Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

S'pura destinasi paling 'Instagrammable' pada 2022

Singapura dipilih sebagai destinasi paling menarik untuk bergambar bagi Instagram atau 'Instagrammable' pada 2022, menurut majalah percutian Big 7 Travel yang berpangkalan di Britain.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura destinasi paling 'Instagrammable' pada 2022

(Gambar: Unsplash/Coleen Rivas)

SINGAPURA: Singapura dipilih sebagai destinasi paling menarik untuk bergambar bagi Instagram atau 'Instagrammable' pada 2022, menurut majalah percutian Big 7 Travel yang berpangkalan di Britain.

Dalam senarai tahunannya "50 Destinasi Paling Menarik Di Dunia untuk Bergambar bagi Instagram", Singapura menewaskan destinasi-destinasi hebat seperti Paris, London dan Tokyo untuk menduduki tempat pertama berdasarkan sistem penskoran yang menilai jumlah tanda pagar atau "hashtag" bagi setiap destinasi, menurut hasil tinjauan daripada pengguna media sosial dan sumbangan daripada pasukan penyuntingnya.

Menurut halaman Big 7 Travel di LinkedIn, syarikat itu berpangkalan di Leeds, England dan ditubuhkan pada 2019. Ia mempunyai lebih 300,000 pengikut di Instagram dan Twitter.

Dalam rencana Big 7 Travel tentang senarai tahunan itu, ia turut mendedahkan bahawa Singapura penuh dengan tempat-tempat menarik untuk bergambar "dari Supertree Grove di Taman di Pesisiran hingga ke seni jalanan berwarna-warni di Haji Lane".

"Pastikan anda bersiar-siar di sekitar Koon Seng Road yang mempunyai banyak rumah berwarna-warni dan jangan terlepas peluang untuk bergambar di luar Rumah Tan Teng Niah," menurut Big 7 Travel.

Dalam edisi 2021 senarai itu, Singapura menduduki tangga ke-11, Tokyo di tempat pertama dan pada 2020, Singapura menduduki tempat kelima dan Sydney pula mengungguli senarai tersebut ketika itu.

Dalam senarai terkini bagi 2022, pantai Boracay di Filipina dan pulau ketiga terbesar di Hawaii, Oahu, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam senarai itu.

Ibu negara Jepun, Tokyo; bandar New York; bandar pergunungan Banff di Kanada; Pantai Amalfi di Itali; bandar Chicago di Amerika Syarikat; ibu negara Portugal, Lisbon dan Teluk Ha Long di Vietnam menduduki 10 tangga teratas dalam senarai tersebut.

London menduduki tempat ke-12 sementara Paris pula di tangga ke-15.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan