan khidmat sewa kotak StarHub TV+ secara percuma selama dua tahun yang bernilai S$120, kepada pelanggan yang menyerahkan kotak 'set-top' cetak rompak lama mereka, menurut syarikat itu pada Jumaat (23 Jul).

Inisiatif itu akan "menggalak langkah ke arah memperolehi sumber kandungan yang sah dengan lebih awal," kata StarHub, sedang Singapura bergerak untuk membanteras penjualan kotak 'set-top' atau kotak penstriman kandungan cetak rompak.

Di bawah Rang Undang-Undang Hak Cipta yang dibentangkan di Parlimen awal bulan ini, penjualan kotak sedemikian yang menawarkan akses kepada kandungan cetak rompak dilarang, jika usulan pindaan itu diluluskan.

"Mulai esok (Sabtu), StarHub akan memberikan S$120 kepada setiap pelanggan yang bersedia untuk menyerahkan kotak set-top cetak rompak yang mungkin tidak mematuhi pindaan Undang-Undang Hak Cipta Singapura yang diusulkan," menurut kenyataan media StarHub.

“Sebagai ganti, pelanggan akan menikmati tempoh sewa dua tahun percuma bagi kotak StarHub TV+, pemain media Android TV yang menawarkan pengalaman menonton sinematik pelbagai paparan dengan sokongan Ultra HD 4K dan ketersambungan Wi-Fi pantas."

Pelanggan boleh menyerahkan kotak set-top cetak rompak mereka untuk "pelupusan percuma dan selamat" di kedai StarHub terpilih sebelum mendaftar bagi khidmat StarHub TV+, yang berharga S$30 sebulan.

Pelanggan StarHub TV+ boleh memilih antara khidmat penstriman, termasuk Netflix dan Disney+, dan TV langsung.

StarHub menyatakan pihaknya bekerjasama dengan "syarikat mengitar semula sisa elektronik diiktiraf" untuk memastikan kotak itu dibuang dan dimusnahkan dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan.

Pelanggan boleh menyerahkan kotak mereka di lapan cawangan StarHub antara 24 Julai dengan 31 Ogos, termasuk di Plaza Singapura, Tampines Mall dan Jurong Point.

"Pelanggan digalakkan membuat janji temu melalui aplikasi My StarHub sebelum mengunjungi kedai StarHub pilihan mereka," tambah syarikat itu.

Di bawah usulan Rang Undang-Undang Hak Cipta, mereka yang disabitkan dengan penjualan kotak cetak rompak boleh didenda sehingga S$100,000, penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Dalam kes pertama seumpamanya pada 2019, peruncit yang didakwa di bawah Akta Hak Cipta kerana menjual kotak penstriman Android didenda S$1,200 setelah mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja melanggar hak cipta pemilik hak bagi meraih keuntungan komersil, sementara tuduhan lain diambil kira.

Ini adalah kali pertama penjual kotak TV Android dikenakan hukuman di Singapura.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan