Singtel umum pelan digital baru; meterai kerjasama dengan Amazon Prime
Singtel mengumumkan kerjasama dengan Amazon Prime pada Isnin (25 Mac) termasuk pelan khidmat digital baru pada harga S$20 sebulan.

(Gambar: Reuters)
SINGAPURA: Singtel mengumumkan kerjasama dengan Amazon Prime pada Isnin (25 Mac) termasuk pelan khidmat digital baru pada harga S$20 sebulan.
Di bawah kerjasama itu, pelanggan Singtel yang layak boleh menjadi anggota Amazon Prime secara percuma bagi tempoh selama setahun, yang bernilai S$2.99 sebulan.
Para pelanggan yang layak adalah mereka yang melanggani pelan jalur lebar gentian 1Gbps yang baru, pelanggan jalur lebar gentian yang mendaftarkan diri bagi pelan Combo yang baru atau pelan kad SIM saja selama 12 bulan, serta mereka yang melanggani kedua-dua khidmat telefon bijak dan gentian yang memperbaharui salah satu pelan.
Tempoh tawaran ini adalah dari 26 Mac hingga 30 Jun, menurut Singtel.
"Kami berbesar hati untuk menawarkan Amazon Prime untuk para pelanggan bermain, membeli-belah dan menggunakan khidmat penstriman di hujung jari mereka. Kami juga tidak sabar untuk menawarkan lebih banyak khidmat yang saling melengkapi bagi meningkatkan pengalaman digital mereka," kata CEO Pelanggan Singapura di Singtel, Yuen Kuan Moon.
Amazon Prime menawarkan penghantaran antarabangsa secara percuma dalam tempoh tujuh hingga sembilan hari biasa bagi sebarang tempahan melebihi S$60, serta beberapa manfaat beli-belah dan hiburan lain. Para anggota Amazon Prime juga diberikan akses untuk memanfaatkan khidmat penstriman video, Amazon Prime Video dan Twitch Prime.
"Kami yakin pelanggan di Singapura akan menggemari banyak manfaat membeli-belah dan hiburan (Amazon) Prime, termasuk penghantaran pantas berpuluh-puluh ribu barangan menerusi Prime Now, pestriman tanpa batas bagi rancangan TV, filem dan siri rancangan Prime Original, manfaat percuma bagi para pemain video dan banyak lagi," kata Encik Jamil Ghani, naib presiden Amazon Prime International.
Singtel juga mengumumkan pelan khidmat digital baru. Pada harga S$20 sebulan, pelan 'GOMO Mobile' menawarkan data 20GB, tempoh panggilan selama 200 minit, 200 SMS dan khidmat ID Pemanggil percuma.
Pelanggan yang mendaftar bagi GOMO ('Get Out More Often'), akan menerima tawaran seperti potongan harga apabila melanggani kafe dan restoran terpilih. Ganjaran gaya hidup akan diperluaskan untuk merangkumi khidmat pengangkutan, acara hiburan dan pelbagai kegiatan serta promosi yang ada kaitan dengan percutian, menurut Singtel.
Pelan terbaru itu ditawarkan kepada semua penduduk Singapura tanpa yuran tambahan atau wang cengkeram yang diperlukan untuk pemegang Permit Kerja atau pemegang Pas S.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.