Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Serum kecantikan dari pokok cucur atap

Kewujudan pokok cucur atap tidak begitu disedari sebelum ini dan hanya tumbuh di tanah berpasir sekitar kawasan pantai Terengganu.

Anggaran Waktu Membaca:
Serum kecantikan dari pokok cucur atap

Hasil kajian penyelidik Universiti Malaysia Terengganu ke atas pokok cucur atap berjaya menemui agen antipenuaan bagi penjagaan kecantikan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 31 Oct 2018 11:42AM Dikemas Kini : 31 Oct 2018 11:48AM

KUALA TERENGGANU: Kewujudan pokok cucur atap tidak begitu disedari sebelum ini dan hanya tumbuh di tanah berpasir sekitar kawasan pantai Terengganu.

Namun, hasil kajian penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke atas tumbuhan itu berjaya menemui agen antipenuaan bagi penjagaan kecantikan.

Ketua Penyelidik Institut Bioteknologi Marin UMT, Profesor Madya Dr Mohd Zul Helmi Rozaini, berkata hasil penyelidikannya selama tiga tahun itu akhirnya dapat menghasilkan serum kecantikan yang setaraf dengan jenama produk antarabangsa.

"Melalui ekstrak cucur atap, saya telah menghasilkan serum jenama Krasna iaitu inovasi produk penjagaan kulit kosmeseutikal perubatan hibrid yang menggabungkan kesan penyerapan sepantas lima kali ganda daripada produk konvensional untuk memastikan keanjalan kulit kekal halus dan tegang sepantas 24 jam.

"Ia juga bersifat antiseptik, iaitu berupaya melindungi kulit daripada bakteria berbahaya yang boleh berjangkit. Kelebihan serum Krasna ini ialah sebagai agen pembawa nanoemulsi yang membawa bahan-bahan aktif menembusi epidermis kulit yang sangat bagus untuk melawan kesan penuaan," katanya kepada agensi berita Bernama.

Dr Mohd Zul Helmi mula menjalankan penyelidikan berkaitan cucur atap itu setelah dianugerahi Skim Penyelidikan Fundamental (FRGS) UMT daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dalam bidang Sains Gunaan pada tahun 2011, serta memfailkan paten teknologi nanovesikel kepada MyIPMO untuk dinilai melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMT.

SERUM ANTIPENUAAN MULA DIPASARKAN

Hasil penyelidikan saintis biasanya agak sukar untuk dikomersilkan kerana tidak mendapat kerjasama daripada mana-mana syarikat untuk memasarkannya.

Namun, serum ciptaan beliau sudah menarik perhatian sebuah syarikat dari Kedah yang mula memasarkan serum itu baru-baru ini.

"Serum Krasna adalah inisiatif yang sangat sinergistik antara pihak UMT dan syarikat kosmetik, Sysfel (Raffelina Sdn Bhd) serta ATECS Plt dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) melalui inisiatif Symbiosis 2.0.

"Kami menyediakan teknologi dan pihak Sysfel pula memasarkan produk tersebut selepas dikomersialkan oleh pihak ATECS Plt dan MTDC. Selain daripada pihak Sysfel, kami juga telah bekerjasama dengan pihak Jamu Mak Dara dan ZN Beauty dalam memperkenalkan inovasi ini dengan lebih meluas," katanya.

Dr Mohd Zul Helmi juga yakin penemuan baru khasiat pokok cucur atap yang mempunyai komponen kimia hampir sama dengan pokok tea tree itu akan memberi kesan ekonomi kepada masyarakat melalui penjualan serum itu secara komersil. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan