Serunding puyuh pembawa rezeki kepada usahawan ini semasa penularan COVID-19
Penularan pandemik COVID-19 yang menjejas pendapatan banyak pihak termasuk pengusaha burung puyuh memaksa mereka mencari ‘jalan keluar’ bagi memastikan perniagaan terus terselamat dan tidak menanggung kerugian.
(Gambar: Bernama)
TANAH MERAH: Penularan pandemik COVID-19 yang menjejas pendapatan banyak pihak termasuk pengusaha burung puyuh memaksa mereka mencari ‘jalan keluar’ bagi memastikan perniagaan terus terselamat dan tidak menanggung kerugian.
Pengusaha puyuh penelur Encik Abdul Khairan Firdaus Abdul Rahim, 38, berkata beliau mengambil keputusan menghasilkan produk serunding berasaskan haiwan ternakan itu selepas penjualan telur puyuh merudum akibat COVID-19.
Ternakan burung puyuh miliknya di Kampung Tirok Gual Ipoh, yang kini berjumlah 3,000 ekor dapat menghasilkan sebanyak 15,000 biji telur sehari untuk pasaran tempatan.
"Saya terpaksa menyembelih hampir 20,000 burung puyuh ternakan saya, ia menghasilkan 5,000 kilogram (kg) daging puyuh, kemudian saya berjumpa kenalan di Tumpat yang mempunyai syarikat menghasilkan produk serunding untuk mendapat kerjasama menghasilkan serunding puyuh,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini (24 Sep).
Encik Abdul Khairan berkata daripada 5,000 kilogram daging puyuh yang disembelih itu, ia dapat menghasilkan sebanyak 500 kilogram serunding puyuh.
Beliau yang mengusahakan ternakan burung puyuh sejak 2015, berkata kini secara purata sebanyak 500 kilogram serunding puyuh seminggu dapat dihasilkan dan mampu meraih hasil jualan mencecah kira-kira RM40,000 (S$13,000) sebulan.
Encik Abdul Khairan yang turut mendapat bimbingan keusahawanan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Tanah Merah, memasarkan serunding tersebut secara runcit dan borong di pasaran tempatan dan berhasrat mengembangkan penjualannya ke luar negara.
"Saya turut memasarkannya secara dalam talian dan menggunakan ejen yang kini ada seramai 64 orang di seluruh negara," kata bapa kepada dua anak itu yang turut mempunyai ejen penjualan di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.