Skip to main content

Gaya Hidup

Skypark Sentosa bakal lancar gelongsor darat tertinggi di Asia Tenggara mulai 7 Jun

Anggaran Waktu Membaca:
Skypark Sentosa bakal lancar gelongsor darat tertinggi di Asia Tenggara mulai 7 Jun

Skypark Sentosa memperkenalkan 'Skyslides by Klook' sempena pelancaran semulanya, yang juga merupakan gelongsor tanpa air tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 44 meter. (Gambar: Skypark Sentosa)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 11:23PM
SINGAPURA: Skypark Sentosa yang menjadi lokasi bagi tarikan ikonik seperti Bungy Jump, Giant Swing dan Skybridge akan tampil dengan pelancaran tarikan baharu, 'Skyslides by Klook'.

Mulai Ahad (7 Jun), pengunjung boleh mencuba apa yang dikatakan sebagai gelongsor 'kering' tertinggi di Asia Tenggara, setinggi 44 meter, iaitu Skydrop dan The Big Klook Slide.

Tarikan baharu itu menandakan pelancaran semula Skypark Sentosa hasil kerjasama antara pemilik dan pengendali tarikan, ZJ Adventures, dengan platform pelancongan dan pengalaman, Klook.

Walaupun kedua-dua gelongsor bermula dari ketinggian yang sama, ia menawarkan pengalaman yang berbeza.

Skydrop turut dipromosikan sebagai gelongsor jatuhan darat tertinggi di dunia.

Pengalaman bermula dengan satu jatuhan singkat apabila lantai di bawah kaki pengunjung terbuka sebelum mereka meluncur menuruni laluan melengkung dalam gelongsor tertutup sepenuhnya.

The Big Klook Slide pula, yang dihiasi warna oren ikonik Klook, menawarkan pengalaman lebih santai.

Ia menggunakan sistem tali sawat terbina dalam yang membawa pengunjung turun dengan pantas sambil menikmati pemandangan pulau melalui bumbung lutsinar di atas gelongsor.

Bagi kedua-dua tarikan, pengunjung boleh memperibadikan pengalaman mereka dengan memilih tema tertentu – daripada angkasa lepas hingga disko – yang menambah elemen audiovisual untuk pengalaman yang lebih interaktif dan mengasyikkan.

Tarikan ini juga merupakan tarikan berjenama pertama Klook di dunia.

Dengan penambahan Skyslides, tawaran di Skypark Sentosa kini lebih sesuai untuk pelbagai jenis pengunjung dengan tahap keselesaan dan peringkat umur yang berbeza.

Lokasi itu turut menempatkan pengalaman santapan dan kelab pantai di Summerhouse.

Tiket Skyslides ditawarkan dalam pakej pengalaman dua kali dan tiga kali masing-masing pada harga S$28 dan S$33.

Pengunjung boleh memilih kombinasi tunggangan antara Skydrop dan The Big Klook Slide mengikut citarasa mereka.

Sebagai promosi pelancaran, 1,000 pakej tiket Skyslides pertama yang dijual akan menerima video rakaman gelongsor percuma bernilai S$20.

Sepanjang bulan Jun, pengunjung juga boleh menikmati tawaran tambahan dengan harga diskaun untuk Bungy Jump (S$40 berbanding harga asal S$99) dan Giant Swing (S$20 berbanding S$59).
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita