Skip to main content

Gaya Hidup

'Singapore Book Street' tampilkan lebih 1,200 judul SingLit, persembahan puisi dan pelbagai kegiatan menarik

Bagi para pencinta sastera Singapura (SingLit), kini ada satu lagi sebab untuk menyediakan ruang tambahan di rak-rak buku anda.

Anggaran Waktu Membaca:
'Singapore Book Street' tampilkan lebih 1,200 judul SingLit, persembahan puisi dan pelbagai kegiatan menarik

Rak buku yang menempatkan karya sastera Singapura di Kinokuniya Singapore. (Gambar: TODAY/Lim Li Ting)

Diterbitkan : 23 Oct 2026 10:08PM
'Singapore Book Street' showcases over 1,200 SingLit titles, poetry performances and a range of activities
  • The NAC and SBPA are organising Singapore Book Street for the first time at Central Court, VivoCity, from 2 to 8 November. The festival is dedicated to SingLit and brings a book festival back to the HarbourFront area.
  • The event brings together over 1,200 titles from more than 40 local publishers in English, Malay, Chinese and Tamil, with a selection ranging from fiction to children’s literature.
  • About 80 per cent of the books can be bought using SG Culture Pass credits. The SBPA said this was linked to a more than 300 per cent increase in SingLit sales since March 2026.
  • More than 30 programmes include launches, poetry performances, children’s sessions and author meet-and-greets, while purchase rewards and stamp-collecting activities encourage visitors to explore the event.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Bagi para pencinta sastera Singapura (SingLit), kini ada satu lagi sebab untuk menyediakan ruang tambahan di rak-rak buku anda.

Acara sulung 'Singapore Book Street' akan berlangsung dari 2 hingga 8 November di VivoCity, menghimpunkan lebih 1,200 judul karya sastera Singapura atau SingLit daripada lebih 40 penerbit tempatan.

Dianjurkan secara bersama oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Persatuan Penerbit Buku Singapura (SBPA), acara itu disebut-sebutkan sebagai pesta buku terbesar di Singapura yang dikhususkan untuk SingLit, dengan buku ditawarkan dalam keempat-empat bahasa rasmi, iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

Antara penerbit tempatan yang mengambil bahagian termasuk Epigram Books, Afterimage Press, Difference Engine, Ethos Books, Helang Books dan City Book Room.

Pilihan buku yang ditawarkan merangkumi karya fiksyen, bukan fiksyen, puisi, fantasi, novel grafik, warisan dan pendidikan, serta sastera kanak-kanak daripada buku bergambar hingga buku cerita berbab.

Kira-kira 80 peratus judul buku di pesta tersebut boleh dibeli menggunakan kredit Pas Budaya SG. Menurut SBPA, penjualan buku SingLit meningkat lebih 300 peratus sejak buku-buku tersebut layak dibeli menggunakan kredit Pas Budaya SG pada Mac 2026.

Selain membelek buku-buku yang ditawarkan, para pengunjung juga boleh menyertai lebih 30 program sastera dan kegiatan interaktif sepanjang minggu tersebut.

Antaranya termasuk pelancaran buku, persembahan puisi secara lisan dan dwibahasa, penghasilan puisi secara langsung menggunakan mesin taip, sesi bercerita untuk kanak-kanak serta demonstrasi melukis secara langsung oleh pelukis ilustrasi tempatan.

Para pengunjung juga berpeluang bertemu dengan penulis dan pelukis ilustrasi tempatan, dengan beberapa sesi menandatangani buku dijangka diadakan.

Mereka yang berbelanja sekurang-kurangnya S$50 boleh menebus puisi atau lakaran yang dihasilkan khas untuk mereka di lokasi oleh penulis puisi dan pelukis ilustrasi yang mengambil bahagian. Sementara itu, mereka yang berbelanja S$100 atau lebih boleh menerima satu set cenderamata 'Singapore Book Street' yang mengandungi beg 'tote', buku nota dan pelekat.

Para pengunjung juga boleh menyertai kegiatan mengumpul cop yang menampilkan dua reka bentuk hasil karya pemenang anugerah Pelukis Ilustrasi Terbaik 2026 Festival Buku Kanak-Kanak Singapura, Linda Yew dan Cheng Puay Koon. Para pengunjung boleh mengumpulkan cop tersebut sambil meneroka bahagian-bahagian berbeza di pesta buku tersebut.

Acara tersebut turut menandakan kembalinya pesta buku ke kawasan HarbourFront. Pada 1970-an dan 1980-an, bekas Pusat Dagangan Dunia, yang kini dikenali sebagai HarbourFront Centre, pernah menjadi lokasi Festival Buku dan Pesta Buku Singapura.

'Singapore Book Street' akan berlangsung di Central Court, Aras 1 VivoCity, dari 2 hingga 8 November. Acara itu akan dibuka dari 4.00 petang hingga 10.00 malam pada 2 November, dan dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari dari 3 hingga 8 November.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita