Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Siri 'Porridge Stories' himpunkan resipi bubur hasil air tangan personaliti Amerika, S'pura sempena Ramadan

Juadah buka puasa yang tidak ketinggalan dijamu setiap kali menjelangnya Ramadan ialah bubur. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Juadah buka puasa yang tidak ketinggalan dijamu setiap kali menjelangnya Ramadan ialah bubur.

Sebilangan besar umat Islam setempat menyimpan kenangan manis berkaitan bubur terutama sekali dalam bulan suci itu.

Ada yang menyingsing lengan untuk membantu memasak beberapa periuk besar bubur di masjid tempatan. Ada pula yang turun padang menjadi relawan untuk mengagih-agihkan bungkusan bubur kepada golongan kurang bernasib baik. Sesetengah orang juga tidak terlepas peluang untuk mengambil juadah itu daripada masjid untuk dinikmati bersama keluarga atau diberikan kepada handai taulan.

Begitu juga dengan warga Amerika, ramai di antara mereka mengaitkan bubur dengan momen yang istimewa.

Lantaran itu, sempena bulan puasa ini, Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura menghimpunkan resipi-resipi bubur hasil air tangan rakyat Singapura dan warga Amerika yang turut mencoretkan kisah peribadi masing-masing.

Siri resipi 'do-it-yourself' ini tepat pada masanya memandangkan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan sekarang, ramai keluarga #dudukrumahsaja dan dapur lebih kerap berasap. Ini akan dihimpunkan oleh Kedutaan Amerika di Singapura dan dikongsikan menerusi wadah media sosialnya.

Dipanggil 'Porridge Stories', atau Kisah Bubur, siri tersebut menampilkan resipi bubur peribadi daripada beberapa personaliti Amerika dan Singapura yang juga akan berkongsi kisah menyejukkan hati di sebalik setiap resipi unik itu.

Salah seorang penyumbang resipi dalam 'Porridge Stories' ialah Nermine Mitry-Mansour, seorang penulis makanan warga Mesir-Amerika, pembuat resipi dan penyokong diplomasi kulinari yang tegar. Cik Nermine sudah berpangkalan di Singapura selama sembilan bulan, di mana suaminya Rafik Mansour, kini memangku jawatan sebagai Ketua Misi di Kedutaan Amerika di Singapura.

Nermine Mitry-Mansour, seorang penulis makanan warga Mesir-Amerika. (Gambar: Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura)

(Gambar: Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura)

"Berkongsi kisah bubur adalah cara terbaik untuk melantunkan nilai dan tradisi yang menyatukan kita daripada pelbagai budaya walaupun ada perbezaan di antara kita," kata Cik Nermine.

Turut berkongsi resipi peribadi mereka ialah Cef Bob, cef selebriti tempatan; Darren Bologna, seorang Pegawai Khidmat Asing Amerika; Yvonne Ruperti, seorang pakar pastri yang juga pelatih bersama Institut Kulinari Amerika di Singapura dan Malaque Mahdaly; usahawan selebriti tanah air.

Darren Bologna, seorang Pegawai Khidmat Asing Amerika. (Gambar: Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura)

(Darren Bologna. Gambar: Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura)

“Sebagai seorang cef, saya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip mengongsi pengetahuan dan memperkasa orang lain untuk memasak kerana ini adalah satu kemahiran hidup. Saya selalu mencari resipi baru untuk dicuba dan saya menghargai peluang untuk mengongsi resipi saya juga," ujar Malaque.

"'Porridge Stories' adalah cara yang baik untuk meningkatkan keyakinan di dapur kerana sememangnya bahan paling penting ketika memasak adalah minat dan ketekunan."

Resipi 'Porridge Stories' akan dikongsikan setiap minggu dari 27 April hingga 22 Mei di wadah media sosial Kedutaan Amerika di Singapura. Dengan siri itu, ia berharap dapat mendakapi kepelbagaian dan menggalak pertukaran budaya untuk memperkukuhkan lagi hubungan rakyat antara kedua-dua Singapura dengan Amerika.

Berikut adalah resipi pertama yang dikongsikan dalam siri itu, hasil air tangan Malaque Mahdaly.

Bubur Masjid Barli dan Bijiran Oat

(Gambar: Malaque Mahdaly)

(Gambar: Malaque Mahdaly)

Bahan-bahan A
1 cawan bijirin oat
1 cawan barli
400g dada daging lembu dipotong dadu 1sm
3 sudu makan serbuk Beriani
3 kurma, dikupas
7-8 cawan air
Garam
Lada putih (white pepper)

Bahan-bahan B (kisar semuanya)
8 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
2sm halia

Bahan-bahan C (Untuk ditumis bersama bahan dikisar)
2 sudu makan ghee
1 batang kayu manis
2 helai daun pandan
2 tangkai serai (bahagian putih)
3 biji cengkih
2 biji bunga lawang
4 biji buah pelaga

Cara-caranya
Dalam periuk, masukkan dadu dada daging lembu, 2 sudu teh garam dan 5 cawan air sehingga mendidih. Kacau permukaannya untuk sebarang bahan tidak diingini. Masukkan secawan barli dan biarkan ia masak selama 45 minit atau sehingga daging lembu lembut. Masukkan bijiran oat dan lagi 2 cawan air. Ketepikan bubur sesudah ia dimasak.

Anda boleh menyesuaikan jumlah air untuk ditambah mengikut konsistensi bubur pilihan anda. Tambah lebih banyak air jika perlu. Saat ini, tambahkan 1 1/2 sudu teh garam dan lada secukup rasa.

Dalam kuali yang berasingan, panaskan ghee. Masukkan rempah dan ramuan herba. Masukkan bahan dikisar dan serbuk Beriani. Masak sehingga pes menghasilkan minyak. Tambahkan pes yang ditumis tadi ke dalam periuk bubur, carikkan buah kurma dan masukkan ke dalamnya. Masak bubur selama 15 minit lagi. Masukkan air jika perlu.

Hidangkan juadah bubur dengan hirisan lada merah, daun bawang, daun ketumbar dan irisan telur dadar. Lengkapkannya dengan bawang merah goreng yang garing. Hidangkan panas-panas.

Selamat mencuba! 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan