Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Siapa kata bercuti tidak boleh berjimat? Ini caranya...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Musim cuti sekolah bakal tiba tidak lama lagi. Mungkin ada dalam kalangan anda yang sudahpun membuat perancangan untuk bercuti sekeluarga.

Setelah lama tidak dapat bercuti ke luar negara, tidak hairan lah jika ramai yang ghairah untuk melancong.

Berlibur bersama keluarga merupakan antara cara untuk berehat dan mengurangkan tekanan disebabkan kesibukan seharian di tempat kerja. Terpulang kepada destinasi pilihan masing-masing, ada yang lebih selesa untuk bercuti di dalam negara dan ada juga pasti yang tidak sabar untuk terbang jauh.

holiday unsplash
(Gambar: Unsplash)

Ke mana juga destinasi pilihan anda, yang penting harus bijak berbelanja agar tidak gigit jari selepas pulang dari percutian. Lantaran itu, buat perancangan awal sebelum bercuti agar segalanya berjalan lancar dan tidak membebankan kocek.

Berjimat bukan sahaja pada keperluan tetapi juga pada kemahuan. Apatah lagi bila bercuti dengan keluarga di destinasi yang jauh. Walaupun ada yang tidak kisah dengan wang yang perlu dibelanjakan semasa bercuti, namun ramai juga yang akan memilih untuk berjimat.

Yang penting di akhir percutian adalah pengalaman, kenangan dan memori indah yang diabadikan bersama keluarga atau rakan-rakan sepanjang percutian.

8 CARA 'SELAMATKAN' KOCEK BILA BERCUTI

Bagi yang bakal melancong ke luar negara, ikutilah tip-tip berikut yang dapat membantu mempermudahkan persiapan anda dan sedikit sebanyak dapat menjimatkan. Tapi, sebelum itu, periksa dulu tarikh luput pasport anda!

1. TEMPAH AWAL

Jika sudah tetapkan destinasi, buat tempahan segera. Dari tiket pengangkutan, penginapan, lawatan dan sebagainya.

Tempahan awal ada kalanya boleh membawa kepada penjimatan. Elakkan daripada membuat tempahan di saat-saat akhir.

Untuk meraih penjimatan, anda perlu rajin membuat kajian di internet mencari harga promosi. Contohnya, anda boleh melayari laman Klooks untuk dapatkan tiket lawatan.

2. JADUAL PERJALANAN

Siapkan jadual perancangan percutian dari hari pertama hingga hari terakhir. Sertakan perincian seperti tempat lawatan, aktiviti, penginapan, anggaran pengangkutan, makanan dan lain-lain.

Aizam

(Gambar: Aizam Omar)

Dengan adanya jadual sedemikian, anda dapat mengawal kos keseluruhan agar tidak berbelanja lebih.
Sungguhpun demikian, penting untuk ketepikan duit lebih kerana kadang kala apa yang dirancang tidak dapat dipenuhi atas sebab-sebab lain.

3. PENGINAPAN

Sebelum menentukan penginapan, lakarkan dulu jadual perancangan percutian anda. Jika masa percutian lebih banyak dihabiskan di luar, elakkan daripada menginap di hotel mewah untuk mengelakkan pembaziran. Pilihan penginapan yang lebih murah seperti apartmen, motel atau jenis 'bed & breakfast' adalah pilihan terbaik.

unsplash

(Gambar: Unsplash)

Sebelum membuat tempahan pastikan untuk bandingkan harga penginapan dari laman seperti Trivago, Agoda, Booking.com dan sebagainya.

Cuba dapatkan penginapan yang berhampiran dengan tempat-tempata tarikan. Ia dapat menjimatkan kos pengangkutan. Anda tidak perlu sewa kereta, sebaliknya boleh berjalan kaki sahaja. Namun ada kalanya sukar untuk mendapatkan penginapan yang strategik. Ia memerlukan masa untuk anda membuat kajian di internet sebelum bercuti.

4. MAKAN

Tinjau terlebih dahulu tempat yang ingin dikunjungi. Ini boleh dilakukan dengan membaca risalah atau layari internet untuk mendapatkan maklumat lanjut dan sebagainya. Bagi setiap lokasi yang ingin dituju, pastikan anda sudah buat kajian. Contohnya kenal pasti kedai makan dan restoran selain kedai-kedai yang menjual makanan halal.

Aizam
(Gambar: Aizam Omar)

Bagi yang suka masak sendiri untuk jimatkan wang, pastikan terdapat perkakas dapur selain bahan-bahan masakan yang diperlukan.

5. PENGANGKUTAN

Jika terdapat promosi pakej tiket penerbangan dan penginapan, anda patut pertimbangkan. Ia mungkin lebih berbaloi daripada mengambil pakej secara 'ala carte'.

Sebelum membuat tempahan, buat rujukan terlebih dahulu. Ada destinasi atau negara yang menawarkan diskaun bagi tiket ulang-alik tidak kira sama ada bagi pengangkutan awam atau penerbangan antarabangsa.

Aizam
(Gambar: Aizam Omar)

Semasa berada di destinasi percutian, rasanya pasti seronok apabila dapat teroka tempat-tempat dengan berjalan kaki. Tapi jika banyak berjalan kaki pasti akan ‘menjerit’ meminta tolong!

Sebagai alternatif, anda boleh menggunakan atau mendapatkan khidmat bas dan kereta api kerana harganya lebih murah jika dibandingkan dengan kereta sewa atau teksi.

Bagi yang ingin mencuba mendapatkan khidmat kereta sewa, dapatkan informasinya terlebih dahulu. Jika harganya tidak memadai dan cara menyewanya rumit, gunakan sahaja sistem pengangkutan awam yang lain.

6. MESRA KANAK-KANAK

Jika bercuti bersama si cilik, pastikan untuk memilih hotel mesra kanak-kanak. Bukan setakat itu sahaja, anda juga perlu siapkan jadual perancangan yang merangkumi tempat-tempat menarik yang sesuai untuk dikunjungi oleh dewasa dan si kecil.

Ini penting agar semua dapat menikmati percutian bersama. Jika anak-anak masih kecil ada kalanya leceh dan sukar untuk ke destinasi yang jauh.

Aizam
(Gambar: Aizam Omar)

Jika demikian anda tidak perlu risau, negara jiran seperti Malaysia mempunyai pelbagai destinasi dan daya tarikan menarik untuk seisi keluarga.

Antaranya Club Med Cherating di Pahang, Lost World of Tambun Hotel di Perak, Hotel Legolaand di Johor, Myrus Resort di Langkawi dan banyak lagi. Setiap satu mempunyai tarikan tersendiri dan yang paling best makanan pun halal!

7. BELI-BELAH

Jika anda menaiki kapal terbang, jangan terlepas untuk mengambil kesempatan untuk membeli barangan tempatan mahupun import di lapangan terbang.

Selalunya kedai-kedai ini bebas cukai. Tapi jika dicukai, tahukah anda cukai itu boleh ditebus. Anda harus mengisi borang dan tunjukkan bukti pembelian untuk dapatkan wang anda kembali.

Selain itu ada juga pusat beli-belah dan kedai-kedai yang menawarkan barangan bebas cukai untuk pelancong. Semaikan sikap terbuka untuk membeli dan mencuba barangan tempatan kerana harganya adalah lebih rendah dan sangat berbaloi.

8. KAD PELANCONGAN

Cuba dapatkan kad pelancongan. Ia sangat berguna dan dapat memberi penjimatan kerana ia dicipta khas untuk pelancong.

Anda dapat menggunakannya untuk menerokai tempat-tempat menarik dengan harga yang berpatutan. Bayangkan jika anda melancong seisi keluarga, ia pasti menjimatkan dengan tawaran diskaun. Tapi, tidak semua negara menawarkan khidmat ini.

Akhir kata, bagi yang tidak mahu berbelanja lebih, cukuplah setakat bercuti di sebarang tambak atau di dalam negara.

Ada pelbagai pilihan hotel yang menawarkan pakej menarik! Yang penting anda dapat menikmati masa bermutu dan berseronok bersama keluarga!

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan