Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Seronok beraya jangan sampai lupa adab berkunjung ke rumah orang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 1 Syawal, hari kemenangan yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam di seluruh dunia tidak kira usia. Setelah sebulan menjalani ibadah puasa pastinya ramai yang tidak sabar untuk meraikan lebaran bersama ahli keluarga dan juga teman-teman.

Inilah masanya untuk menautkan kembali ukhwah di antara anggota keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Pasti ramai yang tidak sabar untuk keluar beraya kunjung mengunjung sepanjang bulan Syawal ini setelah lebih dua tahun melalui sekatan semasa pandemik. Namun, dalam keghairan dan keceriaan kunjung mengunjung untuk eratkan lagi silaturrahim jangan lupa untuk memastikan adab semasa berkunjung.

Tidak kiralah beraya di rumah saudara-mara, rakan-rakan atau jiran tetangga, ada kalanya kita terlepas pandang perkara kecil yang mungkin dapat memberikan kesan kepada tuan rumah. Apa pun, di mana sahaja anda beraya semoga segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

10 PERKARA BILA KELUAR BERAYA

Telefon sebelum datang


Senaraikan rumah-rumah yang ingin dikunjungi dan lebih baik jika anda telefon dulu tuan rumah sebelum muncul di depan pintu. Bukannya apa, siapa tahu rumah yang ingin dikunjung sedang penuh sesak dengan tetamu yang lain atau tuan rumah tiada di rumah.

Ia juga akan memberi tuan rumah masa untuk bersiap sedia yang apa yang patut seperti menambah kuih yang kehabisan, cuci gelas dan sebagainya. Selain itu jangan kunjungi terlalu awal atau lewat kerana tuan rumah mungkin baru ingin membuat persiapan atau ingin berehat.

Tetapkan masa kunjungan

raya
(Gambar: Unsplash)

Elakkan daripada duduk berjam-jam di rumah orang. Tetapkan masa tertentu untuk mengunjung sesebuah rumah. Dengan cara ini ia dapat memberi ruang kepada tuan rumah untuk melayani tetamu yang lain.

Tetapkan masa kunjungan tidak lebih dari satu jam. Berilah peluang tuan rumah untuk melayani tetamu lain yang ada pada masa itu. Elakkan daripada bertunggu-tangga sampai berjam lama di dalam sesebuah rumah kerana anda tidak ada rumah yang ingin dikunjungi selepas itu.

Elak layan sendiri

Walau macam mana anda rapat dengan tuan rumah, elakkan daripada layan diri sendiri. Contohnya usah membuka peti ais atau kabinet dapur tuan rumah tanpa disuruh kecuali jika mereka memerlukan pertolongan anda kerana rumah terlalu sesak dengan tetamu pada ketika itu.

Usah terlalau santai di rumah orang

Tidak kira sama ada berada di rumah makcik, pakcik atau sahabat baik dan sebagainya, pastikan anda tidak bersikap terlalu bersahaja atau santai. Jika penat gara-gara berjalan raya, elakkan daripada baring atau terlelap di sofa. Rasanya tidak elok dalam suasana beraya kita terlelap di rumah orang.

Usah makan keterlaluan

raya

Dengan pelbagai sajian dari hujung ke hujung meja, pastikan anda dapat mengawal nafsu makan. Berpada-padalah bila mengunjungi rumah orang. Pastinya apabila melihat pelbagai kuih muih dan makanan, selera pun meningkat. Jika terdapat biskut kegemaran, pastikan untuk tidak menghabiskan sebalang kuih!

Pantau anak kecil

Usah biarkan anak-anak kecil berlari dan keluar masuk bilik tidur tuan rumah seperti rumah sendiri. Pesan pada anak-anak untuk duduk diam semasa berada di rumah orang dan pastikan mereka tidak tumpahkan air atau mengambil pelbagai kuih muih dalam satu piring.

Jangan 'self-service' atau ambil sendiri

Walaupun sudah kenal lama dengan tuan rumah, elak daripada mengambil kuih atau minuman selagi belum dijemput. Luangkan masa seketika untuk bertanyakan khabar dan bersembang bersama mereka. Bila dijemput makan dan minum, barulah anda sekeluarga boleh ke meja makan dan menjamu selera kuih muih dan sajian yang ada.

Jangan tolak makanan

Walapun perut sudah kenyang, seluar atau kain sudah sendat, usah tolak makanan jika tuan rumah suruh makan. Sekurangnya ambil sedikit makanan atau jamahlah sajian yang disediakan oleh tuan rumah untuk menjaga hati dan perasaan mereka. Nanti sedih pula tuan rumah jika melihat air yang dituang tidak disentuh langsung.

Usah buka sampul duit depan tuan rumah

raya
(Gambar: Unsplash)

Ingatkan anak-anak untuk tidak membuka sampul duit di hadapan ruang rumah. Kurang manis rasanya untuk melihat jumlah duit yang ada di dalam sampul dengan disaksikan oleh tuan rumah. Sebaliknya, anda ambil daripada tangan anak dan simpan.

Had masa kunjungan

Walaupun ingin ke rumah saudara mara, pastikan untuk tidak sampai pada lewat malam. Walaupun tuan rumah tidak keberatan dan terbuka untuk menerima kunjungan tetamu, jika sudah larut malam lebih baik anda tangguhkan dulu niat kunjungan itu.

Jika masih ingin berkunjung, pastikan untuk hadkan waktu kunjungan. Elak daripada berborak-borak hingga berjam-jam lamanya kerana ia pasti akan mengganggu waktu tidur dan rehat tuan rumah.

Apa juga aturcara anda sepanjang Syawal ini, pastikan untuk meraikannya secara sederhana. Yang penting dapat maaf bermaafan antara satu sama lain!

Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan