Skip to main content

Gaya Hidup

Seronok jadi ahli silap mata, hilang sifat pemalu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dzulfiqar Haron terpesona setiap kali melihat aksi ahli silap mata terkenal Criss Angel dan David Blaine di kaca televisyen ketika usianya 11 tahun.

Beliau kemudian belajar cara-cara melakukan silap mata secara suka-suka dan mencuba bakatnya itu bersama rakan-rakannya.

“Silap mata ini adalah satu seni yang unik dan mengasyikkan. Ia telah memberi saya keyakinan pada diri saya sendiri dulu saya seorang pemalu.” kata Dzulfiqar.
Gambar: Dzulfiqar Haron
Bapa kepada tiga orang anak berusia 27 tahun itu mula melakukan silap mata secara serius sewaktu menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Beliau mengasah bakat dengan menonton video-video di YouTube.

Tidak lama kemudian, beliau memuat naik aksinya melakukan silap mata di saluran Twitter sendiri sehingga menarik penonton daripada Malaysia.

Selepas kelahiran anak keduanya, Dzulfiqar menerima undangan untuk membuat persembahan di majlis-majlis keramaian.

Bermula daripada situ, beliau mula sedar beliau dapat menjana pendapatan tambahan dengan melakukan silap mata.

Sejak itu, pegawai kakitangan keselamatan sepenuh masa di sebuah syarikat pengeluaran semikonduktor itu mula mengisi hujung minggunya dengan menjadi penghibur silap mata.
Gambar: Fatyn Afiqah
‘Mentalism’ - silap mata dengan minda

Daripada silap mata menggunakan daun terup dan wang kertas, Dzulfiqar kemudian beralih kepada satu lagi jenis silap mata yang melibatkan pembacaan minda atau 'Mentalism'.

“Komuniti kita ini ramai yang menghadapi isu-isu peribadi. Dengan diri saya sebagai penghibur saya harapkan untuk hiburkan mereka dengan memberi impak yang positif dan memberikan mereka satu motivasi untuk tidak berputus asa.”

Dengan berbuat demikian, reaksi yang diperolehi daripada orang ramai mendorongnya untuk teruskan bentuk seni ini.

“Ia mengizinkan saya untuk membawa kegembiraan dan juga kehairanan kepada orang lain. Apabila saya melakukan silap mata itu mereka akan terhibur, mereka akan terkejut, mata akan terbeliak,” kata beliau.

Seni silap mata, tambah beliau, telah membantunya menjalin hubungan dengan orang pada skala yang berbeza.

“Mungkin saya tidak kenal seseorang ini, tetapi bila saya dah lakukan silap mata, mereka biasanya menjadi lebih ramah."
Gambar: Dzulfiqar Haron
Beliau berharap dapat berkongsi ilmu silap matanya kepada anak-anaknya.

“Seorang ayah adalah teladan yang patut diikuti dan itulah sebabnya saya melakukan silap mata supaya satu hari saya dapat turunkan warisan ini kepada mereka,”

Dzulfiqar merancang untuk menganjurkan sebuah acara pertunjukan silap mata dalam masa terdekat bersama beberapa ahli silap mata tempatan.

Beliau berharap orang ramai menerima seni silap mata sebagai satu bentuk hiburan sama besar seperti muzik dan sukan.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita