Shonen Jump bakal adakan kedai pop-up di Jewel Lapangan Terbang Changi mulai 10 Mei
Selama beberapa dekad, majalah ikonik Jepun, Shonen Jump, telah menjadi wadah kepada pelbagai judul terkenal termasuk Dragonball, One Piece, Bleach, Naruto dan Demon Slayer.
Antara judul terkenal yang ditampilkan di kedai 'pop-up' yang bakal diadakan mulai 10 Mei. (Gambar: Omnisekai)
Tahun ini, para peminat Shonen Jump di Singapura akan berpeluang untuk berbelanja di kedai berkonsep 'pop-up' yang digelar "Pop Up! Jump Characters Store". Kedai 'pop-up' itu akan diadakan di Jewel Lapangan Terbang Changi dari 10 Mei hingga 31 Ogos 2025.
Seperti namanya, kedai pop-up tersebut akan menjual barangan rasmi daripada pelbagai judul yang ditawarkan Shonen Jump. Para peminat juga boleh mendapatkan barangan daripada judul-judul seperti Hunter X Hunter, Haikyu, My Hero Academia dan banyak lagi.
Antara produk eksklusif yang akan dijual di kedai pop-up itu termasuk kemeja-T edisi terhad, beg 'tote' dan barangan khas yang lain.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat hiburan Jepun Remow, Akira Ishii, berkata: “Kami benar-benar berbesar hati untuk membawakan Pop Up! Jump Characters Store ke Jewel Lapangan Terbang Changi, yang merupakan hab budaya penting di Singapura dan Asia Tenggara, sedang minat global terhadap manga dan anime Jepun terus berkembang.
“Misi kami adalah untuk berkongsi hiburan Jepun dengan dunia, dan kami amat teruja untuk menawarkan peluang berharga kepada para peminat di rantau ini untuk merasai pengalaman dan membeli barangan rasmi Shonen Jump secara langsung.”
Butiran mengenai barangan yang akan dijual di kedai pop-up itu akan diumumkan menerusi laman rasmi kedai tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.