Skip to main content

Gaya Hidup

SIA bakal perkenal 'pengalaman perjalanan baharu' pada Nov 2026

Singapore Airlines (SIA) akan memperkenalkan pengalaman perjalanan baharunya pada November, menurut syarikat penerbangan tersebut dalam satu kenyataan kepada CNA Lifestyle pada Khamis (3 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
SIA bakal perkenal 'pengalaman perjalanan baharu' pada Nov 2026

Beberapa juruteknik memeriksa sebuah pesawat Airbus A350-900 milik Singapore Airlines di Lapangan Terbang Changi, Singapura, pada 24 Oktober 2020. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 03:05PM
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) akan memperkenalkan pengalaman perjalanan baharunya pada November, menurut syarikat penerbangan tersebut dalam satu kenyataan kepada CNA Lifestyle pada Khamis (3 Sep).

Seorang jurucakap SIA menambah bahawa pelancaran tersebut akan merangkumi "produk kabin jarak jauh generasi baharu SIA, tawaran makanan dan minuman dalam penerbangan yang dipertingkat, sistem hiburan dalam penerbangan KrisWorld yang baharu serta kit kemudahan baharu".

Perkembangan tersebut menyusuli laporan laman pelancongan The MileLion beberapa hari lalu yang memaklumkan bahawa para anggota terpilih daripada program penumpang kerap premium SIA, Solitaire PPS dan PPS Club, telah menerima undangan untuk ke sebuah acara di Marina Bay Sands pada awal November.

SIA dilaporkan akan mendedahkan lebih banyak perincian berhubung "pengalaman perjalanan baharu" syarikat penerbangannya pada acara tersebut.

Pada 2024, SIA mengumumkan pelaburan sebanyak S$1.1 bilion untuk memasang produk-produk kabin jarak jauh baharu pada 41 pesawat Airbus A350-900 bagi penerbangan jarak jauh dan jarak ultra jauh (ULR).

Ia termasuk kabin kelas pertama pada tujuh pesawat A350-900ULR serta tempat duduk kelas perniagaan "yang akan menawarkan tahap privasi, keselesaan dan kemudahan yang lebih tinggi" pada kesemua 41 pesawat.

Ketika itu, SIA menyatakan pesawat A350-900 jarak jauh pertama yang dinaik taraf dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2026, manakala pesawat A350-900ULR pertama pula dijadual menyusul pada suku pertama 2027.

Namun, pada Mei 2026, SIA mengumumkan bahawa tempat duduk kelas pertama dan kelas perniagaan generasi baharunya bagi pesawat Airbus A350-900 akan mula digunakan pada suku pertama 2027, lebih lewat berbanding jadual awal pada suku kedua 2026.

Ketika itu, seorang jurucakap SIA memberitahu Mediacorp bahawa jadual yang disemak semula itu mengambil kira "kekangan rantaian bekalan di seluruh industri, serta kelengahan dalam pensijilan bagi salah satu tempat duduk baharu tersebut".
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita