Skip to main content

Gaya Hidup

SG bandar paling bahagia di Asia; ketiga di dunia

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 May 2025 09:26PM Dikemas Kini : 17 May 2025 11:03PM

LONDON: Institut bagi Mutu Kehidupan menyenaraikan Singapura sebagai bandar paling bahagia di Asia, dan ketiga paling bahagia di dunia.

Senarai itu didedahkan berikutan penerbitan Indeks Bandar Paling Bahagia 2025, yang mengiktiraf "bandar-bandar yang komited untuk memupuk dan meningkatkan kebahagiaan".

Menurut Travel + Leisure, senarai tersebut berdasarkan 82 "petunjuk kebahagiaan," yang merangkumi faktor-faktor seperti akses kepada pendidikan, dasar inklusif setiap bandar, kekuatan ekonomi tempatan, akses ke kawasan semula jadi, dan keseimbangan kerja-kehidupan.

"Singapura, sebuah bandar-negara yang tiada tandingannya, berdiri sebagai mercu tanda global dalam kemakmuran ekonomi, tadbir urus, dan inovasi bandar," menurut pertubuhan itu dalam laporannya. 

"Menjadi tempat tinggal kepada lebih enam juta penduduk, seluruh negara ini terletak dalam metropolis yang berkembang maju meliputi kawasan 734.3 kilometer persegi.

"Dengan Belanjawan yang mengagumkan sebanyak AS$74.8 bilion (S$97 bilion) pada 2024, Singapura sentiasa berusaha untuk mengatasi batasan kemampuannya sebagai sebuah bandar moden."

"Dengan insurans perubatan universal dan 2.8 doktor bagi setiap 1,000 penduduk, penjagaan kesihatan mudah diakses dan cekap," menurut laporan itu, seperti dinukil Travel + Leisure.

Ini sekali gus membantu memastikan jangka hayat yang agak tinggi bagi penduduk, yang secara purata mencapai 83 tahun, tambahnya.

Di peringkat dunia, Singapura berada di kedudukan ketiga, di belakang Zurich, Switzerland dan Copenhagen, Denmark, sebagai negara paling bahagia di dunia. Sebuah lagi bandar di Denmark, Aarhus, di tempat keempat disusuli Antwerp, Belgium. 

Dua lagi bandar di Asia yang termasuk dalam senarai 10 bandar paling bahagia di dunia itu ialah Seoul di tempat ke-6 dan Taipei, di tempat ke-8.

ANTARA BANDAR PALING BERSIH DI DUNIA

Singapura juga mempunyai reputasi sebagai salah satu bandar paling bersih di dunia, menurut khidmat pembersihan Eagle Dumpster Rental yang berpangkalan di Philadelphia, Amerika Syarikat.

Singapura juga berada di antara kedudukan teratas, bagi khidmat penjagaan kesihatan universal, universiti bertaraf dunia, dan komitmennya terhadap alam sekitar. 

Menurut indeks tersebut, Copenhagen adalah "peneraju dalam pengangkutan mesra alam, dengan 69 peratus daripada semua perjalanan di bandar itu adalah mesra alam sekitar."

Anda boleh melihat senarai penuh bandar-bandar gembira di laman ini.

Sumber : AGENCIES/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita