SIA lancar versi terkini maskot Beary
Singapore Airlines (SIA) akan memperkenalkan versi baharu maskot anak patung beruangnya yang popular, Beary, mulai pertengahan Jun 2026.
SIA lancarkan versi baharu maskot patung beruang, Beary, mulai pertengahan Jun 2026. (Gambar: SIA)
Reka bentuk yang diperbaharui itu dan dikenali sebagai Beary 3.0, menampilkan penampilan dengan pakaian berinspirasikan Bandar Raya Taman dan topi yang dihiasi dengan motif batik ciri khas SIA.
Ia juga sekitar 15 peratus lebih besar berbanding versi sebelumnya.
Beary akan terus tersedia atas permintaan penumpang bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang menaiki penerbangan di Suite, Kelas Pertama dan Kelas Niaga untuk penerbangan lebih lima jam.
Maskot itu mula diperkenalkan pada 2007 sebagai hadiah percuma untuk penumpang cilik di kabin premium.
Mula ditawarkan sebagai anak patung beruang yang pakaiannya berubah secara berkala, maskot itu diberi nafas baharu pada 2013 dengan adanya versi kedua-dua jantina.
Selama bertahun-tahun, Beary muncul dalam keluaran edisi khas memperingati pencapaian penting SIA seperti pelancaran jenis pesawat baharu dan sambutan ulang tahun.
Ia juga ditampilkan dalam kerjasama bertema, termasuk edisi berinspirasikan Disney dan anak patung beruang bertemakan cef.
Selama bertahun-tahun, Beary merupakan ibarat rahsia terbuka dalam kalangan penumpang kerap.
Hanya tersedia atas permintaan, anak patung beruang itu mempunyai pengikut dalam kalangan mereka yang mengetahuinya, dengan sesetengah penumpang mengumpul pelbagai edisi selama bertahun-tahun.
Anak patung beruang itu kemudian menjadi terkenal apabila pempengaruh mula berkongsi lebih banyak maklumat mengenai Beary di media sosial dan membolehkan lebih ramai penumpang meminta dan memiliki Beary.
Walaupun anda mungkin tidak dapat membeli anak patung beruang itu melalui wadah rasmi, ramai peminat anak patung beruang itu menemui pelbagai cara untuk mengembangkan koleksi mereka.
Ini boleh dilakukan melalui pembelian di platform seperti Carousell, di mana orang ramai menjualnya pada harga kira-kira S$10 hingga S$15 untuk versi biasa dan lebih tinggi untuk edisi khas, atau saling bertukar anak patung beruang mereka dengan penumpang lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.