Skip to main content

Gaya Hidup

Snow City bakal ditutup, ini 5 lagi tarikan ikonik yang kini tinggal kenangan

Snow City, pusat salji tertutup pertama di negara ini yang menawarkan pelbagai aktiviti dan hiburan kepada para pengunjung, akan ditutup selepas 26 tahun beroperasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Snow City bakal ditutup, ini 5 lagi tarikan ikonik yang kini tinggal kenangan

Big Splash, sebuah taman tema air di East Coast, Singapura, yang kini sudah ditutup. (Gambar: Facebook/PS PS)

Diterbitkan : 21 May 2026 12:07AM
SINGAPURA: Snow City, pusat salji tertutup pertama di negara ini yang menawarkan pelbagai aktiviti dan hiburan kepada para pengunjung, akan ditutup selepas 26 tahun beroperasi.

Pemilik tarikan tersebut, Pusat Sains Singapura, mengumumkan pada Selasa (19 Mei) bahawa kemudahan itu akan menamatkan operasinya pada 30 September.

Penutupannya, yang mencetuskan gelombang kesedihan di wadah-wadah online, menandakan satu lagi kehilangan dalam landskap pelancongan Singapura.

Daripada taman tema air dengan gelongsor gergasi hinggalah akuarium awam pertama negara, Mediacorp meninjau lima tarikan ikonik yang pernah wujud dan kini hanya tinggal kenangan.
Related article image
Pemandangan di kawasan Big Splash di East Coast Park, Singapura. (Gambar fail: TODAY)
BIG SPLASH

Paling dikenali dengan gelongsor lima lorong berwarna-warninya, Big Splash merupakan sebuah taman tema air yang luas, yang dibuka di Taman East Coast pada 1976.

Menurut taman tersebut, gelongsornya dengan ketinggian sehingga tujuh tingkat, merupakan yang tertinggi dan terpanjang di dunia ketika taman tema tersebut dibuka.

Ia merupakan kompleks akuatik air laut pertama di Singapura dan mempunyai kolam dengan lantai pasir bagi memberikan pengalaman seolah-olah berada di pantai bagi para pengunjung.

Selain kemudahan air, Big Splash juga mempunyai teater terbuka, gerai makanan dan arked permainan.
Related article image
Orang ramai meluncur turun dari gelongsor dengan lima lorong di Big Splash, East Coast Park, Singapura. (Gambar: Facebook/SG Heritage Memories/Aravindhan Ravikumar)
Meskipun ia kekal popular selama bertahun-tahun, Big Splash berdepan persaingan yang semakin meningkat daripada taman-taman tema air baharu seperti Fantasy Island di Sentosa dan Wild Wild Wet di Pasir Ris.

Taman air itu ditutup pada 2006 dan dibuka semula pada 2008 sebagai hab gaya hidup dan makanan yang dikenali sebagai Playground@Big Splash.

Ia menamatkan operasi selepas 40 tahun pada Oktober 2016 apabila pajakannya tamat. Tapak itu dikembalikan kepada pemerintah untuk pembangunan semula dan kini dinamakan Coastal PlayGrove, sebuah kawasan permainan yang mempunyai elemen-elemen yang memperingatkan para pengunjung kepada tarikan ikonik itu.
Related article image
Fantasy Island, sebuah taman tema air di Sentosa, Singapura. (Gambar: laman web Anchorage Construction Co)
FANTASY ISLAND

Fantasy Island, sebuah lagi taman tema air, dibuka pada 1994 di Sentosa. Ia mempunyai 32 gelongsor termasuk satu struktur besar dengan lapan lorong yang membolehkan para pengunjung berlumba antara satu sama lain semasa menuruninya menggunakan papan luncur.

Taman seluas 7.1 hektar itu menelan kos S$52 juta untuk dibina dan sekitar 6.3 juta liter air diperlukan hanya bagi gelongsornya sahaja.

Beberapa kemalangan, termasuk kejadian di mana seorang kanak-kanak berusia lapan tahun lemas, berlaku di Fantasy Island sebelum ia ditutup pada 2001.

Tapaknya kini menempatkan taman hiburan Universal Studios Singapore.
Related article image
Tang Dynasty City, sebuah taman tema di Jurong, Singapura, yang direka sebagai replika mini kota purba China, Chang’an. (Gambar: Facebook/Serine YJ)
TANG DYNASTY CITY

Hartawan Hong Kong Deacon Chiu Te-ken melancarkan Tang Dynasty City pada 1992 dengan harapan ia akan menjadi tempat kelahiran industri filem Cina di Singapura.

Taman tema itu, yang turut menempatkan tiga studio filem, merupakan replika mini kota diraja purba Chang’an.

Ia menampilkan semula mercu tanda dari ibu kota bersejarah tersebut termasuk Istana Daming, Jambatan Zhao Zhou dan Pagoda Wild Goose.

Taman seluas 12 hektar itu juga menampilkan persembahan harian oleh kumpulan lagak ngeri dan tarian dari China, tukang seni yang menunjukkan cara pembuatan tembikar dan ukiran kayu Cina, serta lakonan semula kehidupan istana semasa Dinasti Tang.

Dengan nama asalnya, 'Tang Dynasty Village', ia dibuka di Jurong dan menjadi lokasi penggambaran bagi beberapa filem terkenal seperti All's Well, Ends Well Too (1993) arahan pengarah Hong Kong Clifton Ko, yang dibintangi bintang Cantopop Sam Hui dan Leslie Cheung.

Meskipun pembukaan Tang Dynasty City mencetuskan perhatian media dan keterujaan ramai, taman itu bergelut untuk menarik aliran pengunjung yang konsisten.

Pada 1995, ia menerima seramai 400,000 pengunjung, sedangkan tarikan-tarikan oleh pesaingnya seperti Taman Haiwan Singapura dan Taman Burung Jurong masing-masing menarik lebih sejuta pengunjung pada tahun tersebut.

Aspirasi Tang Dynasty City untuk menjadi “Hollywood” Singapura juga berdepan cabaran. Ketelitian yang diberikan untuk meniru bangunan di Chang’an akhirnya tidak berbaloi kerana tapak itu terlalu khusus dari segi sejarah, menjadikannya sesuai hanya untuk filem yang berlatarbelakangkan era tersebut.

Usaha untuk memulihkan keadaan bagi taman itu, seperti mengecualikan bayaran masuk pada waktu senja dan memperkenalkan kemudahan baharu, tidak banyak membantu.

Ia ditutup pada 1999 dan perbincangan untuk menghidupkan semula tapak tersebut tidak menjadi kenyataan. Ia dirobohkan pada 2009.
Related article image
Seorang wanita berjalan melepasi patung Merlion di Pulau Sentosa, Singapura, pada 11 September 2018. (Gambar: AFP/Jewel Samad)
MERLION SENTOSA

Patung Merlion tertinggi di Singapura disiapkan di Sentosa pada 1996 dengan ketinggian 37 meter.

Makhluk mitos itu pada asalnya diperkenalkan sebagai ikon pelancongan, dengan kepala singa dan badan ikan.

Patung yang didirikan di Sentosa itu turut mempunyai “kisah legendanya” sendiri bahawa Merlion akan mengunjungi pulau peranginan tersebut untuk melindungi Singapura.

Para pengunjung boleh menaiki lif ke bahagian mulut Merlion dan di atas kepalanya untuk menikmati pemandangan sekitar.

Pada waktu malam pula, patung tersebut diterangi lampu 'neon' menerusi pertunjukan cahaya harian.

Rancangan untuk merobohkan patung itu diumumkan pada 2019 untuk memberi laluan kepada Sentosa Sensoryscape, sebuah laluan taman sepanjang 350 meter.

Pengurusan Sentosa menyatakan ia tidak akan memindahkan patung Merlion tersebut kerana saiznya yang besar.
Related article image
Akuarium Van Kleef merupakan akuarium awam pertama di Singapura. (Gambar: Facebook/Heritage SG Memories/Red Win Yvonne)
AKUARIUM VAN KLEEF

Akuarium awam pertama Singapura dibuka pada 1955 di Fort Canning dan dinamakan sempena ahli perniagaan Belanda yang estetnya membiayai pembinaan tarikan tersebut.

Akuarium tersebut dilengkapi dengan sistem hawa dingin, mempunyai bekalan air sendiri dan menempatkan hampir 6,500 ikan daripada lebih 180 spesies.

Akuarium Van Kleef berdepan beberapa masalah sebelum pembukaannya. Air laut yang diimport dilaporkan terpaksa dibuang pada satu kejadian akibat pencemaran yang disebabkan oleh kura-kura akuarium itu, dan semua ikan air masinnya mati akibat gas beracun yang dikeluarkan oleh batu karang yang diletakkan di dalam tangki.

Masalah untuk mengekalkan ikan akuarium itu berterusan selepas pembukaannya sebelum ia berjaya dihuraikan oleh kuratornya Alec Fraser-Brunner.

Meskipun permulaannya mencabar, Akuarium Van Kleef menikmati populariti selama beberapa dekad.

Namun, pada 1980-an, ia mula berdepan dengan pesaing-pesaing baharu seperti Taman Haiwan Singapura dan Taman Burung Jurong.

Pada 1986, purata jumlah pengunjung hariannya ialah 856 orang - sekitar separuh daripada jumlah yang dicatatkan dalam beberapa bulan pertama selepas pembukaannya.

Ia ditutup pada 1991 dan dibuka semula pada tahun yang sama sebagai World of Aquarium. Tarikan yang diperbaharui itu ditutup pada 1993 akibat perniagaan yang tidak memberangsangkan sebelum dibuka semula beberapa bulan kemudian sebagai Fort Canning Aquarium.

Perubahan itu gagal menghidupkan semula akuarium tersebut dan ia ditutup secara kekal pada 1996.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita