'SG tidak membosankan': Kenali peneroka bandar yang merungkai kisah tersembunyi di sebalik negara ini
Kebanyakan orang yang berjalan di sepanjang Telok Ayer Street hari ini mungkin tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya berada di kawasan yang pada suatu ketika dahulu merupakan kawasan pesisir pantai Singapura.
Ho Yong Min, yang lebih dikenali sebagai 'The Urbanist', bersama Nikhil Khattar dari Mediacorp di sepanjang Telok Ayer Street. (Gambar: CNA)
- Former urban planner Ho Yong Min, founder of The Urbanist Singapore, shares Singapore’s hidden history through videos, heritage tours and school programmes.
- In Telok Ayer, the area’s name, the location of Thian Hock Keng Temple, built in 1842, and its ship carvings tell the story of a bay that welcomed immigrants and their prayers for safe voyages.
- A video about the Stamford Canal, which influenced the levels of CityLink Mall, also explains the origin of the name Dhoby Ghaut. The content has attracted many viewers by changing how they see familiar places.
- About two years after leaving his position at SMU, Ho is focusing on guiding students and encouraging the public to research heritage so they become more curious and feel closer to their homeland.
- Bekas perancang bandar Ho Yong Min, pengasas The Urbanist Singapore, berkongsi sejarah tersembunyi Singapura melalui video, lawatan warisan dan program sekolah.
- Di Telok Ayer, nama kawasan, kedudukan Kuil Thian Hock Keng yang dibina pada 1842 dan ukiran kapal mengisahkan teluk yang menyambut pendatang serta doa mereka untuk pelayaran selamat.
- Video tentang Terusan Stamford yang mempengaruhi aras CityLink Mall turut menerangkan asal nama Dhoby Ghaut; kandungan itu menarik perhatian ramai kerana mengubah cara mereka melihat tempat biasa.
- Kira-kira dua tahun selepas meninggalkan jawatan di SMU, Ho menumpukan usaha membimbing pelajar dan menggalakkan orang ramai menyelidik warisan agar lebih ingin tahu serta dekat dengan tanah air.
Namun, bagi bekas perancang bandar Ho Yong Min, yang lebih dikenali sebagai 'The Urbanist', petunjuk mengenai sejarah kawasan tersebut boleh ditemui di merata-rata tempat.
Arah kedudukan sebuah kuil. Nama jalan. Ukiran pada sebuah batu bersurat.
"Jika anda melihat kawasan sekeliling, anda langsung tidak akan nampak sebarang kesan kewujudan laut," kata beliau kepada Mediacorp ketika menyusuri kawasan tersebut.
"Namun, terdapat petunjuk di bandar kita yang memaklumkan bahawa kuil ini dahulunya menghadap laut."
Menurut Encik Ho, Telok Ayer dahulunya merupakan sebuah teluk yang menyambut kedatangan para pendatang yang menaiki kapal. Ramai daripada mereka akan singgah di Kuil Thian Hock Keng, yang dibina pada 1842, untuk bersembahyang dan bersyukur atas pelayaran yang selamat sebelum memulakan kehidupan baharu di Singapura.
Nama kawasan tersebut, yang menggunakan bahasa Melayu, turut memberi gambaran tentang sejarahnya sebagai pintu masuk bagi para pendatang.
Sejarah maritim tersebut juga terpahat pada kuil berkenaan. Sebuah batu bersurat yang dipasang pada dindingnya memaparkan ukiran yang diulang-ulang bagi aksara Cina yang membawa maksud "kapal".
"Pada zaman dahulu, apabila anda belayar dari China ke Singapura, dapat tiba dengan selamat di Singapura sahaja sudah dianggap satu kebaikan kerana anda mungkin telah mengalami situasi kapal karam atau jatuh sakit di sepanjang perjalanan," kata Encik Ho.
"Itulah sebabnya kuil-kuil banyak didirikan di sepanjang pesisir pantai. Jika anda melihat tempat-tempat ibadah di sepanjang Telok Ayer, anda akan mendapati terdapat banyak tempat sedemikian, dan semuanya menceritakan kisah yang sama mengenai ketibaan selamat para pendatang pada masa lalu."
Usaha menyingkap kisah-kisah tersembunyi di sebalik tempat-tempat yang biasa dilihat merupakan teras kerja Encik Ho sebagai pengasas 'The Urbanist Singapore', sebuah platform kandungan yang memberi tumpuan kepada penceritaan warisan dan reka bentuk bandar.
Menerusi video-video media sosial, lawatan berpandu dan program sekolah, warga Singapura berusia 42 tahun itu berjaya menarik semakin ramai pengikut, termasuk lebih 62,000 di Instagram, dengan menonjolkan kisah-kisah di sebalik jalan raya, bangunan dan ruang awam di Singapura.
JALAN YANG BIASA DILALUI, KISAH YANG BELUM DIKETAHUI
Antara video Encik Ho yang paling popular bermula dengan satu soalan mudah mengenai sesuatu yang mungkin tidak difikirkan kebanyakan orang.
Salah satu vlog beliau meneroka ciri luar biasa di sebuah bahagian kecil pusat beli-belah bawah tanah CityLink Mall: Mengapa para pengunjung perlu menaiki tangga bergerak turun ke aras lebih rendah, sebelum menaiki tangga bergerak semula hanya beberapa meter kemudian?
Perbezaan aras itu sebenarnya bertujuan untuk mengelakkan Terusan Stamford yang terletak di atasnya.
Terusan yang terbentang dari Tanglin hingga Marina Bay itu melalui Orchard Road dan City Hall, termasuk kawasan yang kini menempatkan Plaza Singapura dan CityLink Mall.
Pada masa lalu, para pekerja dobi India yang dikenali sebagai 'dhobi' membasuh pakaian di situ sebelum menjemurnya di kawasan yang kini menempatkan Sekolah Ekonomi Universiti Pengurusan Singapura (SMU). Kegiatan membasuh pakaian tersebut menjadi asal usul bagi nama kawasan Dhoby Ghaut.
Seiring dengan pembangunan Singapura, struktur-struktur baharu perlu dibina dengan mengambil kira laluan terusan tersebut, sekali gus mewujudkan ciri-ciri luar biasa dalam landskap bandar, termasuk yang diketengahkan Encik Ho di CityLink Mall.
Apabila Encik Ho memuat naik video yang menjelaskan bagaimana terusan berkenaan mempengaruhi reka bentuk pusat beli-belah itu, beliau terkejut dengan sambutan yang diterima.
Video tersebut meraih lebih 700,000 tontonan di TikTok dan lebih 130,000 tontonan di Instagram, selain menerima ratusan komen.
"Apabila saya bangun pada keesokan harinya dan melihat lebih banyak pemberitahuan berbanding yang pernah saya terima sebelum ini, saya sedar bahawa orang ramai sebenarnya dapat mengaitkan kisah itu dengan pengalaman mereka," kata beliau.
Menurutnya, video tersebut memberi perspektif baharu kepada ramai penonton mengenai tempat yang mereka sangka sudah cukup dikenali.
"Saya rasa orang ramai secara umumnya masih mempunyai sifat ingin tahu," kata beliau. "Mereka hanya memerlukan seseorang untuk berkongsi pengetahuan itu dengan cara (yang boleh) difahami."
TINGGALKAN KERJAYA KORPORAT
Apa yang bermula sebagai minat terhadap landskap bandar Singapura dan kisah-kisah di sebaliknya akhirnya berkembang menjadi sesuatu yang lebih daripada sekadar projek sampingan.
Kira-kira dua tahun lalu, Encik Ho meninggalkan pekerjaan sebagai pengarah bersekutu strategi pendidikan di SMU untuk memberi tumpuan penuh kepada usaha tersebut.
Kini, beliau membahagikan masanya untuk menghasilkan kandungan, menjalankan penyelidikan bagi jelajah baharu, bertugas sebagai pemandu pelancong warisan dan bekerjasama dengan para pelajar.
"Saya mahu orang ramai sedar bahawa Singapura bukanlah sebuah tempat yang membosankan," tambah beliau.
Sebahagian besar tugasnya kini tertumpu kepada usaha memperkenalkan para pelajar kepada penyelidikan warisan dan membimbing mereka secara langsung dalam meneroka laluan warisan, dengan harapan untuk memupuk minat mendalam yang berkekalan terhadap tempat-tempat di sekeliling mereka.
"Saya berharap mereka akan membuka pintu kepada peluang tersebut, menyukai apa yang mereka temui ... dan mengambil langkah seterusnya untuk meneroka warisan kita dengan lebih mendalam."
MELIHAT SINGAPURA DARI PERSPEKTIF YANG BAHARU
Bagi Encik Ho, matlamatnya bukan sekadar untuk memelihara sejarah.
Beliau juga mahu membantu orang ramai berasa lebih dekat dengan tempat yang mereka anggap sebagai tanah air.
"Saya mahu orang ramai melihat bahawa Singapura ... bukan sekadar bangunan sahaja," kata beliau.
"Terdapat kisah di sebaliknya. Ada sejarah yang menarik di sebalik nama jalan dan susun atur jalan raya."
Beliau percaya kisah-kisah sedemikian dapat membantu rakyat Singapura berasa lebih dekat dengan tanah air mereka dan mungkin juga "jatuh cinta dengan Singapura sekali lagi".
"Perasaan ingin tahu mendorong kita untuk terus belajar," tambah Encik Ho.
"Berhenti sejenak, perlahankan langkah dan mula memerhati. Mengapakah jalan ini melengkung sedemikian rupa? Mengapakah bangunan ini mempunyai bentuk sebegini?
"Anda mungkin terkejut dengan kisah-kisah yang tersingkap di sebaliknya."
Di sebuah negara yang sentiasa berubah dan memberikan tumpuan kepada pembangunan masa depan, pesanan Encik Ho cukup mudah: lihatlah sekali lagi.
Menurut beliau, penemuan seterusnya mungkin tidak memerlukan seseorang untuk mengunjungi tempat baharu.
Sebaliknya, ia mungkin hanya memerlukan kita melihat tempat yang sudah biasa dikunjungi dengan pandangan yang berbeza.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.