Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Songkok 'Masood Hussin' jadi pilihan orang kenamaan termasuk Sultan Johor

Keistimewaan songkok Masood Hussin adalah ia diperbuat dengan tangan dan bahan yang digunakan diimport selain saiznya tinggi sedikit berbanding songkok biasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Songkok 'Masood Hussin' jadi pilihan orang kenamaan termasuk Sultan Johor

Songkok 'Masood Hussin' jadi pilihan orang kenamaan termasuk Sultan Johor. (Gambar-gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 May 2021 12:06PM Dikemas Kini : 10 May 2021 12:09PM

MUAR: Jenama songkok “Masood Hussin” sangat terkenal di Bandar Diraja Muar, namun tidak ramai mengetahui bahawa seni warisan songkok yang diasaskan oleh Allahyarham Masood Hussin lebih 75 tahun lalu, kini diwarisi cucu perempuannya, Nurdalila Abd Ghani.

Wanita berusia 41 tahun itu, mula didedahkan kepada seni pembuatan songkok oleh datuknya itu sejak berusia tujuh tahun dan mula berjinak-jinak membuat songkok ketika masih belajar di sekolah menengah.

Atas minat yang mendalam terhadap seni buatan aksesori pelengkap baju Melayu itu, siswazah lulusan Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA itu nekad membuka kedainya sendiri di Jalan Majidi-Jalan Meriam di Muar pada 2002 untuk menjual secara komersil songkok jenama arwah datuknya yang pernah popular di Muar sekitar tahun 1960-an.

“Ramai yang tidak percaya saya yang membuat songkok. Walaupun seorang perempuan tetapi saya mahir membuat pelbagai jenis songkok. Malah, saya juga mengajar suami (Zahedy Zakariah, 43 tahun) untuk membuat songkok agar kesenian pembuatan songkok Muar ini tidak pupus ditelan zaman,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

PM M'SIA, SULTAN & ORANG S'PURA BERKENAN MASOOD HUSSIN

Lebih membanggakan, songkok Muar hasil jahitan tangannya itu turut menjadi pilihan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh yang merupakan antara pelanggan tetap songkok jenama Masood Hussin.

“Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar juga pernah menempah khas songkok untuk digunakan dalam Istiadat Kemahkotaan Baginda pada tahun 2015,” katanya yang turut menerima tempahan daripada pelanggan serta peminat songkok Muar dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

Menurut Nurdalila, keistimewaan songkok Masood Hussin adalah ia diperbuat dengan tangan dan bahan yang digunakan diimport selain saiznya tinggi sedikit berbanding songkok biasa.

Katanya lagi, harga jualan setiap songkoknya adalah antara RM15 (S$4.80) hingga RM400 (S$130) dan boleh mencecah sehingga RM3,000 (S$970) bergantung kepada jenis bahan yang digunakan serta ditempah khas.

“Bahan untuk buatan songkok ini adalah kain baldu terdiri daripada warna hitam dan 'navy blue', namun bagi pelanggan di Johor ini, mereka lebih menggemari warna 'royal blue' dan jenis songkok tinggi (songkok mahkota),” katanya sambil menambah songkok lain yang sentiasa menerima tempahan pelanggan termasuk, songkok rata, songkok bulat (songkok daeng), songkok lipat dan songkok istiadat.

Songkok 'Masood Hussin' jadi pilihan orang kenamaan termasuk Sultan Johor. (Gambar-gambar: Bernama)

Tambahnya lagi, perniagaannya juga tidak terkecuali daripada terjejas ketika penularan wabak COVID-19  dengan sebelum itu penjualan mampu mencecah sebanyak 30,000 songkok setahun, namun pada tahun lalu (2020) jualan hanya sekitar 10,000 songkok.

GENERASI KINI KURANG MINAT SENI BUAT SONGKOK

“Namun, saya tetap meneruskan penjualan songkok secara dalam talian. Tahun lalu, daripada 10,000 tempahan yang diterima, separuh (5,000) dijual secara dalam talian dan media sosial dan tempahan lazimnya meningkat ketika sambutan Hari Raya," katanya sambil menambah kebanyakan songkok yang ada di pasaran kini, diimport dari Indonesia.

Bercerita mengenai faktor generasi kini yang kurang berminat untuk menceburi seni pembuatan songkok, Nordalila mengakuinya kerana proses buatan songkok agak rumit, bermula daripada pembuatan kerangka daripada kadbod atau lipatan surat khabar.

“Begitu juga dengan corak dalaman songkok serta jahitannya (jahitan sembat) yang memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi,” katanya yang hampir 20 tahun menceburi bidang pembuatan songkok tersebut.

Bagi meneruskan seni warisan itu, dia dan suami turut mencurahkan ilmu kepada anak sulungnya Itfan Raziq Zahedy, 14 tahun, bagi memastikan kelangsungan seni warisan itu akan terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan