Skip to main content

Gaya Hidup

SG kekal destinasi negara bukan OIC paling mesra Muslim

Anggaran Waktu Membaca:
SG kekal destinasi negara bukan OIC paling mesra Muslim

Penerima anugerah CrescentRating dengan kerjasama Mastercard di Anugerah Halal dalam Pelancongan, di Village Hotel Katong. (Gambar: CrescentRating)

SINGAPURA: Meskipun Singapura tidak menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), republik ini terus mengukuhkan kedudukan destinasi negara bukan OIC paling mesra Muslim dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2025.

Singapura dan Malaysia juga merangkul kedudukan tertinggi sebagai destinasi mesra Muslimah.

Pengiktirafan berprestij itu diumumkan pada Khamis (12 Jun) di Anugerah Halal dalam Pelancongan kali keempat yang berlangsung di Singapura.
Related article image

Negara ini mendahului negara-negara bukan OIC lain seperti Thailand, Filipina dan Hong Kong.

Negara-negara lain yang tersenarai di dalam GMTI 2025 merupakan negara OIC seperti Indonesia, Malaysia, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Turki, Qatar, Iran, Jordan, Bahrain, Mesir dan Kuwait.

Menurut laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Mastercard-CrescentRating, demografi perjalanan Halal adalah segmen pasaran yang cukup besar di seluruh dunia.

Pada 2024 terdapat 176 juta pelawat Muslim antarabangsa, naik 25 peratus berbanding 2023.

Menjelang 2030, jumlahnya dijangka mencecah 245 juta orang dengan anggaran perbelanjaan sebanyak AS$230 bilion (S$295 bilion).

Presiden Mastercard bagi Asia Tenggara, Safdar Khan menekankan pentingnya pelancongan dalam menjana ekonomi di rantau ini, sambil menyokong inovasi digital dan kerjasama strategik.

Dalam laporan itu juga, Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan utama mesra Muslim apabila sekali lagi dinobatkan sebagai 'Destinasi Mesra Muslim Terbaik'. Turki, Arab Saudi dan UAE berkongsi tempat kedua.

Malaysia secara konsisten berada di barisan hadapan GMTI sejak 2015.

GMTI menilai keupayaan sesebuah destinasi dalam memenuhi keperluan pelancong Muslim berdasarkan pelbagai penunjuk, termasuk infrastruktur, perkhidmatan dan kemudahan mesra Muslim.


Singapura menduduki tempat teratas dari segi kemudahan seperti restoran halal yang diiktiraf, ruang solat di kawasan pelancongan, serta layanan hospitaliti yang menghormati amalan Islam.

HONG KONG DESTINASI BUKAN OIC PALING MENJANJIKAN

Related article image
Hong Kong menerima pengiktirafan sebagai Destinasi Mesra Muslim Paling Menjanjikan. (Gambar: CrescentRating)
Hong Kong muncul sebagai destinasi bukan OIC paling menjanjikan dalam GMTI 2025, susuli peningkatan ketara dari segi kemudahan mesra Muslim.

Setakat ini, 61 hotel telah diiktiraf oleh CrescentRating, syarikat pemasaran pelancongan Muslim antarabangsa, manakala 153 restoran telah diperakui Halal oleh pihak berkuasa Islam tempatan.

Antara institusi hospitaliti yang aktif menyokong pembangunan pelancongan mesra Muslim ialah Kowloon Shangri-La, Hong Kong.

“Salah satu perubahan paling besar adalah dari segi makanan. Kami kini memiliki dapur Halal yang diperakui, dan proses mendapatkan pensijilan ini melibatkan kerjasama rapat dengan masyarakat Islam Hong Kong,” kata Mark Bannon, Pengarah Operasi Kowloon Shangri-La.
Related article image
Pengasas CrescentRating, Fazal Bahardeen di Sidang Puncak GMTI. (Gambar: Fatyn Afiqah)
Pengasas CrescentRating, Fazal Bahardeen berkata, laporan GMTI 2025 bukan sekadar satu senarai penilaian, tetapi pemacu perubahan dalam dasar pelancongan global.

“Bersama Mastercard, kami komited untuk membina ekosistem pelancongan berasaskan kefahaman, inklusiviti dan khidmat cemerlang,” katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita